Sebelum Gaza binasa, kumpulan bersenjata Zionis sudah lama mengganas di Palestin
Sebelum Gaza binasa, kumpulan bersenjata Zionis sudah lama mengganas di Palestin
Pengeboman Hotel King David pada 1946 menjadi titik permulaan perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka. Namun ia hanyalah satu daripada beberapa serangan maut kumpulan Zionis yang menggunakan taktik ganas untuk membentuk masa depan Palestin.
sehari yang lepas

Ketika Israel terus memusnahkan Palestin, anggota tenteranya yang kononnya “paling bermoral di dunia” itu kini dituduh sebagai negara pengganas kerana membunuh orang awam yang tidak bersenjata di Gaza.

Beberapa dekad sebelum dunia mengetahui tentang Gaza dan kekejaman tentera Israel, kumpulan bersenjata Zionis telah lama mencetuskan keganasan berskala besar ke atas rakyat Palestin — daripada taktik ganas semasa pengeboman Hotel King David hinggalah pembunuhan Count Folke Bernadotte, perantara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk isu Palestin.

Pengeboman terancang yang pertama, sasaran sistematik terhadap orang awam yang pertama, dan pembunuhan bermotifkan politik di tanah asing yang pertama — semuanya bermula dengan kumpulan bersenjata Zionis seperti Irgun, Lehi, dan Haganah.

Dan legasi “keganasan politik” ini tidak pernah terkubur — ia masih bergema kuat dalam kemusnahan yang sedang berlaku di Gaza hari ini.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, serangan udara dan darat oleh tentera Israel telah meragut 23 nyawa di kawasan kediaman padat di Gaza, termasuk kanak-kanak. Banyak rumah di Zeitun musnah, khemah pelarian di Khan Younis dibom, malah pekerja bantuan kemanusiaan dan orang awam turut menjadi mangsa di pusat agihan bantuan.

PBB dan kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan ini dan menyifatkannya sebagai “senjata makanan” di mana Israel menyasarkan orang awam dengan sengaja. Lebih 410 orang terbunuh ketika mereka cuba mendapatkan bantuan di pusat agihan sejak akhir Mei.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia memberi amaran bahawa ini ‘mungkin’ adalah jenayah perang, manakala akhbar Haaretz melaporkan askar Israel didakwa menerima arahan untuk “menembak orang awam yang tidak bersenjata.”

Skala penderitaan orang awam amat mengejutkan: lebih 56,000 rakyat Palestin telah terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Kemudahan perubatan lumpuh akibat pengeboman berterusan manakala bantuan kemanusiaan disekat, ditangguh atau dijadikan sasaran — mencerminkan corak keganasan yang pernah dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Zionis beberapa dekad lalu.

Sejarah berulang lagi

Seawal tahun 1930-an, kumpulan bersenjata Zionis menggunakan keganasan bukan sahaja terhadap pihak berkuasa British, tetapi juga terhadap orang awam berbangsa Arab, diplomat antarabangsa, dan bahkan sesama orang Yahudi yang menentang agenda gila mereka.

Matlamat mereka jelas: untuk menubuhkan agenda politik Zionis dengan apa jua cara — termasuk menggunakan bahan letupan, pembunuhan, pembantaian dan perang psikologi.

Pengeboman Hotel King David pada 22 Julai 1946 bukanlah permulaannya, tetapi ia adalah saat di mana dunia tidak mampu lagi untuk menutup mata terhadap apa yang berlaku di Palestin: satu kempen ganas untuk menubuhkan sebuah negara, dilancarkan dengan taktik keganasan.

Inilah kisah pengeboman itu — kegelapan yang menghantui rantau itu menerusi pembantaian seperti di Deir Yassin, pembunuhan perantara PBB dari Sweden Count Bernadotte dan legasi keganasan yang sering diabaikan dalam naratif Barat mengenai penubuhan negara Israel.

