Gencatan senjata dan kelangsungan politik Netanyahu: Apa makna pertemuan PM Israel dengan Trump
PERANG GAZA
7 min membaca
Gencatan senjata dan kelangsungan politik Netanyahu: Apa makna pertemuan PM Israel dengan TrumpPenganalisis berpendapat lawatan Netanyahu ke Rumah Putih bukan sekadar mengenai gencatan senjata di Gaza, tetapi juga untuk mendapatkan sokongan AS demi menyelamatkan masa depan politiknya sendiri.
Trump secara terbuka berkata beliau mahu dikenali sebagai pendamai, manakala Netanyahu mempunyai rekod menggagalkan perjanjian damai. / AP
5 jam yang lepas

Pertemuan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Washington pada Isnin dilihat sebagai satu pertaruhan besar — bukan sahaja dalam usaha mencapai gencatan senjata di Gaza, tetapi juga dalam usaha Netanyahu mempertahankan kuasanya yang semakin rapuh.

Selepas lebih 21 bulan membantai di Gaza, Netanyahu kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin hebat, termasuk waran tangkap daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan “jenayah perang” di wilayah Palestin yang dikepung itu.

Israel telah melancarkan kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak Oktober 2023. Rakyat Palestin melaporkan lebih 57,500 kematian — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA, kira-kira 11,000 lagi rakyat Palestin dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan rumah yang dimusnahkan.

Namun penganalisis percaya angka sebenar korban jauh lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan pihak berkuasa Gaza, dengan anggaran mencecah sekitar 200,000 orang.

Di dalam negara, Netanyahu berdepan landskap politik yang bergolak: kritikan semakin memuncak terhadap kegagalan tentera, krisis tebusan yang belum selesai, tuduhan rasuah, pilihan raya yang bakal berlangsung kurang setahun lagi, serta gabungan politik yang didominasi tokoh sayap kanan ekstrem yang mengugut untuk menjatuhkan kerajaan sekiranya beliau bersetuju dengan gencatan senjata kekal.

Penganalisis Israel yang juga seorang bekas perunding Gershon Baskin memberitahu Agensi Anadolu bahawa lawatan ke Washington itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memulihkan imej Netanyahu dan “menebus kegagalannya selepas insiden 7 Oktober.”

Selain isu Gaza, pertemuan ini juga dijangka menyentuh isu-isu serantau seperti program nuklear Iran, perkembangan terkini di Lebanon dan Hezbollah, serta peluasan Perjanjian Abraham.

Ada peluang untuk gencatan senjata kekal?

Keutamaan pertemuan tersebut dijangka adalah untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Laporan antarabangsa menunjukkan Israel telah menerima cadangan terbaharu, di mana Hamas akan membebaskan kira-kira separuh daripada tebusannya dalam tempoh 60 hari. Hamas pula telah mengemukakan maklum balas positif, dan pada Sabtu, Israel mengumumkan rancangan untuk menghantar perantara ke Qatar bagi rundingan tidak rasmi.

Namun, penganalisis seperti Ryan Bohl, penganalisis kanan Timur Tengah dan Afrika Utara di firma risikan RANE Network, berkata Israel tidak mungkin bersetuju dengan gencatan senjata jangka panjang.

“Daripada perspektif Netanyahu, gencatan senjata sementara boleh diterima kerana ia membolehkan pembebasan beberapa tebusan… Ia juga akan memberi peluang kepada tentera Israel untuk berehat daripada pertempuran yang intensif. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan politik terhadap Netanyahu,” katanya kepada Agensi Anadolu.

Beliau berkata rejim Israel berkemungkinan akan menuntut hak untuk menyambung semula serangan selepas 60 atau 120 hari. Melainkan Hamas dibubarkan atau menyerah diri, Israel akan terus berusaha melemahkan keupayaan kumpulan pejuang itu.

“Daripada perspektif Hamas pula, mereka mahu melengahkan masa sehingga pilihan raya Israel yang seterusnya,” tambah Bohl, merujuk kepada pilihan raya yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya pada 27 Oktober 2026.

Sementara itu, Trump juga boleh meraih manfaat politik dengan menggambarkan gencatan senjata itu sebagai bukti keupayaannya “menamatkan perang.”

“Beliau mahu menjual naratif bahawa dialah yang menamatkan konflik,” kata Bohl. Beliau percaya Amerika Syarikat boleh menggunakan bantuan ketenteraan sebagai tekanan supaya satu kata putus dicapai.

Baskin pula berpendapat bahawa apa sahaja yang akan berlaku bergantung kepada Presiden AS, kerana “Netanyahu tidak mampu berkata tidak kepada Trump.”

“Israel bergantung kepada Amerika Syarikat,” katanya. “Jika Trump bertegas dan mahu Netanyahu menamatkan perang, maka perang itu akan tamat.”

Baskin turut berkata bahawa semasa percubaan gencatan senjata yang gagal pada Mac lalu, Hamas mendakwa ia telah menerima jaminan daripada AS bahawa Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza.

“Jika itu benar, ini bermakna gencatan senjata selama 60 hari boleh menjadi kekal,” katanya.

“Trump rasa Netanyahu berhutang dengannya,” kata Eytan Gilboa, pakar hubungan AS-Israel di Universiti Bar-Ilan berhampiran Tel Aviv, kepada agensi berita AP.

“Dan jika Trump fikir dia perlu tamatkan perang di Gaza, maka itulah yang akan berlaku.”

Aneksasi Tebing Barat dan penyelesaian dua negara

Menjelang pertemuan tersebut, seramai 14 menteri daripada parti Likud pimpinan Netanyahu menggesa agar Tebing Barat yang diduduki dianeksasi dengan segera.

