Qatar mengecam serangan Iran ke atas pangkalan tentera terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah yang terletak di negara Teluk itu, dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap kedaulatannya.
“Kami menyatakan kecaman tegas Negara Qatar terhadap serangan ke atas Pangkalan Udara Al Udeid oleh Kor Pengawal Revolusi Iran, dan menganggapnya sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan ruang udara Negara Qatar, serta terhadap undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar Majed Al-Ansari dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan “Qatar berhak untuk bertindak balas secara langsung dan sama rata terhadap pencerobohan ini, selaras dengan undang-undang antarabangsa.”
Beliau berkata sistem pertahanan udara Qatar berjaya memintas peluru berpandu Iran, sambil menambah pangkalan tersebut telah dikosongkan lebih awal sebagai sebahagian daripada protokol berjaga-jaga berikutan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu.
Semua langkah yang perlu telah diambil bagi melindungi anggota di fasiliti tersebut, termasuk angkatan tentera Qatar, pasukan bersekutu, dan individu lain yang ditempatkan di lokasi berkenaan, tambahnya.
Al Ansari mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan serangan tersebut.
SUMBER: TRT World dan Agensi