Pada 29 April 1916, di sebuah selekoh yang dipenuhi debu di Sungai Tigris, tentera Uthmaniyyah yang keletihan dan sering dipandang rendah menyebabkan salah satu kekalahan paling memalukan dalam sejarah ketenteraan British. Selepas 147 hari berada dalam medan perang di bandar Kut al-Amara, lebih 13,000 tentera British—termasuk 13 jeneral dan 481 pegawai—menyerah diri kepada tentera Uthmaniyyah.
Kini, 109 tahun kemudian, sarjana Turki menyeru orang ramai agar tidak hanya mengingati Kut sebagai medan perang, tetapi sebagai satu ekspresi perjuangan, maruah, dan keimanan sebuah empayar yang sering disangka akan hilang dalam ingatan.
“Kut al-Amara ialah pertempuran di mana sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan,” kata Profesor Durmus Akalin, sejarawan dan ahli akademik di Universiti Pamukkale. “Di sinilah pihak yang kononnya kebal dikalahkan—bukan oleh senjata yang lebih hebat, tetapi kerana ketabahan dan kepercayaan. Ia menunjukkan bahawa askar Uthmaniyyah bukan hanya berjuang dengan senapangnya—tetapi dengan jiwanya,” katanya kepada TRT World.
Dunia di bawah kuasa Barat
Untuk memahami betapa besarnya impak Kut, kita perlu meneliti peta geopolitik tahun 1914. Semasa meletusnya Perang Dunia Pertama, 84% dunia berada di bawah penjajahan kuasa Barat. Sebahagian besarnya dikuasai oleh Empayar British, yang menguasai wilayah luas dan memiliki tentera laut yang hebat, menjadikannya kuasa besar tanpa tandingan pada era itu.
“Kita perlu faham latar belakangnya: Barat, khususnya Britain, telah menjajah sebahagian besar dunia,” jelas sarjana dan penyelidik Memis Okuyucu kepada TRT World. “Kemakmuran Barat moden banyak bergantung pada eksploitasi, darah dan air mata dari Timur.”
Kepentingan British bukan sekadar politik—ia juga bersifat industri. Minyak, yang turut dipanggil sebagai “emas hitam”, menjadi kunci kepada strategi imperialis. Timur Tengah Uthmaniyyah, terutamanya Iraq, muncul sebagai sasaran utama.
“Matlamat Britain bukanlah untuk bersekutu dengan Empayar Uthmaniyyah, tetapi untuk membahagikan dan merampas tanahnya yang kaya dengan minyak di Timur Tengah,” kata Okuyucu. “Mereka tidak mahu Uthmaniyyah sebagai rakan kongsi—mereka mahu empayar itu pecah, lemah, dan dipadamkan.”
Tentera British ketika itu telah pun menduduki Basra di selatan Iraq, dalam usaha menguasai kawasan yang kaya dengan minyak. Dari situ, mereka mara ke utara menuju Baghdad dengan pantas, dibantu tentera laut dan dimudahkan dengan pertahanan Uthmaniyyah yang tipis.
Semangat Uthmaniyyah untuk terus melawan
Empayar Uthmaniyyah, meskipun telah melalui perang bertahun-tahun, masih belum hancur.
“Kita sering lupa bahawa Empayar Uthmaniyyah baru sahaja melalui Perang Balkan, Perang Italo-Turki, dan mengalami kehilangan besar dalam Perang Rusia-Turki ’93,” kata Akalin. “Namun di Canakkale (Gallipoli), dan sekali lagi di Kut, kita menyaksikan semangat baharu muncul.”
Panglima-panglima seperti Suleyman Askerî Bey, Sakalli Nurettin Pasha, Ali İhsan Sabis Pasha dan Halil Kut Pasha memimpin pasukan tentera untuk menghentikan kemaraan British. Selepas menyekat laluan British di Selman-i Pak, 24 kilometer di selatan Baghdad, tentera Uthmaniyyah menyebabkan pihak musuh terpaksa menuju ke selatan dan mereka kemudiannya terperangkap di Kut al-Amara.
“Askar Turki berjuang kerana misi, bukan sekadar arahan. Mereka tahu mereka sedang mempertahankan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sebuah wilayah. Mereka mempertahankan maruah, kedaulatan, dan sejarah,” tambah Okuyucu.
Pada 27 Disember 1915, pengepungan Kut bermula. Selama lima bulan, tentera Uthmaniyyah mengepung bandar itu, menangkis setiap cubaan oleh British—melalui darat, kapal stim, malah udara.
“Kami tidak perlu sogokan”
Apabila kebuluran mula mencengkam tentera British yang terperangkap, komander mereka, Jeneral Townshend, cuba berunding. Beliau menawarkan sejuta pound emas British untuk laluan selamat. Kemudian, jumlah itu digandakan kepada dua juta. Semua tawaran ditolak.
