Awal bulan ini, rakyat Palestin yang telah lama menderita akibat perang dan trauma dikejutkan dengan satu lagi berita buruk: Dr Adnan Al-Bursh, seorang doktor terkenal yang merawat pesakit yang cedera di Gaza ketika bom jatuh di sekelilingnya, telah terbunuh ketika berada dalam tahanan tentera Israel.
Al-Bursh, ketua jabatan ortopedik di Hospital Al-Shifa yang telah dibom di Gaza, meninggal dunia di penjara tentera Israel, Ofer, yang terletak di Tebing Barat yang diduduki. Penjara ini dikenali sebagai salah satu pusat tahanan di mana rakyat Palestin dilaporkan dilayan secara tidak berperikemanusiaan.
“Dia dipukul hingga mati. Bekas tahanan [yang berada bersamanya di penjara yang sama] mengatakan dia mempunyai tanda-tanda trauma di muka dan kepala,” kata Ghassan Abu Sittah, seorang pakar bedah plastik dan rekonstruktif British-Palestin, yang pernah bekerja bersama Al-Bursh di hospital Gaza semasa konflik terdahulu.
Berita kematian Al-Bursh hanya diketahui umum selepas beberapa tahanan yang dibebaskan pada 2 Mei di persimpangan Karam Abu Salem menceritakannya kepada NGO Palestin. Tentera Israel dengan cepat mengesahkan laporan bahawa doktor tersebut telah meninggal dunia pada 19 April.
Israel enggan menyerahkan jenazah Al-Bursh dan aktivis mengatakan ini kerana Tel Aviv tidak mahu dunia mengetahui bahawa doktor itu telah diseksa hingga mati.
“WHO mesti menuntut agar jenazahnya dikembalikan supaya punca kematian dapat ditentukan dan keluarganya dapat ketenangan,” kata Abu Sittah. “Nyawa 100 pekerja kesihatan di penjara Israel kini dalam bahaya.”
Pada 11 Mei, CNN menerbitkan laporan penyiasatan berdasarkan wawancara dengan pemberi maklumat yang bekerja di pusat tahanan itu, yang memperincikan bagaimana rakyat Palestin yang ditahan dari Gaza dipukul, ditutup mata, tangan mereka cedera akibat gari dan ditendang serta dipukul sebagai tindakan balas dendam.
Al-Bursh dan Dr Ahmed Muhanna, seorang lagi doktor Palestin, ditangkap pada Disember atas alasan ‘keselamatan negara’ semasa serbuan tentera Israel di hospital Al Awda di kem Jabalia, Gaza, kata Abu Sittah. Sejak itu, tiada berita mengenai keadaan mereka sehingga Israel mengesahkan bahawa Al-Bursh telah meninggal dunia di penjara Ofer.
Muhanna masih berada di penjara, kata Abu Sittah kepada TRT World: “Tiada peguam, tiada ICRC, tiada apa-apa.” Rakyat Palestin yang ditahan sejak 7 Oktober tidak mempunyai wakil undang-undang, tiada hubungan dengan sesiapa di luar dan “tiada proses mahkamah,” tambahnya.
Mengabaikan Bukti
Sekurang-kurangnya 18 rakyat Palestin dari Gaza termasuk Al-Bursh diumumkan meninggal dunia dalam tahanan Israel, menurut dua persatuan tahanan Palestin dalam satu kenyataan pada 2 Mei.
Walaupun terdapat banyak bukti mengenai penyeksaan di dalam penjara, pemimpin dunia Barat enggan mengambil tindakan. Pentadbiran Presiden AS Joe Biden pula sibuk membincangkan jenis senjata yang harus dibekalkan kepada Israel yang merupakan sekutu utamanya.
“Siasatan bebas mengenai keadaan di sebalik kematian Dr Adnan Al-Bursh dan lain-lain semasa dalam tahanan Israel adalah penting untuk mencari keadilan dan akauntabiliti. Israel mesti menyerahkan jenazah Dr. Adnan kepada keluarganya untuk pengebumian yang bermaruah,” kata Milena Ansari, penyelidik pembantu Israel dan Palestin di Human Rights Watch (HRW).
“Kekebalan dari hukuman menyebabkan lebih banyak pelanggaran hak asasi manusia; Israel telah melayan tahanan Palestin dengan kasar dan menyeksa mereka selama bertahun-tahun,” kata Ansari kepada TRT World. Walaupun Ansari tidak menyatakan sama ada kematian Al-Bursh merupakan jenayah perang, pasukannya telah mendokumentasikan “penyeksaan dan layanan buruk terhadap tahanan Palestin.”
Berperang dengan Mayat
Dasar Israel yang menahan mayat tahanan Palestin telah lama dikuatkuasakan. Undang-undang Israel membenarkan kerajaannya menyimpan mayat rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada program penentangan pemberontakan dan menggunakannya sebagai alat tawar-menawar.
“Pada 2017, Mahkamah Agung Israel memutuskan bahawa kerajaannya tidak mempunyai asas undang-undang untuk menahan mayat. Namun, pada 2019, mahkamah itu menukar keputusan dan menyokong dasar kerajaan untuk menahan mayat individu yang dikaitkan dengan Hamas atau mereka yang telah membunuh atau mencederakan rakyat Israel,” kata Ansari.
