POLITIK
2 min membaca
AS henti siasatan komuniti Muslim Dallas tanpa sebarang pertuduhan
CAIR menyambut baik keputusan DOJ dan menggesa pegawai di Texas menghentikan “pemburuan Islamofobik”.
AS henti siasatan komuniti Muslim Dallas tanpa sebarang pertuduhan
DOJ membuka siasatan susulan gesaan Senator John Cornyn yang mendakwa ia berpotensi mendiskriminasi penganut Kristian dan Yahudi. / Reuters
26 Jun 2025

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah menamatkan siasatan terhadap sebuah projek komuniti Muslim berhampiran salah satu masjid terbesar di Dallas, Texas, tanpa mengemukakan sebarang pertuduhan.

Menurut sepucuk surat Jabatan Kehakiman bertarikh 13 Jun yang pertama kali dilaporkan oleh Dallas Morning News pada Rabu, jabatan itu memaklumkan kepada kumpulan pemaju projek bahawa siasatan telah ditutup.

“CCP (Community Capital Partners) mengesahkan bahawa semua akan dialu-alukan dalam sebarang pembangunan masa depan, dan bahawa anda merancang untuk menyemak semula dan membangunkan bahan pemasaran bagi mengukuhkan mesej itu, sejajar dengan tanggungjawab anda di bawah Akta Perumahan Saksama,” menurut surat tersebut.

“Berdasarkan maklumat ini, Jabatan ini menutup siasatan pada masa ini.”

Awal tahun ini, jabatan tersebut membuka siasatan terhadap projek EPIC City yang dicadangkan atas gesaan Senator John Cornyn, yang mendakwa ia mungkin mendiskriminasi penganut Kristian dan Yahudi.

Pemaju projek mengadu bahawa mereka dibuli sejak itu oleh siasatan persekutuan dan negeri kerana mereka beragama Islam.

‘Pemburuan Islamofobik’

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), organisasi hak asasi dan advokasi Muslim terbesar di negara itu, menyambut baik penutupan siasatan tersebut dan berkata ia memberi mesej yang jelas kepada penjawat awam di Texas untuk mengambil langkah yang sama.

“Kami menyambut baik keputusan menamatkan siasatan ini dan berharap tindakan DOJ ini memberi mesej yang jelas kepada gabenor dan pegawai-pegawai lain di Texas bahawa mereka juga harus menghentikan pemburuan bersifat Islamofobik yang menyasarkan umat Islam di negeri itu,” kata Pengarah Eksekutif CAIR Peringkat Kebangsaan, Nihad Awad dalam satu kenyataan.

“Penjawat awam yang dipilih rakyat seharusnya menghormati Perlembagaan dan berkhidmat untuk semua penduduk di negeri, bukannya menyalahgunakan kuasa untuk mendiskriminasi umat Islam,” tambahnya.

CAIR sebelum ini menggesa DOJ agar tidak meneruskan siasatan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai “usaha tidak berasas dan penuh prasangka untuk mencemarkan penglibatan sivil dan ekspresi keagamaan orang Islam.”

Pada April, Gabenor Greg Abbott berkata pembinaan EPIC City (Pusat Islamik East Plano) tidak boleh dimulakan kerana tidak mendapat semua kebenaran yang diperlukan.

Suruhanjaya Kualiti Alam Sekitar Texas kemudiannya menghantar surat amaran kepada pihak yang terlibat dengan EPIC agar tidak memulakan sebarang aktiviti pembinaan, dengan alasan ia akan melanggar undang-undang negeri.

Projek tersebut melibatkan 1,000 rumah dan pangsapuri, sebuah sekolah berteraskan agama, kolej komuniti, dan padang sukan.

Ia dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan, dan para pemaju berkata mereka tidak akan memulakan proses permohonan permit sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan lagi.

SUMBER: TRT World

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us