Turkiye menolak “sekeras-kerasnya” kenyataan ahli politik dan menteri Kabinet Israel yang menyeru kepada aneksasi Tebing Barat yang diduduki, kata Kementerian Luar Türkiye dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu jelas menunjukkan dasar Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa serta usahanya untuk mengekalkan penjajahan secara kekal, kata kementerian itu.
Seruan aneksasi yang tidak bertanggungjawab ini, apatah lagi ketika rundingan gencatan senjata sedang berlangsung, jelas mengabaikan prinsip penyelesaian yang telah lama disokong oleh masyarakat antarabangsa, tambah kementerian itu lagi.
Jelas bahawa campur tangan sistematik di wilayah Palestin serta amalan yang bertujuan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka sendiri telah memburukkan lagi situasi di rantau itu, menurut kenyataan tersebut.
Kementerian Luar Turkiye turut mengulangi gesaannya agar hak sah rakyat Palestin diiktiraf dan sebuah negara Palestin yang merdeka ditubuhkan dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Pada Rabu, 14 menteri Kabinet daripada Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggesa beliau supaya segera menganeksasi Tebing Barat yang diduduki.
Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Netanyahu dan dikongsi oleh Menteri Kewangan sayap kanan Bezalel Smotrich di platform X, mereka menuntut agar kerajaan “menguatkuasakan kedaulatan ke atas Judea dan Samaria (Tebing Barat) sebelum tamat sesi musim panas Knesset (parlimen)”, yang dijadualkan berakhir pada 27 Julai.
SUMBER: AA