Washington, DC — Jabatan Negara AS memuji cadangan Presiden Donald Trump untuk gencatan senjata 60 hari di Gaza dan memberi amaran kepada Hamas agar menerima cadangan tersebut, namun enggan mendedahkan perincian mengenai kandungan cadangan yang menurut Trump telah dipersetujui oleh Israel dan kini sedang dipertimbangkan oleh Hamas.
“Saya tidak akan menghurai butiran dalam cadangan itu. Mesej presiden sudah jelas. Ia mesti diterima, kerana keadaan hanya akan bertambah buruk jika mereka (Hamas) menolak,” kata jurucakap Jabatan Negara Tammy Bruce dalam satu taklimat media di Washington pada Rabu.
Ketika ditanya bagaimana cadangan baharu itu berbeza daripada perjanjian gencatan senjata sebelum ini, beliau menjawab: “Ia bukanlah gencatan senjata paling lama di dunia.”
“Ia akan menjadi perdamaian yang dicapai berdasarkan perubahan di lapangan, seperti yang telah kita lihat dilaksanakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” katanya, merujuk kepada serangan gabungan Israel dan AS ke atas Iran selama 12 hari selepas gencatan senjata dicapai antara Tehran dan Tel Aviv.
Beliau turut menyifatkan Gaza sebagai “tempat yang tidak boleh didiami” dan berkata wilayah Palestin itu perlu dibina semula “dengan bantuan rakan-rakan Arab”.
“Kita belum ada gencatan senjata. Harap-harap situasi ini akan berubah.”
Trump pada Selasa berkata Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang diperlukan” untuk memuktamadkan gencatan senjata 60 hari di wilayah yang dikepung itu, sambil menggesa Hamas menerima cadangan tersebut.
Trump bagaimanapun tidak memperincikan apakah syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh Tel Aviv.
Menteri Luar Israel Gideon Saar turut berkata pada Rabu bahawa negaranya serius untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, yang mengesahkan telah menerima dan sedang meneliti cadangan daripada pihak perantara.
Hamas dalam satu kenyataan pada Rabu berkata bahawa mereka sedang “mengadakan rundingan untuk membincangkan” cadangan tersebut.
Ia menyatakan hasrat untuk “mencapai perjanjian yang menjamin pencerobohan dapat ditamatkan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, dan bantuan disalurkan kepada rakyat kami di Semenanjung Gaza”.
Pada Isnin depan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijadual bertemu Trump di White House.
Gesaan merampas Tebing Barat yang diduduki
Mengenai isu gesaan oleh menteri-menteri Likud supaya Netanyahu merampas Tebing Barat yang diduduki, Bruce berkata: “Pendirian kami terhadap Israel dan pilihan yang dibuatnya adalah bahawa kami berdiri bersama Israel dan keputusan-keputusannya berhubung keselamatan dalaman mereka.”
Seramai 14 menteri Israel serta Speaker Knesset Amir Ohana menandatangani sepucuk surat bersama pada Rabu yang menuntut Netanyahu merampas wilayah yang diduduki itu dengan segera. Menteri Kehakiman Israel Yariv Levin turut membuat gesaan sama dengan berkata: “Masa untuk kedaulatan telah tiba.”
Dalam surat yang ditujukan kepada Netanyahu dan dikongsi oleh Menteri Kewangan Bezalel Smotrich di platform X, mereka yang menandatangan surat itu menggesa kerajaan untuk “menguatkuasakan kedaulatan ke atas Judea dan Samaria (Tebing Barat yang diduduki) sebelum tamat sesi musim panas Knesset”, yang berakhir pada 27 Julai.
Menteri-menteri tersebut berpendapat bahawa “perkongsian strategik dan sokongan daripada AS serta Presiden Donald Trump ketika ini adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan langkah (merampas) ini sekarang.”
SUMBER: TRT World