Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata satu undang-undang baharu yang menggantung kerjasama dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mula berkuat kuasa selepas diluluskan oleh parlimen dan disahkan oleh Majlis Penjaga Perlembagaan.
“Rang undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan telah disahkan oleh Majlis Penjaga Perlembagaan hari ini… adalah mengikat (binding) ke atas kami dan tiada keraguan tentang pelaksanaannya,” kata Araghchi kepada televisyen negara.
“Bermula hari ini, hubungan dan kerjasama kami dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan mengambil bentuk yang baharu.”
Undang-undang itu dilihat sebagai tindak balas terhadap serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Araghchi berkata kerosakan yang dialami sepanjang konflik tersebut adalah “besar” dan pakar-pakar dari Pertubuhan Tenaga Atom Iran masih menilai tahap kemusnahan tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa isu pampasan kini menjadi keutamaan utama kerajaan.
Menolak laporan mengenai rundingan dengan AS
Sementara itu, pegawai-pegawai AS dan sumber dalaman memberitahu CNN bahawa pentadbiran Trump sedang menjalankan usaha diplomatik secara rahsia untuk memulakan semula rundingan nuklear dengan Tehran.
Difahamkan, pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk melonggarkan sekatan, membenarkan akses kepada dana yang terhad, dan menyokong program nuklear awam bernilai AS$20–30 bilion yang tidak melibatkan pengayaan uranium.
Walaupun Presiden AS Donald Trump berkata beliau menjangkakan rundingan akan bermula “minggu depan”, Araghchi menolak dakwaan tersebut.
Araghchi menyifatkannya sebagai “spekulasi” bahawa Tehran akan kembali ke meja rundingan dan berkata perkara itu “tidak boleh diambil serius”.
“Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa tiada sebarang perjanjian, atur cara atau perbincangan yang dibuat untuk memulakan rundingan baharu,” katanya kepada saluran televisyen rasmi negara. “Belum ada sebarang rancangan untuk memulakan rundingan.”
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen — iaitu penampilan pertamanya sejak gencatan senjata dalam perang dengan Israel — Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei memuji apa yang disifatkannya sebagai “kemenangan” Iran ke atas Israel, serta berikrar tidak akan tunduk kepada tekanan AS dan menegaskan bahawa Washington telah menerima satu “tamparan” yang memalukan.
“Presiden Amerika telah membesar-besarkan kejadian dengan cara yang luar biasa, dan ternyata dia memang perlu bercakap dengan cara hiperbola sebegitu,” kata Khamenei, sambil menolak dakwaan AS bahawa program nuklear Iran menjadi mundur beberapa dekad ke belakang.
Rundingan Oman
Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt menjelaskan bahawa walaupun AS kekal berhubung dengan Iran — kebanyakannya melalui pihak ketiga — belum ada rundingan yang dijadualkan setakat ini.
“Kami sentiasa memberi tumpuan kepada diplomasi dan keamanan,” katanya.
“Kami mahu Iran bersetuju dengan program nuklear awam yang aman tanpa pengayaan (uranium).”
Pendekatan semasa pentadbiran Trump menyaksikan Iran mengimport uranium yang telah diperkaya, bukan yang dihasilkannya sendiri, sama dengan model yang digunakan oleh Emiriah Arab Bersatu.
Rundingan antara kedua-dua negara sebelum ini telah memasuki pusingan kelima sebelum tergendala akibat serangan oleh Israel.
Pusingan keenam, yang dijadualkan berlangsung di Oman, telah dibatalkan.