Dua kapal selam nuklear AS telah tiba di "tempat yang sepatutnya," kata Presiden Donald Trump, selepas mengarahkan mereka dikerahkan berikutan kenyataan bekas pemimpin Rusia, Dmitry Medvedev.
"Mereka berada di kawasan itu, ya, di mana mereka perlu berada," kata Trump kepada pemberita pada hari Ahad sebelum pulang dari resort golfnya di New Jersey apabila ditanya tentang lokasi kapal selam tersebut.
Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau mengarahkan pengerahan dua kapal selam nuklear AS ke "kawasan yang sesuai" di tengah-tengah ketegangan kata-kata dengan Medvedev.
Medvedev meluahkan kemarahan pada Isnin lalu terhadap Trump, memberi amaran bahawa tekanan yang semakin meningkat oleh presiden AS terhadap Kremlin mengenai perang di Ukraine berisiko mencetuskan konflik yang lebih luas — bukan hanya antara Rusia dan Ukraine, tetapi juga antara Rusia dan AS.
Ini berlaku selepas Trump mengugut Rusia dengan sekatan dan tarif sekunder jika mereka tidak menghentikan perang di Ukraine dalam "kira-kira 10 atau 12 hari," jauh lebih awal daripada tempoh 50 hari yang ditetapkannya pada Julai lalu.
Moscow 'pandai elak sekatan'
Trump juga memberitahu pemberita bahawa Rusia boleh mengelakkan sekatan jika mereka bersetuju dengan "perjanjian di mana orang ramai berhenti dibunuh."
"Akan ada sekatan, tetapi mereka nampaknya cukup pandai mengelak sekatan," kata Trump.
"Sejumlah besar askar Rusia terbunuh dan begitu juga Ukraine — jumlahnya lebih rendah, tetapi tetap, ribuan dan ribuan orang... Banyak nyawa melayang dalam perang yang tidak masuk akal itu," katanya.
Trump mengulangi hasratnya untuk mengakhiri perang di Ukraine.
"Kami telah menghentikan banyak negara dari berperang... kami juga akan menghentikan yang satu ini (Rusia-Ukraine)."
Trump juga menyatakan bahawa utusan khasnya, Steve Witkoff, akan melawat Rusia minggu depan, sebelum tarikh akhir sekatan AS.
Witkoff akan melawat, "Saya rasa minggu depan, Rabu atau Khamis," kata Trump.