Dalam satu operasi ganas dan berdarah, kumpulan separa tentera Zionis, Irgun — di bawah pimpinan Menachem Begin — melancarkan apa yang sering dianggap sebagai tindakan keganasan berskala besar yang pertama dalam sejarah Israel.

Dengan menyamar sebagai pekerja, anggota operasi menyeludup bahan letupan yang disembunyikan dalam tong susu ke ruang bawah tanah Hotel King David, iaitu pusat Pentadbiran Mandat British.

Beberapa minit kemudian, pada jam 12.37 tengah hari, dua letupan besar memusnahkan sayap selatan bangunan itu, meruntuhkan beberapa tingkat bangunan dan membunuh 91 orang (41 Arab, 28 British, 17 Yahudi serta lain-lain), dan mencederakan kira-kira 45 yang lain.

Menurut Irgun, tujuan mereka adalah untuk melemahkan kapasiti pentadbiran British dan memusnahkan fail-fail penting.

Pengeboman ini menerima kecaman hebat, baik dari dalam Palestin mahupun di peringkat antarabangsa.

“Jarang ada jenayah yang lebih dahsyat… dilakukan oleh Irgun Zvai Leumi pada 22 Julai,” demikian catatan ngeri oleh Jeneral Sir Alan Cunningham, Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin dalam laporannya.

Jeneral Sir Evelyn Barker, komander tentera British di Palestin, berikrar akan bertindak tegas: “Kami akan menghukum orang Yahudi dengan cara yang paling mereka benci — dengan menyerang poket mereka.”

Sesetengah pemimpin Yahudi sendiri turut mengecam tragedi itu.

Bakal perdana menteri Israel tidak lama selepas itu, David Ben-Gurion yang juga ketua Agensi Yahudi, menyifatkan pengeboman itu sebagai tidak boleh diterima, dan berpendapat bahawa kumpulan bawah tanah Yahudi tidak sepatutnya menggunakan keganasan sedemikian. Beliau kemudiannya memutuskan hubungan dengan kumpulan bersenjata.

Membina negara dengan nyawa manusia

Daripada insiden Hotel King David, pembantaian di Deir Yassin, hinggalah pembunuhan Count Bernadotte — semua peristiwa ini menyerlahkan satu sisi sejarah Zionis yang sering diketepikan: penggunaan keganasan tanpa batasan sebagai alat politik negara.

Walaupun sesetengah ahli sejarawan berpendapat taktik ini mempercepatkan proses untuk British berundur, pihak lain pula berhujah bahawa ‘harganya sangat mahal’ — baik dari segi nyawa mahupun nilai moral.

Tokoh ideologi Zionis seperti Menachem Begin dan Yitzhak Shamir berhujah bahawa “keganasan ialah satu bentuk perjuangan,” yang tidak perlu dinilai dari sudut moral. Malah, penerbitan Lehi ketika itu pernah menyuarakan gagasan tentang “bangsa Yahudi unggul” — satu idea radikal yang ekstrem.

Sementara itu, institusi Yahudi arus perdana — Haganah, Agensi Yahudi, dan pemimpin seperti Ben-Gurion — mengecam keganasan sedemikian secara terbuka kerana bimbang akan kesannya terhadap legitimasi orang Yahudi dan sokongan antarabangsa.

Namun di belakang tabir, Haganah bekerjasama dengan Irgun dan Lehi dalam kempen terancang seperti Gerakan Penentangan Yahudi dari 1945 hingga 1946.

Hampir lapan dekad selepas kumpulan bersenjata Irgun meletupkan Hotel King David, generasi baharu pelampau Zionis — kali ini dalam kalangan penduduk haramnya — terus menggunakan keganasan untuk memastikan dominasi politik.

Taktiknya mungkin berubah, tetapi aliran ideologinya masih sama dan menggerunkan.

