Polis Israel menyerbu beberapa lokasi di bandar Haifa, utara Israel, di mana kru televisyen antarabangsa — termasuk dari TRT Arabi — sedang menjalankan liputan, serta merampas peralatan mereka.
Tindakan itu dibuat susulan arahan Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan ekstrem, Itamar Ben-Gvir, yang mengarahkan polis dan agensi perisikan untuk menghalang siaran televisyen asing dengan alasan ia “mengancam keselamatan negara.”
Dalam satu kenyataan, polis Israel berkata operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima dan dilakukan di bawah dasar “toleransi sifar” Ben-Gvir. Sebuah bilik hotel di Haifa turut diserbu, di mana beberapa individu dilapor menghalakan kamera ke arah pelabuhan bandar tersebut.
Polis turut memaklumkan bahawa wartawan yang terlibat dan peralatan mereka dirampas telah dipanggil untuk memberi keterangan.
TRT Arabi dan stesen Al-Ghad TV yang berpangkalan di Kaherah mengesahkan lokasi kru mereka telah diperiksa dan peralatan mereka dirampas.
Terdahulu pada hari sama, Ben-Gvir menggesa agensi perisikan dalam negeri Israel, Shin Bet, supaya mengambil tindakan terhadap saluran media antarabangsa.
Menteri berhaluan kanan itu berkata garis panduan penapisan berita telah dikeluarkan oleh tentera Israel.
Ben-Gvir mendakwa media yang terlibat telah menyiarkan rakaman serangan peluru berpandu dan menyifatkannya sebagai satu “jenayah.” Katanya, beliau telah mengarahkan pihak polis untuk campur tangan.
Semasa serangan Iran pada awal pagi 15 Jun, sebuah peluru berpandu telah menghentam loji penapisan minyak di Haifa.
Insiden itu, yang disiarkan secara langsung oleh saluran Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar, menerima kritikan daripada media Israel. Operasi di loji penapisan tersebut kini digantung akibat kerosakan yang dialami.
SUMBER: TRT World & Agensi