Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan kadar tarif baharu ke atas barangan dari 14 negara, termasuk Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, sekali gus meningkatkan tekanan dalam kempen perdagangan global yang menurut beliau bertujuan memulihkan keseimbangan dalam hubungan perdagangan Amerika.
Langkah baharu ini termasuk tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Trump turut menghantar surat kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, PM Jepun Ishiba Shigeru dan Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung, dengan menyatakan: “Hubungan kita, malangnya, jauh daripada saling menguntungkan.”
Beliau menggesa negara-negara itu memindahkan operasi pembuatannya ke Amerika Syarikat bagi mengelakkan tarif baharu ini, dan memberi amaran bahawa sebarang tarif balas akan mencetuskan penalti yang lebih tinggi daripada AS.
“Jika atas apa-apa alasan anda memutuskan untuk menaikkan tarif anda, maka berapa pun jumlahnya, 25% yang kami kenakan ini akan ditambah kepada jumlah baharu itu,” tulis Trump.
Setiausaha akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt mengesahkan bahawa Trump akan menandatangani satu perintah eksekutif untuk menangguhkan tarikh akhir asal pada 9 Julai kepada 1 Ogos.
Beliau berkata semua negara berkaitan akan menerima notis rasmi.
“Pentadbiran, presiden dan pasukan perdagangannya mahu mendapatkan perjanjian terbaik untuk rakyat dan pekerja Amerika,” kata Leavitt.
Selain Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, Trump turut mengumumkan tarif baharu ke atas negara berikut:
• Kazakhstan, Tunisia – 25 peratus
• Afrika Selatan, Bosnia dan Herzegovina – 30 peratus
• Indonesia – 32 peratus
• Serbia, Bangladesh – 35 peratus
• Kemboja, Thailand – 36 peratus
• Laos, Myanmar – 40 peratus
Rumah Putih menjelaskan tarif baharu khusus yang mengikut negara ini tidak akan digabungkan dengan tarif sedia ada mengikut sektor, seperti duti 25 peratus ke atas kereta import.
Trump berkata tarif ini bertujuan untuk menangani defisit perdagangan berterusan dan dasar luar negara yang menyekat eksport AS.
“Tarif ini boleh diubah — naik atau turun — bergantung kepada hubungan kami dengan negara anda. Anda tidak akan kecewa dengan Amerika Syarikat,” tulisnya dalam surat tersebut.
Kesan ekonomi
Pasaran saham menjunam sejurus selepas pengumuman itu.
Indeks Dow Jones Industrial Average jatuh 422 mata, atau 0.94 peratus, manakala S&P 500 susut 0.79 peratus dan Nasdaq Composite turun 0.92 peratus — hari terburuk bagi ketiga-tiga indeks itu dalam tempoh hampir tiga minggu.
Saham syarikat automotif Jepun yang mempunyai jumlah eksport tinggi ke AS merosot dengan ketara.
Toyota jatuh 4 peratus, Nissan susut 7.16 peratus, dan Honda rugi 3.86 peratus di pasaran AS.
Pakar ekonomi memberi amaran bahawa tarif baharu ini boleh menyebabkan kenaikan harga pengguna di AS, terutamanya bagi kereta, barangan elektronik dan mesin — yang merupakan antara import utama dari Korea Selatan dan Jepun.
Jepun dan Korea Selatan sahaja menyumbang sebanyak AS$280 bilion daripada AS$351 bilion jumlah import dari tujuh negara teratas dalam senarai Trump tahun lalu, menurut data Jabatan Perdagangan AS.
SUMBER: TRT World & Agensi