Cadangan gencatan senjata selama 60 hari antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas, yang dibantu oleh Amerika Syarikat, merangkumi pembebasan tebusan secara berperingkat, pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza, dan rundingan bagi menamatkan perang Israel ke atas Gaza, menurut seorang pegawai yang mempunyai maklumat tentang rundingan tersebut pada Rabu.
Pelan ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik.
Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir bertindak sebagai perantara bagi memastikan satu persetujuan berjaya dicapai.
Berikut ialah butiran yang dikongsi oleh pegawai tersebut kepada Reuters, dengan syarat tidak dinamakan:
Tebusan dan tahanan Palestin
Seramai 10 tebusan akan dibebaskan termasuk mayat 18 tebusan lain mengikut jadual berikut:
• Hari pertama: 8 tebusan
• Hari ketujuh: 5 mayat
• Hari ke-30: 5 mayat
• Hari ke-50: 2 tebusan
• Hari ke-60: 8 mayat
Pertukaran ini akan dilakukan tanpa sebarang upacara atau perarakan.
Pada Hari ke-10, Hamas akan memberi maklumat dan bukti sama ada baki tebusan masih hidup atau telah meninggal dunia, beserta laporan perubatan.
Israel akan memberi maklumat penuh mengenai tahanan Palestin dari Gaza yang ditahan sejak 7 Oktober 2023.
Hamas akan membebaskan tebusan sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin oleh Israel.
Israel menyatakan daripada 50 tebusan yang ditahan oleh Hamas dan sekutunya, kira-kira 20 orang dipercayai masih hidup.
Bantuan kepada rakyat Palestin
Mengikut perjanjian pada 19 Januari, bantuan akan segera disalurkan ke Gaza dalam jumlah yang mencukupi dengan penglibatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Pengunduran tentera Israel
Pada hari pertama selepas lapan tebusan dibebaskan, tentera Israel akan berundur dari beberapa kawasan di utara Gaza berdasarkan satu peta yang akan dipersetujui bersama.
Pada hari ketujuh, selepas menerima lima mayat, Israel akan berundur dari beberapa kawasan di selatan, juga berdasarkan peta yang sama.
Satu pasukan teknikal akan melakar sempadan pengunduran itu melalui satu rundingan selepas rangka cadangan dipersetujui.
Rundingan gencatan senjata kekal
Pada hari pertama perjanjian, rundingan mengenai gencatan senjata kekal akan dimulakan.
Ia akan berdasarkan perkara utama termasuk pertukaran tahanan yang masih tinggal, pengaturan keselamatan jangka panjang untuk Gaza, dan pengisytiharan gencatan senjata secara kekal.
Jika persetujuan dicapai, semua tahanan Palestin dari Gaza yang ditahan sejak 7 Oktober 2023 akan dibebaskan.
Jaminan
Cadangan ini menjamin komitmen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk perjanjian ini. Jika rundingan sepanjang tempoh gencatan senjata 60 hari itu berjaya, ia mampu menamatkan konflik secara kekal.
Pihak perantara akan memastikan rundingan serius dijalankan sepanjang tempoh gencatan itu. Jika perlu, tempoh itu boleh dilanjutkan.
SUMBER: Reuters