Yayasan Hind Rajab mengumumkan bahawa mereka telah mengemukakan aduan rasmi jenayah perang kepada Unit Jenayah Perang Polis Metropolitan UK, mendakwa Tentera Laut Israel melakukan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa semasa menyekat kapal kemanusiaan berbendera British yang menuju ke Gaza.
Aduan tersebut memfokuskan pada Unit Laut Shayetet 13 Israel dan Laksamana Madya David Saar Salama, Panglima Tentera Laut Israel.
Aduan ini berkaitan dengan serangan Israel pada 8-9 Jun ke atas kapal sivil Madleen yang membawa bantuan ke Gaza. Menurut yayasan tersebut, kapal itu berada lebih 60 batu nautika dari pantas di perairan antarabangsa ketika diserang oleh tentera Israel.
Pertubuhan bukan untung yang berpangkalan di Belgium ini menyatakan bahawa Madleen "dianggap sebagai wilayah sambungan UK dari segi undang-undang", menjadikan serangan itu sebagai potensi pelanggaran undang-undang Britain dan antarabangsa.
"Yayasan Hind Rajab dengan tegas menyeru United Kingdom untuk memenuhi tanggungjawab undang-undangnya dan segera campur tangan bagi memastikan pembebasan tanpa syarat aktivis yang diculik dan masih ditahan secara haram di Israel," menurut kenyataan yayasan. "Kebebasan mereka adalah isu kemanusiaan dan undang-undang yang mendesak."
Yayasan tersebut memfailkan aduan di bawah beberapa rangka kerja undang-undang UK dan antarabangsa, termasuk: Akta Konvensyen Geneva 1957, Akta Mahkamah Jenayah Antarabangsa 2001, dan Seksyen 134 Akta Keadilan Jenayah 1988* (yang melarang penyiksaan)
Mereka mendakwa tentera Israel melakukan, "pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan antarabangsa, jenayah perang, serta pelanggaran bidang kuasa UK."
Antara tuduhan utama termasuk “penggunaan bahan kimia perengsa secara haram dari dron , penahanan paksa dan pengurungan tanpa komunikasi ke atas 12 orang awam tidak bersenjata, penafian akses guaman dan konsular, rampasan bantuan kemanusiaan dan barang peribadi, layanan yang menghina dan tidak berperikemanusiaan.”
Kapal berbendera UK itu tiba di pelabuhan Ashdod, Israel pada petang Isnin di bawah pengawalan tentera selepas disekat oleh Tentera Laut Israel dalam perjalanan ke Gaza untuk mencabar sekatan laut Israel.
Bot tentera laut Israel mengepung kapal tersebut, dan rakaman langsung menunjukkan askar Israel mengarahkan penumpang mengangkat tangan. Dron terbang di atas kapal dan menyembur bahan putih yang tidak dikenal pasti ke dek.
Rampasan ini berlaku selepas Israel mengeluarkan amaran bahawa sebarang cubaan melanggar sekatan lautnya akan dianggap sebagai "tindakan haram".
Kapal bantuan ini merupakan sebahagian daripada Freedom Flotilla Coalition dan membawa 12 anak kapal, termasuk ahli Parlimen Eropah berbangsa Perancis-Palestin, Rima Hassan.
Pada 2 Mei, kapal Conscience yang juga dianjurkan Freedom Flotilla Coalition diserang oleh dron Israel ketika menghampiri Gaza. Serangan itu menyebabkan lubang pada lambung kapal dan kebakaran di Haluan.
Tentera Zionis Israel, yang menolak seruan antarabangsa untuk gencatan senjata, terus melakukan genosid ke atas Gaza sejak Oktober 2023, mengorbankan hampir 55,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan perangnya di Gaza.