“Halil Pasha jelaskan: Kami bukan di sini untuk emas. Kami di sini untuk tanah air kami,” kata Okuyucu. “Ini bukan perang untuk rampasan, ini perang untuk maruah.”
“Ia adalah salah satu detik paling jarang berlaku dalam sejarah apabila Barat, dengan segala kuasanya, dijatuhkan bukan oleh pasukan yang lebih kuat, tetapi oleh mereka yang bersemangat kental,” tambah Akalin.
Apabila usaha bantuan gagal dan bekalan habis, tentera British meletupkan stok peluru mereka sendiri. Pada 29 April 1916, Jeneral Townshend menyerah diri. Pedang peribadinya, yang ditawarkan kepada Halil Pasha, dipulangkan semula dengan penuh hormat.
“Isyarat itu bukan sekadar kesopanan, ia adalah cara Uthmaniyyah menyatakan: Kami menang dengan maruah, bukan dendam,” kata Akalin. “Kami tidak mengaibkan musuh. Kami tunjukkan bahawa walaupun dalam perang, nilai moral masih wujud.”
Keimanan teguh
Kut tidak dimenangi oleh tentera Uthmaniyyah melalui kelebihan bilangan askar atau kelengkapan moden, tetapi melalui tekad, ketabahan, dan keimanan.
“Daripada komando tertinggi hingga askar biasa, Tentera Uthmaniyyah berjuang dengan kekuatan keyakinan,” kata Akalin. “Meskipun melalui kekalahan demi kekalahan, mereka bangkit lagi—bukan untuk menakluk, tetapi untuk bertahan dan demi warisan legasi.”
Okuyucu menyokong pandangan itu: “Setiap tamadun membina dirinya melalui kisah pahlawannya. Dan pahlawan kita di Kut al-Amara bukan orang yang hidup mewah—mereka adala anak Anatolia, Syria, dan Iraq. Mereka ialah ‘Mehmetcik yang tidak dirai’ yang kesetiaannya melangkaui kelaparan.”
Ia adalah perang yang mengubah semangat. Bagi dunia Islam khususnya, ia menunjukkan bahawa Empayar Uthmaniyyah belum berakhir, dan semangat kerohanian masih mempunyai tempat dalam peperangan, jelas Okuyucu.
Legasi semangat
Walaupun medan Iraq akhirnya tumbang dan Baghdad jatuh ke tangan British pada 1917, legasi Kut tetap hidup.
“Kut al-Amara adalah ngauman terakhir seekor singa tua,” renung Akalin. “Ia adalah penentangan terakhir Empayar Uthmaniyyah yang penuh bersemangat, dan ia patut dikenang sebagai salah satu episod paling berani dalam sejarah ketenteraan.”
“Kemenangan sebenar di Kut bukan hanya bersifat strategik, ia bersifat budaya,” tambah Okuyucu. “Ia mengingatkan kita bahawa sesebuah bangsa boleh merasa letih, miskin, bahkan terluka—namun masih mampu berjuang dengan semangat yang raksasa.”
Bagi kedua-dua sarjana itu, Kut kekal relevan.
“Dalam zaman di mana peta boleh berubah dan kuasa boleh bangkit dan jatuh sewenangnya, kita tidak harus lupa apa yang kita boleh dicapai hanya dengan semangat,” kata Akalin. “Kut al-Amara bukan hanya satu bab dalam sejarah Uthmaniyyah—ia adalah bukti kuasa sesuatu bangsa yang enggan tunduk.”
Penghormatan yang tersemat pada nama
Kemenangan di Kut al-Amara kekal sebagai salah satu kejayaan ketenteraan besar terakhir Empayar Uthmaniyyah—satu detik di mana panggilan sinis “sick man of Europe” (orang Eropah yang sakit) mencabar kuasa besar dunia dengan hanya keberanian, keyakinan, dan kebijaksanaan strategi.
Para panglimanya menjadi sebahagian daripada legasi itu bukan hanya dalam ingatan, tetapi juga dalam nama: Halil Pasha, kerana kepimpinannya di Kut, diberikan nama keluarga “Kut” oleh Mustafa Kemal Atatürk susulan Undang-Undang Nama Keluarga 1934.
Begitu juga, Ali Ihsan Pasha menjadi Ali Ihsan Sabis, sebagai penghormatan terhadap peranannya dalam Pertempuran Sabis dalam kempen yang sama.
Nama-nama ini, yang ditempa dalam bara pertempuran, kekal sebagai lambang abadi ketika para jeneral bukan sekadar dinaikkan pangkat—tetapi diabadikan oleh kemenangan yang mereka pimpin.