DUNIA
2 min membaca
WFP: Kebuluran menghantui selatan ibu kota Sudan
WFP memaklumkan ia kini sedang membantu empat juta orang di seluruh Sudan.
WFP: Kebuluran menghantui selatan ibu kota Sudan
Sebuah trak WFP membawa bantuan dari Port Sudan pada 12 November 2024. (WFP/Abubakar Garelnabei/Handout) / REUTERS
10 Jun 2025

Beberapa kawasan di selatan Khartoum, iaitu ibu kota Sudan, berisiko dilanda kebuluran, menurut Program Makanan Sedunia (WFP).

Menurut organisasi itu, keperluan di lapangan kini melebihi sumber yang ada berikutan kekurangan pembiayaan bantuan makanan untuk wilayah-wilayah Sudan yang dilanda peperangan.

“Paras kelaparan, kemiskinan dan keterdesakan yang ditemui adalah sangat teruk dan mengesahkan risiko kebuluran di kawasan tersebut,” kata Laurent Bukera, Pengarah WFP di Sudan kepada pemberita pada Selasa di Geneva menerusi sidang media atas talian dari Port Sudan.

Agensi makanan PBB itu berkata pihaknya telah berjaya menyalurkan bantuan kepada sejuta orang di tujuh kawasan di Khartoum, selepas memperoleh akses ke ibu kota Sudan itu.

Konflik di Sudan antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal dan memecahbelahkan negara itu kepada beberapa zon, dengan RSF masih berakar umbi di wilayah barat Sudan.

Pada Mac, pihak tentera merampas ibu kota Sudan daripada RSF – yang sebelum itu menyekat akses bantuan ke bandar tersebut – selepas dua tahun konflik yang berterusan.

Jebel Awlia merupakan salah satu kawasan yang dipetik oleh WFP sebagai lokasi yang mengalami kebuluran teruk.

Agensi itu memaklumkan bekalan minyak dan kekacang dalam pengagihan makanan telah dikurangkan kerana berdepan kekurangan dana sebanyak AS$500 juta untuk bantuan makanan dan tunai kecemasan, susulan pemotongan dana kemanusiaan oleh negara-negara penderma.

“Suplemen untuk kanak-kanak kecil serta ibu mengandung dan menyusu tidak dapat disediakan kerana kekurangan sumber … Tanpa sokongan segera, kami tidak akan mampu menyalurkan pakej makanan yang diperlukan rakyat Sudan,” tambah Bukera.

Pada April, WFP berkata bantuan makanan di kawasan berisiko kebuluran telah dikurangkan kepada 70 peratus daripada sukatan standard WFP (bersamaan dengan 2100 kcal sehari).

WFP memaklumkan ia kini sedang membantu empat juta orang di seluruh Sudan.

Perang di Sudan meletus pada April 2023, berpunca daripada perebutan kuasa antara tentera dan RSF.

SUMBER: REUTERS

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us