Pendakwa raya Israel telah meluluskan permintaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menangguhkan sesi perbicaraan rasuahnya minggu hadapan susulan lawatannya ke Washington untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, lapor media tempatan pada Rabu.
Perdana Menteri Israel itu dijadualkan melawat AS minggu depan bagi mengadakan perbincangan dengan Trump dan pegawai kanan AS lain mengenai perang di Gaza, isu Iran dan hal ehwal serantau yang lain.
Menurut penyiar rasmi Israel, KAN, Netanyahu memohon agar sesi perbicaraan minggu depan dibatalkan atas alasan lawatan rasminya ke AS, dan pihak pendakwaan telah meluluskan permintaan tersebut.
Sesi perbicaraan minggu ini juga telah dibatalkan oleh Mahkamah Daerah Baitulmaqdis selepas permintaan yang sama dibuat oleh Netanyahu.
Keputusan itu dibuat selepas Trump berulang kali menggesa agar perbicaraan Netanyahu dibatalkan.
Netanyahu berdepan tuduhan rasuah, penipuan, dan penyalahgunaan kuasa, yang boleh membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan.
Pada Januari lalu, Netanyahu mula disoal siasat berkaitan dengan Kes 1000, 2000, dan 4000, yang semuanya dinafikan oleh beliau.
Peguam Negara telah memfailkan pertuduhan berkaitan kes-kes ini pada penghujung November 2019.
Netanyahu, yang mula dibicarakan pada 24 Mei 2020, merupakan pemimpin Israel pertama dalam sejarah negara itu yang berdepan tuduhan jenayah semasa masih memegang jawatan.
Beliau juga berdepan pertuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant pada November 2024 atas kekejaman di Gaza — di mana lebih 56,600 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak 7 Oktober 2023.
SUMBER: AA