Apabila Donald Trump mula mengganggu dasar kemasukan Universiti Harvard dan budaya pendidikan secara umum, ia digambarkan sebagai sebahagian daripada serangan yang lebih besar terhadap apa yang disifatkannya sebagai “wokeness” dalam akademia Amerika.
Tetapi di seberang Atlantik, satu jenis ahli akademik yang berbeza semakin berpengaruh dalam dunia politik, bukan untuk menentang populisme, tetapi untuk mempertahankannya.
Karol Nawrocki, seorang sejarawan dengan PhD dalam kemanusiaan, telah dipilih sebagai presiden Poland dua minggu lalu. Seorang yang mengagumi agenda nasionalis Trump, Nawrocki bukanlah satu kes terpencil.
Di Jerman, Alice Weidel, pengerusi bersama parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD), adalah seorang ahli ekonomi yang penyelidikan kedoktorannya tertumpu kepada sistem pencen China di Universiti Bayreuth.
Di Portugal, Andre Ventura, ketua parti sayap kanan Chega, memegang PhD dalam undang-undang awam.
Di Romania, George Simion, seorang lagi tokoh sayap kanan dan sejarawan yang memuja Trump, baru-baru ini tewas dalam pilihan raya presiden kepada calon pro-EU tetapi memainkan peranan penting dalam menyokong kempen Nawrocki.
Kemunculan tokoh-tokoh ini menimbulkan persoalan: adakah ahli akademik nasionalis sedang menjadi satu trend baharu dalam politik Eropah? Adakah ini satu peralihan baharu atau sekadar kes terpencil?
“Ia bukan satu model,” kata Emmanuel Dupuy, seorang pakar sains politik di Catholic University of Lille dan presiden Institut Kajian Perspektif dan Keselamatan Eropah (IPSE), sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada diplomasi trek-dua (perbincangan luar kerajaan) dan analisis strategik.
“Ini bukan norma di seluruh Eropah. Walaupun terdapat ahli politik sayap kanan daripada latar belakang akademik, tidak semua ahli politik mempunyai latar belakang akademik,” kata Dupuy kepada TRT World.
Ahli akademik dan populisme
Pengkritik populisme sering memperlekehkan ideologi itu kerana menawarkan jawapan mudah kepada isu yang kompleks — dari migrasi ke dasar ekonomi dan konflik Israel-Palestin. Namun, Dupuy melihat penglibatan ahli akademik dalam politik sayap kanan sebagai satu gejala trend sosiologi - perasaan meluat yang semakin meningkat terhadap ahli politik elit arus perdana.
“Sangat mudah untuk mengatakan bahawa ahli akademik bukan dari Marikh,” katanya. “Mereka mempunyai ideologi sama seperti orang lain. Seorang ahli akademik tidak semestinya neutral, mereka mempunyai kepercayaan peribadi dan politik sendiri, yang selalunya dibentuk oleh latar belakang keluarga, sosial dan politik mereka.”
Ahli akademik, tambah Dupuy, bukan “di luar masyarakat”, tetapi “di dalam masyarakat”. “Adalah sangat normal jika ada yang memilih untuk menerapkan kepakaran mereka dalam konteks politik.”
Walaupun Dupuy melihat kemunculan “ahli politik akademik” sebagai sebahagian daripada perubahan dalam sosiologi umum kepimpinan politik di Eropah, ketua Chega, Ventura berkata beliau melihat dunia akademik dan politik dalam dimensi yang berbeza.
Ventura menegaskan beliau tidak gemar mencampurkan kerja akademiknya dengan kerja politik. Apabila ditanya tentang percanggahan antara tesis PhD beliau — yang mengkritik “populisme jenayah”, mempromosi stigma terhadap minoriti, dan menambah kuasa polis — serta kedudukannya dalam sayap kanan, Ventura mendakwa penulisannya hanyalah “analisis saintifik, bukan postulat ideologi.”
Bukan nasionalis, tetapi ‘sovereigntist’
Bagi Dupuy, tidak sukar untuk faham bahawa ahli akademik sayap kanan menerima pakai “beberapa elemen kedaulatan atau penegasan semula terhadap kedaulatan negara mereka” — sama ada Poland atau Portugal.
Oleh itu, beliau tidak menggelar mereka nasionalis tetapi sovereignist (penyokong ideologi kedaulatan negara). Di seluruh wilayah Kesatuan Eropah (EU), banyak kumpulan sayap kanan menentang dasar federalis kesatuan itu yang mereka percaya melanggar peraturan kedaulatan negara mereka sendiri.
“Tidak sukar untuk difahami,” katanya, “bahawa ahli akademik sayap kanan ini sedang memperjuangkan penegasan semula kedaulatan negara mereka.”
Namun begitu, Dupuy menambah bahawa pengaruh akademik terhadap politik sayap kanan masih terhad di negara-negara seperti Itali dan Perancis, di mana pemimpin populis selalunya tidak mempunyai kelayakan akademik.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, walaupun mengamalkan dasar keras, bukan daripada latar belakang akademik. Begitu juga dengan pemimpin sayap kanan Perancis Marine Le Pen dan Jordan Bardella. Bardella, seorang ahli politik anti-imigrasi, adalah anak kepada pendatang asing.
“Detik penemuan pemula politik”
Dupuy juga menolak pengaruh Renaud Camus, seorang ahli akademik sayap kanan Perancis yang sering dikaitkan sebagai punca kebangkitan teori “The Great Replacement”, iaitu dakwaan bahawa pendatang asing akhirnya akan menggantikan penduduk asal jika migrasi tidak dihentikan di Eropah.
“Camus tidak mewakili apa-apa dari segi politik,” kata Dupuy. “Camus bercakap secara akademik mengenai isu migrasi yang telahpun wujud dalam retorik parti nasionalis 10 hingga 20 tahun sebelum Camus menulis tentangnya. Idea-ideanya sudahpun berada dalam retorik parti-parti nasionalis lama sebelum beliau menulisnya.”
Ecaterina Matoi, seorang ahli akademik Romania di Institut Politik dan Ekonomi Timur Tengah (MEPEI) yang berpangkalan di Bucharest, bersetuju dengan Dupuy. “Camus tidak pernah mendapat pengaruh sehebat Marine Le Pen,” katanya.
Tetapi Matoi juga menarik perhatian kepada hakikat bahawa “dalam detik penemuan semula politik ini, komuniti Eropah tidak seharusnya lupa” bahawa bekas Canselor Jerman, Angela Merkel — seorang pemimpin konservatif arus perdana — juga merupakan “seorang ahli akademik.”
Merkel, yang telah lama dianggap sebagai simbol kestabilan berhaluan tengah di Eropah, tidak dinilai semata-mata atas latar belakang akademiknya sahaja — sama seperti Nawrocki atau Weidel.
“Menjadi seorang ahli akademik tidak menjadikan seseorang itu sederhana atau ekstrem,” katanya, “tetapi ia boleh membentuk cara mereka menyampaikan dasar.”
SUMBER: TRT World