Amerika Syarikat telah memaklumkan Iran sebelum melancarkan serangan udara dahsyat ke atas tiga tapak nuklear utamanya, sebagai isyarat bahawa Washington tidak berhasrat memulakan perang berskala penuh.
Seorang sumber politik kanan Iran, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan, mengesahkan kepada Amwaj.media bahawa Washington telah menyampaikan mesej pada 21 Jun bahawa ia tidak mahu konfrontasi besar dan hanya berniat menyasarkan fasiliti nuklear Fordow, Isfahan dan Natanz.
Pegawai Iran segera mengosongkan tapak-tapak tersebut dan memindahkan “sebahagian besar” stok uranium yang telah diperkaya ke lokasi tidak diketahui, menurut sumber itu.
Pihak berkuasa AS mahupun Iran tidak mengulas secara terbuka mengenai laporan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Negara bagi Perniagaan dan Perdagangan United Kingdom, Jonathan Reynolds, berkata London telah dimaklumkan lebih awal mengenai serangan itu.
Tiga pesawat pengebom B-2 melancarkan enam bom Massive Ordnance Penetrator (MOP) seberat 13.6 kg setiap satu ke arah loji pengayaan bawah tanah Fordow.
Penganalisis percaya dua bom menghentam setiap pintu masuk Fordow yang diperkukuh dengan ketat, manakala dua lagi menyasarkan saluran pengudaraannya.
Dalam masa yang sama, sebuah kapal selam AS dilaporkan melepaskan 30 peluru berpandu Tomahawk ke arah Natanz dan kompleks nuklear di Isfahan.
Kedua-dua tapak tersebut sebelum ini telah diserang beberapa hari lebih awal oleh Israel.
Penglibatan AS
Fox News, memetik seorang pegawai AS, melaporkan Isfahan merupakan sasaran yang lebih sukar berbanding Fordow yang terletak jauh di bawah tanah.
“Inilah sasaran paling sukar,” kata pegawai itu. “Semua orang bercakap tentang Fordow, tapi sebenarnya Isfahan adalah (lokasi) paling mencabar.”
Presiden Trump mengisytiharkan bahawa tapak-tapak nuklear itu telah “dimusnahkan sepenuhnya,” sambil memberi amaran bahawa serangan AS pada masa depan akan menjadi “jauh lebih dahsyat.”
Iran mengecam serangan itu sebagai tindakan haram dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Tehran sebelum ini menuduh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) “menyembunyikan kebenaran” tentang program nuklear negara itu selepas agensi PBB itu berkata Iran telah melanggar tanggungjawab nuklearnya.
Pihak berkuasa nuklear Iran berkata langkah-langkah undang-undang sedang disediakan, sementara kedua-dua pihak bersiap sedia menghadapi kemungkinan rentetan ketegangan yang semakin memuncak.
SUMBER: TRT World dan Agensi