Ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah susulan serangan udara Israel ke atas Iran menenggelamkan sentimen positif pasaran global yang sebelum ini digerakkan oleh rundingan perdagangan AS-China.
Kini, kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih besar antara Israel dan Iran meningkatkan sentimen negatif.
Walaupun perjanjian baharu AS dengan China — rakan perdagangan terpentingnya — dan jangkaan kompromi dengan negara lain menyokong pasaran ekuiti, pelabur lebih memberi tumpuan kepada risiko geopolitik susulan serangan terbaharu Israel ke atas Iran.
Selepas serangan itu, harga minyak Brent menunjukkan pergerakan ketara. Disebabkan kebimbangan terhadap bekalan, harga Brent meningkat kepada AS$76.3 setong, paras tertinggi sejak Februari. Pada jam 0620GMT, harga minyak Brent diniagakan pada AS$73.44 setong, naik 5.4%.
Sementara itu, harga emas melonjak kepada AS$3,445 seauns pada Jumaat sebelum stabil sekitar AS$3,425, iaitu peningkatan sebanyak 1.1%.
Kontrak niaga hadapan indeks di Eropah memulakan hari baharu dengan negatif susulan kebimbangan perang. Indeks niaga hadapan FTSE 100 di UK susut 0.3%, CAC 40 di Perancis dan DAX 40 di Jerman masing-masing susut sekitar 1.6%, manakala FTSE MIB 30 di Itali susut 0.7%.
Di Asia, indeks Nikkei 225 di Jepun jatuh 1.2%, Kospi di Korea Selatan susut 1.3%, Shanghai Composite di China turun 0.7% dan Hang Seng di Hong Kong turun 0.8%.
Menurut laporan media Iran, serangan Israel bermula sekitar jam 3 pagi waktu tempatan (2330GMT) dan menyasarkan kemudahan ketenteraan serta tapak nuklear, termasuk kawasan kediaman.
Tentera Israel menyatakan sejumlah 200 pesawatnya menyerang Iran dalam serangan awal pagi Jumaat.
Jurucakap tentera Brig. Jen. Effie Defrin berkata, 200 pesawat Israel melepaskan 330 butir peluru semasa serangan tersebut.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan lebih 100 dron ke arah Israel dalam beberapa jam dan usaha pemintasan masih diteruskan, tambahnya.
Beliau turut mengesahkan pembunuhan beberapa pegawai kanan Iran dalam serangan tersebut, termasuk Ketua Turus Mohammad Bagheri, Ketua Pengawal Revolusi Iran Hossein Salami dan Gholam Ali Rashid, seorang komander kanan dalam pasukan itu.
Kedua-dua negara dilaporkan telah bersiap sedia untuk kemungkinan konfrontasi ketenteraan, dengan Iran dikatakan sedang membangunkan rancangan serangan balas yang melibatkan peluru berpandu balistik yang menyasarkan wilayah di Israel.
SUMBER: TRT World & Agensi