Di Tebing Barat yang diduduki Israel, puluhan penduduk haram Yahudi yang bersenjata — kebanyakannya bersekutu dengan kumpulan nasionalis-agama sayap kanan — menyerbu sebuah pangkalan tentera Israel, merosakkan kenderaan, membakar kawasan tersebut dan menyerang anggota tentera. Pelbagai harta milik tentera turut diconteng.

Provokasi itu berlaku selepas tentera Israel menahan lima penduduk haram yang membunuh tiga rakyat Palestin di bandar Kfar Malik di mana penduduk-penduduk haram tersebut melepaskan tembakan dan membakar beberapa rumah di situ.

Malah Itamar Ben-Gvir, menteri keselamatan sayap kanan Israel yang terkenal mempertahankan keganasan penduduk haram, turut mengecam tindakan itu: “Menyerang askar IDF… adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.”

Namun pengkritik berkata retorik Ben-Gvir sendirilah yang telah menggalakkan kumpulan “pengganas Yahudi” bertindak sebegitu. Ini serupa seperti apa yang dinyatakan oleh ketua pembangkang Yair Lapid kepada Army Radio: “Mereka ini pengganas Yahudi, kumpulan penjenayah yang merasakan mereka dilindungi oleh kerajaan yang memerintah.”

Sasaran kini telah berubah — daripada pemimpin British kepada rakyat Palestin, dan kini anggota tentera Israel — tetapi jelas bahawa keganasan ideologi ini berakar umbi daripada gerakan bersenjata Zionis sejak puluhan tahun dulu lagi.

Ramai dalam kalangan penduduk haram yang radikal pada hari ini sebenarnya lahir daripada semangat Zionisme yang sama yang melahirkan Irgun. Mereka bertindak seolah-olah mereka kebal kerana percaya bahawa menunggu zaman Al Masih tiba menghalalkan segala tindakan mereka seperti membakar rumah, memusnahkan perkampungan, dan menyerang anggota tentera sendiri apabila undang-undang cuba dikuatkuasakan.

Kekal dalam ingatan

Hari ini, sebuah plat di Hotel King David dipamerkan bagi memperingati pengeboman tersebut, di mana ia digambarkan sebagai langkah strategik oleh Irgun yang malangnya mengorbankan nyawa.

Daripada runtuhan Hotel King David, ke kawasan kejiranan yang dimusnahkan di Gaza pada 2025, dan kini ke bukit-bukau tanpa undang-undang di Tebing Barat yang diduduki — seurat benang menghubungkan semua episod ganas ini: satu ideologi yang merelakan keganasan apabila kuasanya dicabar. Dan ini sangat kerap berlaku.

Apa yang bermula dengan bom buatan Irgun dan pembunuh upahan Lehi — dahulunya dianggap sebagai taktik sementara semasa perang — kini berkembang menjadi budaya sistemik yang berakar umbi: keganasan penduduk haram, pencerobohan oleh tentera, dan justifikasi politik.

Pelan induk Zionis yang berasaskan keganasan, lahir dalam bayang-bayang Mandat British, kini berubah menjadi dasar negara yang dinormalisasikan — sama ada melalui pengeboman orang awam di Gaza, pemusnahan kem pelarian, atau membiarkan penduduk haram yang radikal memiliki senjata yang kini turut digunakan untuk menyakiti tentera Israel sendiri.

Dan walaupun bentuk senjata itu telah berubah — daripada tong susu berisi bahan letupan kepada peluru berpandu yang dibekalkan Amerika Syarikat — mangsanya kekal sama: orang awam, petugas bantuan kemanusiaan, kanak-kanak, dan kini ia termasuk tentera Israel yang terperangkap dalam keganasan ekstremisme penduduk haram.

Dunia mungkin mengingati pengeboman Hotel King David sebagai permulaan kepada pemberontakan anti-penjajah.

Namun hakikatnya, ia adalah sesuatu yang jauh berbeza: satu prototaip doktrin ganas yang menentukan corak keganasan, penjajahan dan kekebalan undang-undang di tanah bergolak itu walaupun puluhan tahun sudah berlalu.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us