Hamas telah mengarahkan seorang ketua geng di Gaza supaya menyerah diri dalam tempoh 10 hari selepas beliau didakwa bekerjasama dengan Israel mencuri bantuan kemanusiaan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Kenyataan itu menyebut bahawa arahan tersebut dikeluarkan oleh “Mahkamah Revolusi” pada Rabu dan ditujukan kepada Yasser Abu Shabab, ketua geng Badwi bersenjata yang tidak mengiktiraf Hamas.
Abu Shabab dipercayai berada di kawasan Rafah, selatan Gaza, yang kini berada di bawah kawalan tentera Israel.
Mahkamah itu turut menyeru rakyat Palestin supaya melaporkan lokasi Abu Shabab kepada pasukan keselamatan Hamas.
Setakat ini, kumpulan Abu Shabab belum memberi sebarang respons terhadap arahan penyerahan diri tersebut.
Hamas menuduh Abu Shabab merompak konvoi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendakwa beliau mendapat sokongan daripada Israel.
Menurut sumber, Hamas telah mengerahkan pejuang elit dengan arahan untuk membunuh beliau.
Walaupun Israel mengakui menyokong beberapa geng di Gaza dalam usaha menentang Hamas, ia tidak menyatakan secara jelas kumpulan mana yang terlibat.
SUMBER: TRT World & Agensi