Pada 24 Februari, tentera penjajah Israel menculik Fidaa Assaf dari kampung Kafr Laqif di wilayah Qalqilya, Palestin. Ketika itu, beliau dalam perjalanan pulang dari Kompleks Perubatan Ramallah selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pemimpin Palestin kemudian mendedahkan bahawa banduan wanita itu, yang sudah berkahwin dan merupakan seorang ibu, telah beberapa kali dimaki hamun dan dipaksa untuk berbogel semasa diperiksa.
Mereka juga memaklumkan bahawa beliau ditahan dalam sel yang tidak bersih dan dipenuhi serangga, serta dinafikan akses kepada air dan makanan selama beberapa hari.
Walaupun sedang melawan kanser, rejim Israel tetap menahan Assaf di Penjara Damon, di mana kira-kira 42 banduan wanita, termasuk banduan yang mengandung seperti Zahraa Kawazbeh dan Doaa Kawazbeh, menjadi mangsa penyeksaan dan tidak diberi rawatan yang sepatutnya.
Mereka yang diculik seperti Assaf, Zahraa dan Doaa mempunyai satu persamaan — mereka adalah sebahagian daripada 1,000,000 rakyat Palestin yang telah dipenjarakan dan diseksa oleh Israel sejak 1967 — satu dasar yang menurut kajian terbaharu merupakan “tulang belakang” kepada penjajahan Israel ke atas Palestin.
Laporan yang diterbitkan oleh pertubuhan American Muslims for Palestine pada Khamis menyatakan bahawa sistem penjara Israel kekal sebagai “tulang belakang penjajahannya” terhadap Palestin, dengan secara purata, Tel Aviv telah memenjarakan kira-kira satu juta rakyat Palestin atau 47 orang setiap hari dalam 58 tahun.
“Mengikut sejarah, Israel mengekalkan jumlah banduan sekitar 6,000 orang pada satu-satu masa, yang berubah semasa konflik tetapi kembali ke purata asal dengan cepat,” menurut kajian bertajuk The Carceral History of Occupied Palestine itu.
Sehingga Mei 2025, kajian itu menyatakan Israel kini menahan 10,068 rakyat Palestin dalam penjaranya. Daripada jumlah itu, 1,455 telah dijatuhkan hukuman, 3,190 sedang menunggu perbicaraan, dan 3,577 ditahan tanpa tuduhan.
Sebaliknya, kumpulan pejuang Palestin Hamas, selepas menangkap 251 orang dalam serangan pada Oktober 2023 telah membebaskan puluhan tahanan.
Ketika ini, Hamas masih menahan 49 orang, termasuk 27 yang dikhuatiri telah terbunuh dalam serangan Israel.
“Dalam pada itu, tahanan pentadbiran melonjak secara mendadak selepas pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza pada 2023, meningkat daripada 350 kepada 2,373 tahanan setiap bulan — iaitu peningkatan tujuh kali ganda yang kini merangkumi hampir satu pertiga daripada keseluruhan banduan,” menurut laporan itu.
Tel Aviv melaksanakan sistem penjaranya melalui sekatan pergerakan dan undang-undang yang zalim, kata laporan itu lagi, sambil menambah bahawa Tebing Barat yang diduduki kini menanggung beban hampir 900 sekatan tentera Israel, termasuk pos pemeriksaan, pintu pagar besi dan sekatan jalan — meningkat daripada 645 pada 2023 — yang melumpuhkan kehidupan harian penduduk.
Pada separuh pertama 2024, kajian itu menyatakan tentera Israel telah menjalankan 3,384 operasi penggeledahan dan tangkapan yang didokumentasikan di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
“Pada April 2025 sahaja, tentera Israel telah menjalankan serbuan besar-besaran yang mengakibatkan 530 tangkapan termasuk 60 kanak-kanak dan 18 wanita di bandar, pekan, dan kem pelarian di Tebing Barat,” kata laporan itu.
Laporan tersebut turut memetik pindaan undang-undang oleh Knesset Israel pada 2024 yang “menghalalkan hukuman kolektif dan membenarkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun.”
