Seorang bekas penganalisis Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang ditangkap pada November 2024 kerana membocorkan dokumen perisikan Rahsia Besar mengenai rancangan Israel untuk menyerang Iran, telah dijatuhi hukuman penjara selama 37 bulan, menurut Jabatan Kehakiman AS.
Menurut jabatan itu, Asif William Rahman, 34, telah berkhidmat dengan CIA sejak 2016 dan mempunyai akses kepada maklumat bertaraf Rahsia Besar sehingga diberhentikan selepas penangkapannya.
“Selama beberapa bulan, tertuduh telah mengkhianati rakyat Amerika dan sumpah jawatannya dengan membocorkan rahsia negara yang paling sulit,” kata Penolong Peguam Negara Bahagian Keselamatan Negara, John Eisenberg, pada Rabu.
“Dengan mencuri dan mendedahkan maklumat sulit serta cubaan untuk menutup jenayahnya, Asif Rahman bukan sahaja melanggar undang-undang; malah mengkhianati sumpahnya sebagai penjawat awam dan tanggungjawabnya kepada rakyat Amerika,” kata Penolong Pengarah Bahagian Perisikan Balas FBI, Roman Rozhavsky.
Menurut Jabatan Kehakiman, Rahman telah mengakses dan mencetak dua dokumen Rahsia Besar pada 17 Oktober 2024, yang mengandungi Maklumat Pertahanan Negara berkaitan “sekutu asing AS dan tindakannya yang dirancang terhadap musuh asing.”
Beliau kemudian mengambil gambar dokumen itu dan menghantarnya kepada individu yang tidak sepatutnya mendapat akses.
Keesokan harinya, 18 Oktober, dokumen tersebut mula tersebar di media sosial.
Pertuduhan, penangkapan Rahman
Pihak juri mendakwa Rahman pada 7 November 2024 dan beliau ditangkap oleh FBI pada 12 November.
Namun, menurut jabatan itu, beliau terus mengakses dokumen sulit hingga November, iaitu sebelum beliau ditahan.
Rahman mengaku bersalah pada 17 Januari 2025 atas dua pertuduhan menyimpan dan menghantar maklumat sulit berkaitan pertahanan negara dengan sengaja.
Beliau dijadualkan dijatuhi hukuman pada 15 Mei.
SUMBER: TRT World