United Kingdom melantik seorang wanita buat kali pertama untuk menerajui Perkhidmatan Perisikan Rahsianya (MI6), menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Blaise Metreweli merupakan individu ke-18 yang akan mengetuai MI6, menggantikan Sir Richard Moore yang akan meninggalkan perkhidmatan tersebut pada musim luruh ini.
Perdana Menteri Keir Starmer menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pencapaian “bersejarah”, sambil menekankan peranan penting perkhidmatan perisikan dalam menghadapi cabaran keselamatan dunia.
“United Kingdom kini berdepan ancaman pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Starmer, sambil merakamkan penghargaan kepada Moore atas “khidmat baktinya yang penuh dedikasi.”
Setiausaha Luar David Lammy memuji pengalaman luas Metreweli dalam bidang keselamatan negara, menyifatkan beliau sebagai “calon paling ideal untuk memimpin MI6 ke arah masa depan.”
Metreweli kini memegang jawatan sebagai ketua pengarah bahagian Q dalam MI6, yang bertanggungjawab terhadap teknologi dan inovasi. Beliau menyertai perkhidmatan itu sebagai pegawai lapangan pada 1999.
Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan pengarah di agensi perisikan dalam negeri MI5, dan sebahagian besar kerjayanya dihabiskan dalam peranan operasi di Timur Tengah dan Eropah.
Ahli antropologi lulusan Cambridge itu menyatakan rasa bangga kerana diberi amanah untuk mengetuai perkhidmatan tersebut, “bagi memastikan keselamatan rakyat Britain dan memperjuangkan kepentingan UK di peringkat antarabangsa.”
“Saya berharap untuk meneruskan tugas ini bersama semua pegawai dan ejen MI6 yang berani, serta rakan kerjasama kami di seluruh dunia,” kata Metreweli.
SUMBER: AA