Pagar besi setinggi lima meter mengasingkan bahagian timur Sinjil, sebuah bandar Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel. Pintu besi berat dan sekatan jalan menutup semua laluan kecuali satu laluan masuk-keluar ke bandar, yang diawasi oleh tentera Israel di pos kawalan.
“Sinjil kini menjadi penjara besar,” kata Mousa Shabaneh, 52 tahun, seorang bapa kepada tujuh orang anak. Beliau memerhati pekerja yang mendirikan pagar di tengah-tengah kawasan yang sebelum ini digunakan sebagai tempat beliau menanam pokok —satu-satunya sumber pendapatannya.
“Sudah tentu, kami kini dilarang masuk ke kawasan itu. Semua pokok yang saya tanam hangus dan hilang,” katanya. “Akhirnya, mereka memutuskan sumber rezeki kami.”
Pagar dan sekatan jalan raya yang didirikan oleh tentera Israel kini menjadi realiti kehidupan kepada hampir tiga juta rakyat Palestin di Tebing Barat.
Namun, ramai kini berkata terdapat peningkatan drastik dalam pembinaan pagar besi seperti itu sejak perang Gaza bermula yang menjadikan kawasan bandar dan perkampungan berada dalam keadaan terkepung secara kekal.
Pagar di Sinjil adalah contoh jelas halangan yang dibina di seluruh wilayah itu yang kini menjadi realiti harian. Pihak tentera Israel berkata pagar itu dibina untuk melindungi lebuh raya Ramallah–Nablus yang berdekatan.
Penutupan jalan
Penduduk tempatan kini terpaksa berjalan atau memandu melalui jalan sempit dan berliku.
Ada yang terpaksa melintas jalan dengan berjalan kaki untuk ke mengambil kenderaan di seberang.
Mereka yang sebelum ini bergantung kepada bercucuk tanam sebagai sumber pendapatan kini diasingkan, menurut Bahaa Foqaa, timbalan datuk bandar. Katanya, pagar itu ‘memenjarakan’ 8,000 penduduk dalam kawasan sebesar 10 ekar, sekali gus memisahkan mereka dari 2,000 ekar tanah milik sendiri.
“Ini adalah dasar yang digunakan tentera penjajah untuk menakutkan rakyat dan mematahkan semangat rakyat Palestin.”
Kini, kira-kira 700,000 rakyat Israel menetap di wilayah yang diduduki Israel sejak 1967.
Kebanyakan negara memandang penempatan haram ini sebagai pelanggaran terhadap Konvensyen Geneva, kerana melibatkan pemindahan penduduk awam ke atas wilayah yang diduduki.
Setelah puluhan tahun menjajah, kini kerajaan sayap kanan Israel yang dianggotai penduduk haram secara terang-terangan berkata mereka mahu seluruh Tebing Barat dianeksasi.
Kehidupan di atas jalan raya
Selepas Oktober 2023, Israel menambah jumlah anggota tentera di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam sekelip mata, timbunan tanah dan bongkah batu berat dapat dilihat di semua jalan raya.
Tidak cukup dengan itu, pintu logam berat—selalunya dicat dengan warna kuning atau oren—dipasang dan dikunci bagi menghalang komuniti Palestin daripada melaluinya.
Pos kawalan tentera juga ditambah secara kekal.
Apa yang dipanggil sebagai flying checkpoints juga muncul secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran.
Sana Alwan, 52, jurulatih peribadi yang menetap di Sinjil berkata: “Dahulu kami hanya mengambil masa pendek untuk memandu ke Ramallah, tetapi kini ia memakan masa sehingga tiga jam satu hala, dan kami tidak tahu berapa lama terpaksa menunggu di sekatan.”
Kerjanya kini terbantut kerana dia tidak dapat berjanji kepada pelanggannya bahawa dia dapat tiba tepat pada masanya.
“Separuh daripada hidup kami berada di jalan raya,” katanya.
Ekonomi tersekat
Pada awal tahun ini, puluhan ribu penduduk Tebing Barat dipindahkan susulan operasi ketenteraman di Jenin.
Mohammad Jammous, 34 tahun, dibesarkan di Jericho dan kini menetap di Ramallah, berkata: “Saya biasa melawat keluarga hampir setiap minggu. Sekarang dengan waktu memandu yang lebih panjang, saya hanya mampu berkunjung sekali sebulan.”
Pemimpin Palestin, yang mewakili Pihak Berkuasa Palestin — yang hanya memiliki autonomi terhad di Tebing Barat — mengesyaki bahawa impak tekanan terhadap ekonomi dan kehidupan harian itu dibuat dengan sengaja
“Mereka melakukan apa sahaja untuk menyukarkan hidup rakyat kami,” kata Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa kepada wartawan bulan lalu.
SUMBER: Reuters