Timbalan bahagian politik penyiar rasmi Iran berkata negara itu berjaya memindahkan bahan-bahan dari tiga tapak nuklear sebelum diserang oleh Amerika Syarikat, lapor agensi berita IRNA.
“Sebahagian kawasan tapak nuklear Fordow telah menjadi sasaran serangan udara oleh kuasa musuh,” lapor IRNA, memetik pejabat gabenor wilayah Qom pada Ahad.
Timbalan gabenor keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang wilayah Isfahan mengesahkan berlaku serangan berhampiran fasiliti nuklear di Isfahan dan Natanz, tambah IRNA.
Tentera Israel mengumumkan status berjaga-jaga, penggantungan sesi persekolahan, larangan perhimpunan dan pemberhentian kerja tidak penting susulan serangan tersebut.
Presiden Donald Trump mengumumkan tentera AS telah menyertai Israel dalam melancarkan serangan terhadap Iran.
“Kami telah menyempurnakan serangan kami yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz dan Esfahan,” tulis Trump di Truth Social.
SUMBER: AA