Penglibatan Amerika
Pertubuhan American Muslims for Palestine menyatakan dalam laporannya bahawa sejak awal lagi, Amerika Syarikatlah yang telah “membiayai penindasan ini”, sambil menambah bahawa Washington baru-baru ini menyalurkan lebih AS$14 bilion kepada Israel untuk melaksanakan pembunuhan beramai-ramainya ke atas rakyat Palestin di Gaza yang dikepung.
“Sejak 1948, Kongres telah memperuntukkan bantuan sebanyak AS$383.75 bilion (disesuaikan dengan inflasi), dengan janji sekurang-kurangnya AS$3.8 bilion setiap tahun sejak 2016, selain tergesa-gesa memberi AS$14.1 bilion pada April 2025 untuk menaja pembunuhan beramai-ramai Israel.”
Tidak seperti negara lain, kata kumpulan itu, wang Amerika kepada Israel disalurkan sekaligus, membolehkan Israel menjana faedah dan bergerak melalui saluran Direct Commercial Sales yang kurang diawasi, dan ini membantu mempercepat kelulusan senjata AS kepada tentera mereka, pengawal penjara dan juga penduduk haram.
“Sistem penjara Israel, mahkamah tentera, tahanan pentadbiran, penyeksaan, pengusiran dan pemenjaraan kanak-kanak membentuk satu sistem dominasi yang menyeluruh dan disengajakan,” kata kumpulan itu.
Mereka menyatakan sistem ini ditampung oleh dana, senjata dan perlindungan diplomatik Amerika Syarikat.
“Untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin, sistem ini mesti dibongkar sepenuhnya dan sokongan AS mesti dihentikan.”
American Muslims for Palestine turut menyatakan tindakan perundangan terkini Israel, pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza, penindasan yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin yang memegang kerakyatan Israel, serta peluasan penjajahannya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki, menunjukkan bahawa “Israel langsung tidak berniat untuk mengubah sistem penjaranya.”
“Walaupun laporan ini telah mendokumentasikan kadar penahanan dan pemenjaraan yang tinggi, untuk benar-benar memahami skala sistem ini, adalah penting untuk mengakui bahawa walaupun bukan setiap rakyat Palestin pernah ditahan secara rasmi, setiap rakyat Palestin yang hidup di bawah penjajahan Israel telah mengalami kesan tertentu daripada program penjara Israel ini,” tambah mereka.
Kumpulan itu berkata Israel menggunakan pemenjaraan — terutamanya terhadap kanak-kanak — untuk melemahkan, menakutkan, dan mengusir rakyat Palestin.
Akhirnya, mereka menyimpulkan bahawa sistem penjara Israel adalah asas kepada penjajahan, berfungsi sebagai mekanisme apartheid, dan pembabitan AS melalui sokongan material menuntut agar sistem ini dimansuhkan sepenuhnya.
Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza
Israel telah menjalankan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak Oktober 2023.
Rakyat Palestin merekodkan lebih 57,000 kematian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Kira-kira 11,000 rakyat Palestin dipercayai tertimbus di bawah runtuhan rumah yang dimusnahkan, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Namun begitu, ramai penganalisis berpendapat bahawa jumlah kematian sebenar jauh melebihi angka yang dilaporkan oleh pihak berkuasa Gaza, dengan anggaran mencecah sekitar 200,000 orang.
Sejak Oktober 2023, Israel dan penduduk haram Zionis semakin bertindak ganas di Tebing Barat yang diduduki, mengakibatkan 1,000 rakyat Palestin terbunuh.
Washington memperuntukkan AS$3.8 bilion setiap tahun dalam bentuk dana ketenteraan kepada sekutu rapatnya, Israel.
Sejak Oktober 2023, Amerika Syarikat telah membelanjakan lebih AS$22 bilion bagi menyokong pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan peperangan di negara-negara jiran.
Walaupun beberapa pemimpin kanan AS mengkritik Israel berkenaan jumlah korban awam yang tinggi di Gaza, Washington sehingga kini tetap enggan menetapkan sebarang syarat terhadap penghantaran senjata kepada rejim ganas itu.