Komunikasi yang dipintas antara pegawai kanan Iran menunjukkan serangan oleh Amerika Syarikat terhadap program nuklear Iran menyebabkan kerosakan yang lebih kecil daripada yang dijangka, menurut laporan The Washington Post pada Ahad.
Risikan isyarat sulit itu menunjukkan pegawai Iran berbincang secara tertutup mengapa serangan yang diarahkan oleh Presiden AS Donald Trump tidak menyebabkan kemusnahan seperti yang didakwa, lapor akhbar itu dengan memetik empat individu yang mengetahui mengenai perkara tersebut.
Namun begitu, seorang pegawai kanan risikan AS memberitahu akhbar tersebut bahawa satu maklumat risikan “tidak mencerminkan gambaran sebenar.” Pegawai itu menegaskan bahawa satu panggilan telefon tidak boleh disamakan dengan penilaian penuh berdasarkan pelbagai sumber.
Trump dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, bersama beberapa pegawai kanan lain, tetap bertegas bahawa serangan tersebut telah “menghapuskan sepenuhnya” tapak pengayaan nuklear Iran.
Kementerian Luar Iran pula mengakui terdapat kerosakan besar, namun menyatakan bahan penting telah dipindahkan lebih awal, sekali gus mengehadkan kesan jangka panjang.
Trump sebaliknya menolak dakwaan pemindahan tersebut dengan berkata: “Mereka tidak memindahkan apa-apa. Mereka tidak sangka apa yang kami lakukan itu benar-benar boleh dilakukan.”
Penilaian awal risikan AS, seperti dilaporkan CNN dan The New York Times, berkata serangan itu mungkin hanya melambatkan program Iran untuk beberapa bulan — satu pandangan yang dinafikan oleh Rumah Putih.
Pengarah CIA John Ratcliffe berkata “risikan baharu” menunjukkan serangan tersebut menyebabkan “kemusnahan teruk” yang memerlukan bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Terdahulu, Pemimpin Tertinggi Iran menuduh Presiden Donald Trump melebih-lebihkan kejayaan serangan AS terhadap tapak nuklear Iran, dengan mengatakan ia tidak mencapai hasil yang ketara.
“Presiden Amerika melebih-lebihkan kejadian ini secara luar biasa, dan ternyata beliau perlu cakap lebih seperti itu,” kata Ali Khamenei dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun X rasminya pada Ahad.
“Sesiapa yang mendengar kata-kata itu akan faham bahawa sebenarnya ada kebenaran lain. Mereka tidak mampu buat apa-apa dan memilih untuk melebih-lebihkan bagi menutup dan menyembunyikan kebenaran,” tambah beliau.
SUMBER: AA