Dasar ini jelas bertentangan dengan kehendak undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang memerlukan “usaha untuk memudahkan pemulangan jenazah atas permintaan pihak yang mempunyai hak ke atasnya,” tambahnya.
“Menghukum keluarga si mati yang tidak dituduh atas sebarang kesalahan, dengan sengaja dan secara tidak sah adalah satu bentuk hukuman kolektif, satu lagi pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ia juga boleh dianggap sebagai perlakuan kejam, tidak berperikemanusiaan, atau merendahkan martabat keluarga si mati, yang juga satu pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.”
Sekarang keluarga Al-Bursh pula yang mengalami penyeksaan ini.
“Sehingga kini, kami belum menerima jenazahnya dan saya berdoa kepada Tuhan agar dia tidak dikebumikan di tanah perkuburan bernombor atau dibuang di sebelah selatan. Saya mahu dia kembali ke sini di utara supaya saya boleh mengucapkan selamat tinggal dan melihat bagaimana saat-saat terakhirnya sebelum dia syahid,” kata Umm Yazan, isteri Dr Adnan kepada Al Jazeera. Dia yakin suaminya telah diseksa hingga mati oleh Israel.
Dasar Israel ini telah wujud selama beberapa dekad dan mayat sering disimpan di rumah mayat atau dikebumikan di “perkuburan bernombor”, kata Ansari, yang pernah bekerja untuk Addameer, sebuah organisasi tahanan Palestin. “Ada seorang tahanan yang mayatnya disimpan sejak tahun 90-an.”
“Ia adalah penindasan, sebahagian daripada sistem dominasi. Hukuman untuk keluarga dan untuk menakutkan orang lain,” kata Ansari.
Israel juga mungkin mahu menyembunyikan bukti pelanggaran hak asasi manusia, tambahnya. Addameer sebelum ini melaporkan bahawa amalan menahan mayat akan menghalang siasatan yang boleh mendedahkan keadaan bahawa pelaksanaan hukuman mati yang dijalankan tidak mengikut undang-undang.
Termasuk kematian Al-Bursh, sekurang-kurangnya 496 petugas sektor perubatan telah dibunuh tentera Israel dalam tempoh 7 bulan yang lalu.
Lebih 34,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.
Bersemadi di Gaza!
Al-Bursh dilahirkan di Jabalia, utara Gaza. Beliau belajar kursus perubatan di Romania dan menerima latihan perubatan di hospital di UK dan Jerman.
“Dia memang seorang pencinta kehidupan. Dia akan bangun awal untuk berenang di pantai sebelum memulakan kerja. Dia akan berenang walaupun waktu musim sejuk. Dia sentiasa bersemangat, selalu tersenyum,” kata Abu Sittah.
Pada 14 November 2023, Al-Bursh merakam video yang menyedihkan dari Hospital Al-Shifa, fasiliti perubatan terbesar di Gaza. Dia menunjukkan kepada dunia bagaimana hospital itu terpaksa beroperasi tanpa bekalan elektrik dan air.
Satu “vigil” atau perhimpunan nyalaan lilin diadakan pada 8 Mei untuk Al-Bursh di hadapan King’s College di London, di mana beliau menjalani latihan sebagai pakar bedah ortopedik.
“Dr Adnan Al-Bursh adalah simbol penderitaan, ketabahan dan keberanian rakyat Palestin. Dia mengabdikan hidupnya untuk merawat dan menjaga orang ramai,” kata Sami al Arian, seorang profesor Palestin-Amerika.
“Dia ditangkap ketika menjalankan tugasnya sebagai pakar bedah ortopedik semasa peperangan sedang berlaku,” kata Arian kepada TRT World.
Dia “mengorbankan hidupnya” demi memastikan rakyat Palestin “tidak akan melepaskan hak mereka” dan terus bangkit menentang penindasan Israel sehingga mencapai kemerdekaan, tambah profesor itu.
“Dia adalah seorang doktor yang hebat dan manusia yang luar biasa, semua orang yang pernah saya temui berkata yang sama,” kata Kamel Hawwash, seorang akademik dan penganalisis British-Palestin.
“Ini menunjukkan bahawa Israel tidak menganggap rakyat Palestin sebagai manusia,” kata Hawwash kepada TRT World.
Hawwash berkata keengganan Israel untuk menyerahkan mayat Al-Bursh kepada keluarganya adalah “tindakan balas dendam” terhadap rakyat Palestin. Dia menyatakan harapan supaya suatu hari nanti Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pemimpin Israel yang lain akan dibicarakan sebagai penjenayah perang di Mahkamah Hague atas jenayah mereka terhadap rakyat Palestin.
Mungkin apa yang Israel tidak sedari ialah disebalik segala kekejamannya, rakyat Palestin di Gaza tidak akan meninggalkan tanah air mereka. Dan perjalanan kehidupan Al-Bursh adalah buktinya.
“Selepas menjalani latihan di Jerman, Jordan dan UK, dia sebenarnya boleh dapat pekerjaan di mana-mana sahaja di dunia. Tetapi ketika saya bertanya semasa perang 2021, ‘adakah kamu menyesal datang kembali?’ dan Al-Bursh berkata dia tidak dapat bayang menghabiskan hidupnya di tempat lain selain Gaza,” kata Ghassan Abu Sittah.