Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Ahad mengesahkan tiada peningkatan tahap radiasi di luar lokasi yang dilaporkan setakat ini susulan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow.
“IAEA akan memberi penilaian lanjut mengenai situasi di Iran apabila lebih banyak maklumat diperoleh,” kata agensi itu di platform X.
Situasi di rantau tersebut terus meruncing selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pada Ahad bahawa pasukan tentera AS telah melancarkan serangan udara “yang berjaya” ke atas tiga tapak nuklear Iran.
Pergolakan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk fasiliti ketenteraan dan nuklear, yang menyebabkan Tehran melancarkan serangan balas.
Pihak berkuasa Israel berkata sekurang-kurangnya 25 orang telah terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran.
Sementara itu, di Iran, seramai 430 orang terbunuh dan lebih 3,500 cedera akibat serangan Israel, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
SUMBER: AA