Israel menahan dua aktivis antarabangsa yang turut serta dalam misi bantuan kapal Madleen ke Gaza dalam kurungan bersendirian, menurut satu kenyataan daripada kumpulan hak asasi Israel.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, organisasi hak asasi dan pusat undang-undang Adalah berkata Thiago Avila, sukarelawan dari Brazil, dan Rima Hassan, Ahli Parlimen Eropah berdarah Perancis-Palestin, telah dipindahkan ke fasiliti penjara yang berasingan dan diletakkan dalam kurungan bersendirian.
“Thiago Avila telah diasingkan di Penjara Ayalon kerana mogok lapar dan dahaga yang dimulakannya dua hari lalu,” katanya.
Adalah turut mendedahkan Avila dilayan dengan kasar oleh pihak penjara, namun tidak sampai ke tahap serangan fizikal.
“Rima Hassan pula diletakkan dalam kurungan bersendirian dalam keadaan tidak berperikemanusiaan di Penjara Neve Tirza selepas menulis ‘Free Palestine’ pada dinding Penjara Givon,” tambahnya.
“Beliau dipindahkan ke sel kecil tanpa tingkap yang amat kotor dan dia tidak diberi akses ke kawasan luar penjara.”
‘Tindakan balas dendam’
Kumpulan hak asasi itu mengutuk pemindahan dua aktivis tersebut ke fasiliti penjara berasingan serta menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius terhadap hak sukarelawan dan cubaan jelas untuk mengenakan tekanan mental dan politik ke atas mereka.”
Ia menyeru pihak berkuasa Israel untuk menamatkan kurungan bersendirian, menghentikan semua “tindakan balas dendam”, dan segera membebaskan kesemua lapan sukarelawan yang ditahan.
Pusat itu kemudian memaklumkan bahawa “Rima telah dipindahkan semula ke Givon dari kurungan bersendirian. Thiago masih dalam pengasingan.”
Mereka berdua adalah antara 12 aktivis antarabangsa yang ditahan oleh tentera Israel di atas kapal bantuan Madleen pada Isnin. Empat aktivis telah dihantar pulang ke negara masing-masing pada Selasa.
Enam lagi yang masih dalam tahanan Israel ialah Suayb Ordu dari Türkiye, Mark van Rennes dari Belanda, Pascal Maurieras, Yanis Mhamdi, Reva Viard dari Perancis, dan Yasemin Acar dari Jerman.
Keganasan Israel
Israel telah merampas kapal yang berdaftar di bawah bendera Britain di perairan antarabangsa ketika ia belayar ke Gaza dalam usaha untuk memecah sekatan Israel, yang telah menyebabkan lebih 55,100 orang terbunuh sejak Oktober 2023.
Sejak Israel menutup semua lintasan sempadan Gaza daripada bantuan kemanusiaan disalurkan pada awal Mac, agensi-agensi bantuan memberi amaran mengenai risiko kebuluran dalam kalangan 2.4 juta penduduk Gaza.
Sepanjang genosid ini, Israel telah memusnahkan sebahagian besar wilayah yang dikepung itu, sekali gus mengusir hampir kesemua penduduknya.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang kejamnya ke atas wilayah Palestin itu.
SUMBER: TRT World & Agensi