Usaha pihak Demokrat di Senat untuk mengehadkan kuasa Presiden Donald Trump melancarkan serangan lanjut terhadap Iran gagal.
Ini disebabkan majoriti ahli Republikan memihak kepada Rumah Putih susulan serangan ke atas tapak nuklear Iran hujung minggu lalu.
Resolusi yang dikemukakan pada Jumaat oleh Senator Tim Kaine dari Virginia bertujuan untuk menegaskan bahawa Trump perlu mendapatkan kebenaran Kongres sebelum memulakan serangan terhadap Iran selepas ini.
Namun, ia gagal diluluskan di Dewan Senat yang dikuasai Republikan, sekali gus menandakan cubaan pertama Kongres untuk mengembalikan peranan perlembagaannya dalam keputusan berkaitan peperangan sejak serangan itu berlaku.
Apabila ditanya sama ada beliau akan mengarahkan lebih banyak pengeboman ke atas kemudahan nuklear Iran jika perlu, Trump menjawab ringkas: “Sudah tentu, tanpa ragu.”
Pihak Republikan memegang majoriti 53-47 di Senat dan mereka secara umumnya menyokong pendekatan Trump, dengan hujah bahawa Iran merupakan ancaman.
“Sudah tentu kita boleh berdebat tentang skop dan strategi penglibatan tentera kita,” kata Senator Republikan Bill Hagerty dari Tennessee.
“Tetapi kita tidak boleh mengikat tangan presiden dalam krisis apabila nyawa menjadi pertaruhan.”
Namun pihak Demokrat menolak pandangan itu, dengan mengatakan Trump telah memintas Kongres dan gagal memberi taklimat sewajarnya kepada penggubal undang-undang.
“Isu ini tentang memastikan kita tidak pergi berperang tanpa persetujuan politik,” kata Kaine.
“Jika ia melibatkan kita mempertahankan diri, bertindaklah segera. Tapi jika ia melibatkan serangan, pastikan kita benar-benar membuat keputusan yang tepat.”
Langkah yang diambil pihak Demokrat itu tidak akan menjejaskan kuasa presiden untuk bertindak balas terhadap ancaman, tetapi ia akan mewajibkan perbahasan di Kongres sebelum serangan boleh dilancarkan.
Senator Republikan Rand Paul dari Kentucky menentang partinya dengan menyokong resolusi itu dan menggesa yang lain melakukan perkara sama.
Trump.. pembuat keputusan
Seperti presiden sebelumnya, Trump mencabar batasan yang ditetapkan oleh Resolusi Kuasa Perang 1973, yang memerlukan presiden berunding dengan Kongres “dalam setiap keadaan” sebelum menghantar angkatan bersenjata AS.
Dalam surat kepada Kongres minggu ini, Trump menyifatkan serangan ke atas Iran sebagai “terhad dari segi skop dan tujuan” serta bertujuan menghalang serangan masa depan.
Namun selepas taklimat tertutup bersama pegawai kanan Rumah Putih, beberapa penggubal undang-undang masih tidak yakin.
“Tiada ancaman terhadap Amerika Syarikat,” kata Wakil Jim Himes, Demokrat tertinggi dalam Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan.
“Iran sememangnya sentiasa menjadi ancaman kepada dunia. Tetapi ini tidak jauh berbeza berbanding dua minggu sebelumnya.”
Walaupun wujud keraguan, kebanyakan ahli Republikan menyokong keputusan Trump.
Ramai berpendapat sokongan ke atas resolusi itu akan dilihat sebagai tindakan melemahkan presiden ketika rundingan sensitif sedang berlangsung, dan ketika mereka sedang berusaha melaksanakan agenda legislatifnya.
Trump kemudiannya berkata satu gencatan senjata antara AS dan Iran kini sedang berjalan, namun ketegangan masih tinggi.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran kepada Washington agar tidak melancarkan serangan pada masa depan, manakala pegawai AS berkata mereka menjangkakan rundingan diplomatik dengan Tehran akan disambung tidak lama lagi.
SUMBER: TRT World & Agensi