Suatu ketika dahulu, arang batu menggerakkan dunia perindustrian, mendorong kemajuan dan inovasi. Tetapi hari ini, kisahnya telah berubah daripada kemajuan kepada kemusnahan alam sekitar.
Arang batu merupakan punca kepada pelepasan kira-kira 40% karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global. Dan di Afrika, di mana jutaan orang bergantung kepada arang untuk memasak, kesannya lebih teruk. Tetapi satu penyelesaian baharu mula muncul iaitu "arang hijau".
Dalam episod ini, kita akan melihat kesan penggunaan arang terhadap alam sekitar dan budaya di Afrika, dan bagaimana "arang hijau" mungkin menjadi kunci kepada masa depan yang mampan.
Ini adalah Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts.
Bagi jutaan orang di seluruh Afrika, arang tradisional adalah sebahagian daripada budaya dan kehidupan seharian. Ia berkait rapat dengan asas kehidupan mereka iaitu makanan.
Memasak menggunakan arang sudah sebati dalam tradisi.
Ia digunakan untuk menyediakan hidangan kegemaran seperti Nyama Choma dari Kenya atau Suya, makanan jalanan yang pedas dari Nigeria. Pembakaran secara perlahan menaikkan aroma dan rasa yang menarik. Selain memasak, ia turut mempunyai kepentingan rohani dalam ritual dan upacara untuk pelbagai komuniti.
Arang juga merupakan talian hayat ekonomi. Pengeluaran dan perdagangannya menyara jutaan rakyatnya, terutama di kawasan luar bandar. Bagi banyak keluarga berpendapatan rendah, ia adalah sumber bahan api yang berpatutan dan mudah didapati berbanding alternatif lain seperti elektrik atau gas. Tetapi kemudahan ini datang dengan harga yang tinggi.
Pengeluaran arang adalah antara penyebab utama penebangan hutan. Hutan ditebang lebih cepat daripada ia boleh pulih, menyebabkan kehilangan habitat semula jadi hidupan liar, hakisan tanah dan penurunan produktiviti pertanian.
Pokok memainkan peranan penting dalam menyerap karbon dioksida iaitu sejenis gas rumah hijau. Penebangan pokok yang banyak untuk arang batu menyebabkan sesuatu kawasan itu melepaskan karbon ke atmosfera, sekaligus menyumbang kepada pemanasan global. Malah proses pengeluaran arang itu sendiri turut melepaskan gas rumah hijau.
Pembakaran arang batu melepaskan bahan cemar yang berbahaya, termasuk karbon monoksida, yang boleh menyebabkan masalah pernafasan dan masalah kesihatan serius lain apabila dihidu. Terutamanya jika memasak di dalam rumah tanpa pengudaraan yang betul.
Namun, penggunaan arang masih berterusan. Di banyak negara Afrika, setiap orang dianggarkan menggunakan hampir dua kilogram kayu api atau arang batu setiap hari. Tetapi bolehkah alternatif yang lebih bersih dan hijau mengubah situasi ini?
Arang hijau, atau bio-arang, diperbuat daripada biojisim—iaitu sisa organik seperti hampas tebu atau serpihan kayu. Prosesnya melibatkan pengeringan, pemanasan dan pemampatan. Bahan api mesra alam ini membakar dengan cekap, mengurangkan pengeluaran bahan cemar dan membantu memelihara hutan.
Bioarang juga boleh digunakan dalam pertanian sebagai baja untuk meningkatkan kesihatan tanah, pengekalan air dan menggalakkan hasil tanaman yang lebih baik.
Ia juga boleh mengubah ekonomi tempatan dengan mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang mahal. Tambahan pula, arang hijau menjana kredit karbon yang boleh didagangkan oleh negara lain. Tetapi sesetengah komuniti tempatan tidak merasa yakin.
Pengkritik mengatakan peralihan kepada tenaga bersih sering kali dirancang dengan tidak baik dan menyebabkan komuniti tempatan tertanya-tanya mengenai masa depan mereka. Di Ermelo, Afrika Selatan, orang ramai menyuarakan kebimbangan tentang peralihan daripada arang batu di bawah Peralihan Tenaga Adil (JET).
Kawasan ini sangat bergantung kepada lombong arang batu dan loji janakuasa, dengan hampir 80% daripada 80,000 penduduknya bekerja untuk syarikat tenaga dan pengangkutan milik negara, iaitu Eskom dan Transnet. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat merancang untuk menutup kemudahan arang batu mereka menjelang 2025, sekaligus menimbulkan kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan.
Pada masa sama, ramai turut menuntut keadilan iklim, dengan meminta negara kaya membayar "hutang iklim" mereka kepada negara seperti Kenya, yang mengalami kesan buruk akibat perubahan iklim walaupun negara itu tidak banyak menyumbang kepada pelepasan global.
Keperluan bahan tenaga di Afrika yang semakin meningkat mendorong negara-negara di benua itu mencari alternatif yang lebih bersih dan mampan berbanding bahan api fosil tradisionalnya. Arang hijau menawarkan potensi besar dalam menyelesaikan kebergantungan semasa terhadap arang batu dan menjamin masa depan yang berasaskan bahan tenaga yang lebih bersih dan boleh diperbaharui.
Demikian episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar dan sehingga kita jumpa lagi. Kekal peka terhadap alam sekitar dan dapatkan maklumat tepat! Episod ini diadaptasi daripada artikel di TRT World.