Afnan al-Ghanam dari Gaza melahirkan anak pertamanya ketika perang, 13 bulan lalu, semasa keluarganya masih tinggal di rumah mereka.
Dia sepatutnya melahirkan anak sekali lagi pada musim bunga tahun ini—tetapi kali ini, hanya di dalam khemah pelarian yang daif. Namun, sekurang-kurangnya gencatan senjata membawa sedikit ketenangan.
Sebelum subuh pada Selasa, serangan udara Israel menghentam khemah keluarga itu. Al-Ghanam, yang hamil tujuh bulan, dan anak lelakinya, Mohammed, kedua-duanya terbunuh.
“Inilah sasaran mereka,” kata suami al-Ghanam, Alaa Abu Helal, sambil mendakap tubuh kecil Mohammed yang dibalut dengan kain di bilik mayat Hospital Nasser di bandar Khan Younis, selatan Gaza. “Dia dilahirkan semasa perang dalam keadaan sukar dan turut syahid dalam perang ini.”
“Sasaran mereka adalah orang yang tidak bersalah, jiwa yang suci. Mereka hampir tidak sempat melihat dunia,” katanya, sambil menahan tangisan.
Serangan udara Israel itu merencatkan gencatan senjata yang bermula pada pertengahan Januari dan mengejutkan rakyat Palestin yang menganggap terdapat ruang untuk membina semula kehidupan mereka selepas 15 bulan dibedil tanpa henti melalui darat, pengusiran dan kelaparan.
Israel melancarkan serangan pembunuhan beramai-ramai di Gaza selepas serangan mengejut oleh Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Abu Helal berkata dia sedang melawat rumah keluarganya di Rafah, bandar paling selatan di Gaza, ketika serangan itu menghentam khemah mereka di Muwasi, sebuah kem pelarian di luar Khan Younis. Rumah mereka di Rafah rosak akibat perang dan dia mahu memastikan rumah itu tidak dirompak.
Al-Ghanam, yang berusia 20 tahun, dan Mohammed tinggal di Muwasi. “Mereka telah pergi dan tinggalkan saya seorang diri,” katanya. “Anak dalam kandungan juga telah mati.”
Mohammed dilahirkan di Rafah. Tidak lama kemudian, keluarga mereka terpaksa melarikan diri dari bandar itu pada Mei, apabila tentera Israel menghalau mereka dan menyerang bandar tersebut. Serangan itu memusnahkan sebahagian besar Rafah dalam pertempuran antara tentera Israel dengan pejuang Hamas.
“Anda melarikan diri semasa perang untuk memastikan keluarga dan anak-anak anda selamat. Tetapi kemudian, dia mati di sini juga,” kata Abu Helal.
“Semuanya sudah mati.”
SUMBER: AP