Presiden Republik Demokratik Congo (DRC) pada Isnin berkata perjanjian damai dengan Rwanda yang bertujuan menamatkan puluhan tahun keganasan di timur DRC membuka jalan ke arah “era baharu kestabilan”.
“Perjanjian ini yang ditandatangani oleh menteri luar kedua-dua negara dalam satu majlis rasmi yang dipengerusikan oleh Setiausaha Negara AS Marco Rubio… membuka jalan ke arah era baharu kestabilan, kerjasama dan kemakmuran untuk negara kita,” kata Felix Tshisekedi dalam ucapan yang disiarkan pada Isnin sempena ulang tahun kemerdekaan DRC yang ke-65 daripada Belgium.
Terdahulu, Rubio memuat naik gambar di X (dulu dikenali sebagai Twitter) semasa majlis menandatangani perjanjian damai antara kedua-dua negara.
Beliau berkata: “Hari ini, saya menjadi tuan rumah majlis tandatangan perjanjian damai antara DRC dan Rwanda, menamatkan konflik selama 30 tahun di rantau Great Lakes. Dengan kepimpinan kukuh @POTUS dan usaha berterusan daripada @US_SrAdvisorAF, @UnderSecStateP dan @AsstSecStateAF, Amerika Syarikat berjaya mempertemukan kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian bersejarah ini, dan kami akan terus komited menyokong pelaksanaannya sepenuhnya.”
Massad Boulos, penasihat kanan Presiden Donald Trump untuk hal ehwal Afrika, berkata perjanjian itu merangkumi “penghapusan langkah pertahanan oleh Rwanda”.
Bulan lalu, Washington mengumumkan bahawa perjanjian damai antara kedua-dua negara akan menyaksikan syarikat AS dan Barat melabur berbilion dolar dalam sektor perlombongan di DRC, serta projek infrastruktur di kedua-dua negara — termasuk pemprosesan mineral di Rwanda.
Walaupun Kigali dan Kinshasa sama-sama mengiktiraf peranan AS dalam membawa mereka kembali ke meja rundingan, persoalannya adalah: apakah keuntungan yang Washington dapat menerusi perjanjian ini?
Konflik
Konflik DRC–Rwanda berakar umbi daripada persengketaan etnik, perebutan sumber, dan politik serantau — khususnya membabitkan kumpulan pemberontak M23 yang didakwa oleh Kinshasa mendapat sokongan Kigali. Rwanda bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Menurut penganalisis dan ahli diplomat, Rwanda menghantar sekurang-kurangnya 7,000 tentera melintasi sempadan untuk menyokong pemberontak M23, yang sebelum ini berjaya menguasai dua bandar terbesar di timur DRC serta kawasan perlombongan yang membawa banyak keuntungan menerusi satu serangan awal tahun. ini
Kemaraan M23 — pusingan terbaharu dalam konflik yang bermula sejak pembunuhan beramai-ramai Rwanda 1994 — menimbulkan kebimbangan bahawa peperangan yang lebih besar akan melibatkan negara-negara jiran DRC, lapor Reuters.
Sejak 1996, konflik di timur DRC telah meragut kira-kira enam juta nyawa, menurut Majlis Hubungan Luar PBB. Kini, lebih tujuh juta penduduk menjadi pelarian dalam negara sendiri.
Mencari bekalan mineral
Afrika Tengah merupakan antara lokasi yang mempunyai simpanan mineral terbanyak di dunia seperti kobalt, litium dan koltan — semuanya penting untuk peralihan tenaga bersih, kenderaan elektrik dan teknologi digital.
Menurut laporan Foreign Policy pada 2022, lebih 70 peratus sumber kobalt dunia datang dari DRC, yang sering dilombong dalam keadaan yang teruk.
Bagi AS dan sekutunya, usaha mendapatkan akses kepada mineral ini menjadi keutamaan mereka — lebih-lebih lagi kerana China kini menguasai sebahagian besar infrastruktur perlombongan di DRC.
Perjanjian DRC–Rwanda juga memberi Washington satu kejayaan dasar luar yang sangat diperlukan di Afrika, ketika China dan Rusia semakin memperluas pengaruh mereka melalui kerjasama ekonomi dan keselamatan.
Walaupun perjanjian ini diraikan, keraguan masih wujud kerana tiada perincian jelas mengenai mekanisme pemantauan atau bagaimana aktiviti kumpulan pemberontak akan ditangani.
SUMBER: AFP