DUNIA
2 min membaca
Insiden tembakan di sekolah Austria ragut 10 nyawa
Menurut polis Austria, satu operasi sedang dijalankan di Dreierschuetzengasse, di mana terletaknya sebuah sekolah menengah.
Insiden tembakan di sekolah Austria ragut 10 nyawa
Insiden tembakan di sekolah Austria / AFP
10 Jun 2025

Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan beberapa yang lain cedera dalam satu serangan di sebuah sekolah di bandar Graz, Austria, menurut laporan Reuters yang memetik agensi berita tempatan APA.

Suspek dalam insiden tembakan di sekolah di bandar Graz itu merupakan antara yang maut, kata polis Austria pada Selasa dalam satu hantaran di platform X.

Media rasmi Austria ORF melaporkan bahawa beberapa individu mengalami kecederaan serius, termasuk pelajar dan guru.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Canselor Austria Christian Stocker menyifatkan insiden tembakan itu sebagai satu “tragedi nasional”. Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Amukan bersenjata di sebuah sekolah di Graz adalah satu tragedi nasional yang telah menggoncang seluruh negara kita,” kata Stocker. “Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesakitan dan kesedihan yang kita semua – seluruh Austria – rasai sekarang,” tambahnya.

Polis berkata satu operasi sedang dijalankan di Dreierschuetzengasse, di mana terletaknya sebuah sekolah menengah, namun enggan mengulas lanjut.

Polis di bandar Graz, Austria, telah dikerahkan ke sebuah sekolah pada Selasa selepas menerima panggilan mengenai satu insiden di mana bunyi tembakan didengari.

Jurucakap polis Sabri Yorgun berkata pasukan khas turut dihantar ke sekolah menengah itu selepas menerima panggilan pada 10 pagi, dan pihak berkuasa sedang berusaha mendapatkan gambaran penuh mengenai apa yang terjadi.

Graz, bandar kedua terbesar di Austria, terletak di bahagian tenggara negara itu dan mempunyai kira-kira 300,000 penduduk.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us