DUNIA
2 min membaca
Trump halang rancangan Israel bunuh Ayatollah Ali Khamenei
Netanyahu tidak mengesahkan atau menafikan laporan media bahawa Presiden AS telah memveto rancangannya untuk membunuh Ayatollah.
Trump halang rancangan Israel bunuh Ayatollah Ali Khamenei
Presiden AS Donald Trump menolak rancangan Israel untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menurut pegawai AS. / Reuters
16 Jun 2025

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memveto satu rancangan oleh Israel untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menurut seorang sumber yang memberitahu AFP.

“Kami mendapat tahu bahawa pihak Israel merancang untuk menyerang pemimpin tertinggi Iran. Presiden Trump tidak bersetuju dan kami memberitahu pihak Israel supaya tidak meneruskannya,” kata pegawai kanan AS itu pada Ahad.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengelak daripada menjawab soalan mengenai laporan bahawa Trump telah meminta negaranya supaya tidak membunuh Khamenei.

“Saya tidak akan mengulas perkara itu,” katanya kepada Fox News.

“Tetapi saya boleh katakan… kami akan lakukan apa yang perlu, dan saya rasa Amerika Syarikat tahu apa yang terbaik untuk Amerika Syarikat,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat ketika Israel dan Iran sekali lagi saling melancarkan serangan peluru berpandu pada Ahad, dengan penduduk diminta berlindung apabila bunyi letupan kedengaran di sekitar Baitulmaqdis, dan sistem pertahanan udara dilapor diaktifkan di Tehran.

Selepas beberapa dekad bermusuhan dan melancarkan perang belakang tabir menerusi proksi dan operasi sulit, konflik terbaharu ini menandakan kali pertama kedua-dua negara saling menyerang secara terbuka, sekali gus mencetus kebimbangan akan berlakunya peperangan berpanjangan yang mampu menggugat keseluruhan rantau Asia Barat.

Serangan terbaharu ini bermula pada Jumaat, selepas Israel melancarkan serangan yang membunuh beberapa komander tentera kanan dan saintis nuklear Iran, selain menyerang pangkalan tentera, tapak nuklear, dan kawasan kediaman di seluruh negara itu.

Serangan mengejut oleh Tel Aviv mencetuskan konflik dan menyebabkan Iran membalas dengan melancarkan serangan ke atas Israel.

Serangan balas masih berterusan hingga ke hari ini.

Netanyahu turut memberi bayangan kepada Fox News bahawa Israel telah membunuh ketua perisikan Iran, Mohammad Kazemi, dengan mengatakan negaranya baru-baru ini telah “dapat ketua pegawai perisikan dan timbalannya di Tehran” semasa pesawat pejuang mereka melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Iran itu.

Trump menegaskan bahawa Washington, yang merupakan sekutu rapat Israel, “tidak ada kaitan” dengan serangan yang dilancarkan oleh Israel.

Presiden AS itu menekankan kepada ABC News pada Ahad bahawa Amerika Syarikat “buat masa ini tidak terlibat” dalam sebarang tindakan ketenteraan.

Beliau juga berkata beliau “terbuka” kepada cadangan agar Presiden Rusia, Vladimir Putin, menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik tersebut.

SUMBER: AFP

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us