Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah penanda aras dalam julat antara 4.25 peratus hingga 4.50 peratus pada akhir mesyuarat selama dua hari, dengan pegawai rizab menjangkakan dua kali pemotongan kadar tahun ini, seiring unjuran terdahulu.
Langkah ini dijangka menimbulkan kemarahan Trump, yang berulang kali menekan agar bank pusat bebas itu menurunkan kadar faedah, dan pada Rabu menggelar Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell sebagai “bodoh” kerana tidak menurunkannya dengan lebih cepat.
“Kita ada seseorang yang bodoh di Rizab Persekutuan,” kata Trump merujuk kepada Powell, beberapa jam sebelum dasar diumumkan.
“Kita tiada inflasi, kita hanya ada kejayaan, dan saya mahu lihat kadar faedah diturunkan,” tambahnya ketika berucap di Rumah Putih. “Mungkin saya patut pergi ke Rizab Persekutuan. Boleh tak saya lantik diri sendiri?”
Rizab Persekutuan menyatakan dalam kenyataan bahawa “ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi telah berkurangan tetapi masih berada pada tahap tinggi.”
Bank pusat itu turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini dan menaikkan ramalan inflasi serta kadar pengangguran dalam unjuran terkini.
Keputusan Rizab Persekutuan itu selari dengan jangkaan penganalisis, dengan ramai pemerhati menyifatkan pendekatan “tunggu dan lihat” sebagai tindakan bijak sementara pihak berkuasa menilai kesan tarif Trump ke atas ekonomi terbesar dunia itu.
Trump pada Rabu menegaskan tiada keperluan untuk merasa bimbang tentang kenaikan harga.
Walaupun Presiden telah mengenakan tarif 10 peratus ke atas kebanyakan rakan dagang AS dan tarif lebih tinggi ke atas import keluli, aluminium dan kereta sejak beberapa bulan lalu, langkah itu belum menyebabkan lonjakan harga yang meluas setakat ini.
Ini sebahagiannya kerana Trump menarik balik atau menangguhkan beberapa tindakannya, manakala syarikat pula bergantung kepada stok sedia ada untuk mengelak kenaikan harga yang akan membebankan pengguna.
Namun pakar ekonomi menjangka ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum tarif mengubah harga barangan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna, sementara Rizab Persekutuan mengambil pendekatan berhati-hati dalam pelarasan kadar faedah.
Pada Rabu, Rizab Persekutuan mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2025 kepada 1.4 peratus berbanding ramalan Mac lalu sebanyak 1.7 peratus.
Ia juga menaikkan unjuran inflasi kepada 3.0 peratus dan kadar pengangguran kepada 4.5 peratus.
Walaupun pegawai rizab merancang pemotongan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini, lebih ramai ahli jawatankuasa dasar Rizab Persekutuan kini cenderung untuk mengekalkan kadar tidak berubah tahun ini.
‘Retorik mengugut’
“Rizab Persekutuan pasti sudah menurunkan kadar semula sekarang jika bukan kerana ketidaktentuan mengenai tarif dan ketegangan di Timur Tengah,” kata pakar ekonomi kanan KPMG, Benjamin Shoesmith.
Beliau menambah bahawa pegawai Rizab Persekutuan mahu melihat sama ada peningkatan harga akan kekal.
Trump telah lama mendesak bank pusat bebas itu untuk menurunkan kadar, menyifatkan Powell “terlalu lambat” dan “bodoh” kerana enggan melaksanakan pemotongan semasa mesyuarat pada Mei lalu.
Trump merujuk kepada inflasi AS yang rendah sebagai alasan untuk menurunkan kadar.
Baru-baru ini, beliau menyatakan pemotongan kadar akan membolehkan negara “membayar lebih rendah untuk hutang yang matang”, tanpa mengambil kira kadar faedah yang lebih rendah biasanya menyebabkan harga pengguna meningkat.
Powell menegaskan jawatankuasa penetapan kadar Rizab Persekutuan akan membuat keputusan berdasarkan analisis yang objektif dan bebas politik, menurut kenyataan sebelum ini.
Beliau juga mempertahankan kebebasan bank pusat AS terhadap campur tangan dalam isu kadar semasa pertemuan terbaharu dengan Trump.
Walaupun ditekan Trump, ahli ekonomi kanan Allianz Trade North America, Dan North, menjangka Powell tidak akan mudah goyah dengan “retorik mengugut”.
“Pengguna masih berbelanja, pasaran buruh masih mencipta pekerjaan, walaupun agak perlahan,” kata North kepada AFP. “Kesihatan ekonomi semasa tidak mendesak Fed untuk menurunkan kadar.”
SUMBER: TRT World & Agensi