Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melahirkan kekecewaan selepas perbualan telefonnya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin kerana dikatakan Putin seperti tidak berminat untuk menamatkan perang di Ukraine.
Usaha diplomatik AS untuk menamatkan perang Rusia di Ukraine dilihat terhenti seketika, dan Trump kini berdepan desakan daripada beberapa ahli Republikan yang mahu beliau terus menekan Putin agar lebih serius dalam rundingan.
Selepas bercakap dengan Putin pada Khamis, Trump berkata beliau merancang untuk berbincang dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Jumaat, katanya kepada wartawan sewaktu kembali ke Washington dari lawatan ke Iowa.
“Saya sangat kecewa dengan perbualan saya hari ini dengan Presiden Putin, kerana saya rasa dia tidak serius, dan saya sangat kecewa,” kata Trump.
“Saya hanya mengatakan saya rasa dia tidak berniat untuk berhenti, dan itu menyedihkan.”
Semasa perbualan hampir sejam itu, kedua-dua pemimpin tidak membincangkan penangguhan penghantaran beberapa jenis senjata AS ke Kiev, menurut ringkasan yang dikeluarkan oleh pembantu Putin, Yuri Ushakov.
Zelenskyy memberitahu wartawan di Denmark pada hari yang sama bahawa beliau berharap dapat bercakap dengan Trump seawal Jumaat mengenai penangguhan penghantaran senjata yang didedahkan minggu ini.
Ketika bercakap kepada wartawan sebelum berlepas dari Washington ke Iowa, Trump berkata, “Kami belum menghentikan sepenuhnya aliran senjata,” sambil menyalahkan Joe Biden kerana menghantar terlalu banyak senjata sehingga berisiko melemahkan pertahanan AS.
Kenyataan itu dibuat susulan stok senjata yang rendah, dan ini menyebabkan AS menangguhkan penghantaran beberapa senjata penting ke Ukraine, menurut sumber kepada Reuters, sementara Ukraine terus berdepan dengan serangan Rusia.
Putin pula menegaskan bahawa beliau hanya akan menghentikan perang jika “punca” konflik itu diselesaikan, merujuk kepada perluasan NATO dan sokongan Barat terhadap Ukraine, termasuk penolakan terhadap sebarang kemungkinan Ukraine menyertai pakatan NATO.
Serangan dron terbaharu
Beberapa jam selepas panggilan telefon mereka tamat, satu serangan dron yang dipercayai dilakukan oleh Rusia menyebabkan kebakaran di sebuah pangsapuri di kawasan pinggir bandar Kiev di utara, kata pegawai Ukraine.
Di Kiev, Reuters melaporkan letupan dan tembakan masih berterusan ketika unit pertahanan udara bertempur dengan dron di ruang udara ibu kota, manakala serangan Rusia mengorbankan lima orang di timur negara itu.
Wartawan AFP di ibu kota turut mendengar bunyi dengungan dron dan letupan ketika sistem pertahanan udara Ukraine cuba menangkis serangan tersebut.
Zelenskyy berkata amaran serangan udara mula bergema di seluruh negara selepas laporan mengenai panggilan dengan Trump mula tersebar.
“Sekali lagi, Rusia menunjukkan bahawa mereka tidak berniat untuk menamatkan perang dan keganasan,” kata Zelenskyy di media sosial.
‘Langsung tidak endah’
Serangan Rusia semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kiraan oleh AFP menunjukkan Moscow telah melancarkan sejumlah besar dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine pada Jun, ketika rundingan damai secara langsung antara Kiev dan Moscow dilihat tergendala.
“Putin jelas menunjukkan sikap langsung tidak mengendahkan Amerika Syarikat dan semua pihak yang menyeru agar perang ditamatkan,” tulis Menteri Luar Ukraine Andriy Sybiga di media sosial selepas serangan tersebut.
Ukraine turut menambah serangan dronnya ke atas wilayah Rusia, di mana seorang wanita terbunuh apabila sebuah dron Ukraine terhempas di sebuah bangunan pangsapuri, menurut pemangku gabenor wilayah itu.
Poland gesa Trump
Menteri Luar Poland menggesa Trump untuk memulihkan bekalan peluru anti-pesawat ke Ukraine selepas bahagian konsular kedutaan Poland di Kiev rosak akibat serangan Rusia.
“Presiden Trump, Putin sedang memperlekeh usaha damai anda,” tulis Radoslaw Sikorski di X. “Sila pulihkan bekalan peluru anti-pesawat ke Ukraine dan kenakan sekatan baharu yang tegas terhadap pihak penceroboh.”
SUMBER: AFP