DUNIA
3 min membaca
Pesawat Air India ke London dengan 242 penumpang terhempas di Ahmedabad, ramai dikhuatiri maut
Lebih 100 mayat dibawa ke hospital selepas pesawat Air India AI171 terhempas di asrama doktor sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, London.
Pesawat Air India ke London dengan 242 penumpang terhempas di Ahmedabad, ramai dikhuatiri maut
Penerbangan Air India AI171 terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang Ahmedabad. / Domain awam / Public domain
12 Jun 2025

Sebuah pesawat penumpang Air India yang membawa 242 orang terhempas di Ahmedabad, bandar utama di negeri Gujarat, India barat, dan ramai dikhuatiri maut, menurut beberapa laporan media yang memetik kenyataan polis.

Menurut laporan, pesawat AI171 sedang dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London (Gatwick) ketika kejadian berlaku.

Pesawat itu terhempas di sebuah bangunan asrama untuk doktor tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel pada Khamis, menurut polis.

Pesawat tersebut membawa 232 penumpang dan 10 anak kapal, termasuk beberapa warga asing dan tokoh ternama India, antaranya bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani.

Air India memaklumkan penumpang yang terlibat terdiri daripada 169 warganegara India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal, seorang warga Kanada, dua juruterbang, dan sepuluh kru kabin.

Lebih 100 mayat telah dibawa ke hospital di Ahmedabad selepas pesawat tersebut terhempas, menurut Reuters yang memetik kenyataan pihak polis.

Air India dalam satu kenyataan ringkas berkata, “Buat masa ini, kami sedang mengenal pasti butiran lanjut dan akan berkongsi perkembangan secepat mungkin.”

Pengerusi Air India N. Chandrasekaran menyatakan “kesedihan yang amat mendalam” atas tragedi itu.

“Fokus utama kami ialah memberi sokongan kepada semua yang terlibat dan keluarga mereka,” katanya. “Kami sedang melakukan segala yang termampu untuk membantu pasukan penyelamat di lokasi dan memberi sokongan serta penjagaan yang sewajarnya.”

Laporan awal menyebut pesawat itu terhempas di kawasan Meghani Nagar di bandar Ahmedabad, dengan visual di media sosial menunjukkan asap tebal di lokasi nahas.

Pesawat tersebut berlepas pada jam 1:38 pagi waktu tempatan dan terhempas pada jam 1:40 petang berhampiran lapangan terbang. Pihak Lapangan Terbang Gatwick berkata pesawat itu dijadualkan tiba di London pada jam 6.25 petang waktu tempatan.

Pihak berkuasa telah melancarkan operasi menyelamat, dan pasukan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian. Walaupun maklumat masih terhad, sumber mengesahkan terdapat penumpang dan kru dalam pesawat semasa nahas berlaku. Pegawai Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) dijangka akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Saksi berhampiran lapangan terbang melaporkan mendengar letupan kuat sebelum melihat pesawat itu menjunam dengan pantas. Kerajaan negeri Gujarat memberi jaminan tindakan segera akan diambil dan bantuan akan diberikan kepada mereka yang terjejas

Perdana Menteri India Narendra Modi berkata beliau terkejut dan sedih dengan kejadian itu. “Tragedi di Ahmedabad ini mengejutkan dan sangat menyayat hati. Saya telah berhubung dengan menteri dan pihak berkuasa yang sedang berusaha membantu mangsa,” kata Modi di platform X.

“Amat terkejut mendengar insiden pesawat Air India dari Ahmedabad ke London yang terhempas berhampiran lapangan terbang Ahmedabad. Saya berdoa untuk keselamatan semua penumpang dan kru,” kata Yusuf Pathan, bekas pemain kriket dan ahli parlimen India di platform X.

SUMBER: TRT World dan Agensi

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us