Ketika ditanya mengenai sokongan Amerika Syarikat, jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce berkata pada minggu lalu bahawa AS “berdiri teguh bersama Israel, keputusannya dan bagaimana Israel menilai keselamatan dalaman negaranya sendiri.”

Bohl berkata ada kemungkinan aneksasi wilayah itu tidak akan berlaku, namun beliau katanya sebahagian pihak sayap kanan ekstrem Israel mungkin melihatnya sebagai satu peluang.

“Sayap kanan Israel mempercayai idea bahawa ’kita akan gelar ia sebagai gencatan senjata kekal sementara kita rampas Tebing Barat, hadapi apa sahaja tindak balas yang bakal menyusul, dan dua tahun kemudian, kita akan sambung semula perang di Gaza,’” katanya.

Baskin pula percaya Trump mungkin akan mendesak Netanyahu untuk membincangkan visi jangka panjangnya berkenaan Gaza dan Palestin secara keseluruhannya.

“Saya rasa Trump akan bercakap tentang ‘hari seterusnya’ di Gaza, yang mesti merangkumi formula politik yang lebih luas bagi menggerakkan penyelesaian dua negara atau menangani isu Palestin secara menyeluruh,” katanya.

Sepanjang lawatan Trump baru-baru ini ke Timur Tengah – yang tidak melibatkan lawatan ke Israel – Baskin turut memerhati bahawa Trump telah membincangkan isu Palestin dan penyelesaian dua negara bersama pemimpin negara Teluk.

Peluasan Perjanjian Abraham

Trump turut dijangka akan mendesak supaya Perjanjian Abraham diperluaskan — satu siri perjanjian yang menormalkan hubungan antara Israel dengan negara-negara Arab.

“Ada kemungkinan Netanyahu cuba menunjukkan dirinya sebagai seorang yang lebih konstruktif dalam isu Perjanjian Abraham dengan, sebagai contoh, mengumumkan pengunduran sebahagian tentera Israel dari selatan Syria,” kata Bohl.

Walaupun beliau tidak menjangkakan sebarang pengumuman normalisasi berskala besar dengan Syria, Bohl berkata sesuatu yang “konkrit” mungkin muncul daripada pertemuan tersebut.

Beliau berkata hadiah terbesar untuk Trump dan Netanyahu masih lagi Arab Saudi, yang pemimpinnya secara jelas menyatakan bahawa normalisasi hanya akan berlaku jika perang Gaza ditamatkan dan terdapat kemajuan ke arah penubuhan negara Palestin.

Disebabkan pendirian Riyadh, Bohl berkata pemimpin AS dan Israel mungkin akan berusaha mencapai satu bentuk perjanjian berbeza yang kurang signifikan berbanding normalisasi penuh.

Penganalisis turut menjangka isu Iran dan Lebanon akan dibangkitkan dalam pertemuan pada Isnin.

AS dan Israel akan membincangkan “langkah seterusnya berkaitan program nuklear Iran dan menilai apa yang perlu dilakukan dalam hal tersebut,” kata Bohl, sambil menambah rundingan itu juga mungkin meliputi isu “pelucutan senjata Hezbollah.”

Tuduhan di mahkamah dan sokongan Trump

Pertemuan ini turut berlangsung ketika Trump terus menyuarakan sokongan kepada Netanyahu yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah, dengan mengecam pihak pendakwa Israel.

Perbicaraan tersebut baru-baru ini ditangguhkan atas alasan keselamatan berkaitan maklumat sulit, mencetuskan spekulasi mengenai pengaruh Amerika Syarikat. Namun, Bohl berkata sebarang keputusan perundangan tetap berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Israel.

Baskin turut menyuarakan pandangan yang sama.

“Perbicaraan telah pun bermula. Sangat sukar untuk dihentikan separuh jalan kecuali ada satu persetujuan atau jika Netanyahu mengaku bersalah,” jelasnya.

“Beliau boleh memohon pengampunan daripada presiden untuk menggugurkan pertuduhan, tetapi ini adalah proses dalaman Israel, jadi Trump sebenarnya tidak boleh campur tangan dalam proses itu.”

Kelangsungan politik Netanyahu ibarat telur di hujung tanduk

Penganalisis berkata walaupun Netanyahu berjaya mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan, kelangsungan politiknya masih belum terjamin.

“Saya rasa kebanyakan rakyat Israel sudah pun membuat keputusan mengenai Netanyahu … Jika pilihan raya diadakan hari ini, Netanyahu akan tumbang,” kata Bohl.

Beliau menjelaskan bahawa ramai pihak menyalahkan Netanyahu atas kegagalan 7 Oktober dan menuduhnya mempolitikkan peperangan.

“Saya rasa sangat sukar untuk beliau bangkit semula selepas ini, walaupun beliau berjaya membebaskan tebusan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Netanyahu juga berdepan risiko kehilangan rakan gabungan sayap kanan ekstrem jika gencatan senjata dilaksanakan, kata Bohl lagi.

Sekiranya rakan-rakan sayap kanannya menarik diri daripada kerajaan, Netanyahu mungkin terpaksa mendapatkan sokongan daripada pesaingnya seperti Benny Gantz.

“Saya rasa itu akan menyebabkan kerajaan Netanyahu menghitung hari hingga kejatuhannya,” katanya. “Kerana sebaik sahaja tebusan dibebaskan, saya percaya Gantz akan menjatuhkan kerajaan dan memaksa pilihan raya disegerakan untuk menyingkir Netanyahu.”

SUMBER: AA

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us