Amerika Syarikat akan mula mengenakan tarif pada 1 Ogos sekiranya rakan dagangnya, termasuk Taiwan dan Kesatuan Eropah, gagal memeterai perjanjian dengan Washington, kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent.
Kadar tarif tersebut akan “berpatah balik” ke tahap asal yang sangat tinggi seperti yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada 2 April, sebelum beliau menggantungnya bagi memberi peluang kepada rundingan perdagangan dan menetapkan tarikh akhir pada 9 Julai, kata Bessent kepada CNN pada Ahad.
Bessent mengesahkan kenyataan Trump kepada wartawan dalam pesawat Air Force One pada Jumaat, di mana Trump turut merujuk tarikh akhir baharu: “Saya mungkin akan mulakan pada 1 Ogos. Itu agak awal, kan?”
Trump turut berkata beliau telah menandatangani 12 surat untuk memaklumkan negara-negara berkaitan tentang kadar tarif baharu yang dijangka akan dihantar pada Isnin.
Tarif ini merupakan sebahagian daripada pengumumannya pada April di mana Trump mengenakan duti 10 peratus ke atas barangan dari hampir semua rakan dagangnya, dengan rancangan untuk menaikkan kadar untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat.
Namun beliau telah menangguhkan langkah itu sehingga 9 Julai untuk memberi ruang kepada rundingan perdagangan.
Beberapa negara kini sedang berusaha mencapai perjanjian bagi mengelakkan kadar duti yang tinggi.
Setakat ini, pentadbiran Trump telah mengumumkan perjanjian dengan United Kingdom dan Vietnam, manakala Washington dan Beijing bersetuju untuk mengurangkan kadar tarif yang tinggi untuk sementara waktu terhadap produk masing-masing.
Bessent berkata pentadbiran AS kini “hampir mencapai beberapa perjanjian”.
“Saya jangka akan ada beberapa pengumuman besar dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Namun beliau enggan mendedahkan negara mana yang dimaksudkan, sambil menambah: “Saya tak mahu lepaskan mereka begitu saja.”
‘Tekanan maksimum’
Dalam pesawat Air Force One pada Jumaat, Trump berkata menghantar notis adalah jauh lebih mudah berbanding “duduk berbincang 15 perkara berbeza… ini kadar yang perlu anda bayar jika anda mahu berniaga dengan Amerika Syarikat.”
Bessent menolak dakwaan pengacara CNN, Dana Bash, bahawa pentadbiran AS menggunakan ancaman dan bukannya rundingan, dan menafikan bahawa Trump sedang menetapkan tarikh akhir baharu dengan tarikh 1 Ogos itu.
“Ini bukan tarikh akhir baharu. Kami hanya menyatakan, inilah tarikhnya. Jika anda mahu percepatkan rundingan, teruskan. Jika anda mahu kembali ke kadar lama, itu pilihan anda,” katanya.
Beliau berkata mereka mengambil pendekatan dengan memberi “tekanan maksimum” dan menjadikan Kesatuan Eropah sebagai contoh, menyatakan bahawa mereka kini “membuat kemajuan sangat baik” selepas permulaan yang perlahan.
Perunding EU dan AS akan mengadakan rundingan pada hujung minggu ini, dan Menteri Kewangan Perancis berkata pada Sabtu bahawa beliau berharap perjanjian dapat dicapai hujung minggu ini.
Namun negara lain masih menyuarakan kebimbangan.
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Ahad berkata beliau “tidak akan mudah berkompromi” dalam rundingan perdagangan dengan Washington.
Sementara itu, pemimpin BRICS — gabungan ekonomi pesat membangun — yang bermesyuarat di Rio de Janeiro, menyuarakan “kebimbangan serius” bahawa tarif import “secara melulu” ini adalah tidak sah dan berisiko menjejaskan perdagangan global.
Apabila ditanya mengenai kebimbangan bahawa tarif tinggi ini boleh meningkatkan inflasi di AS, Bessent berkata terdapat perbezaan antara “inflasi dan pelarasan harga”.
“Inflasi ialah fenomena monetari umum. Kita tidak akan lihat perkara itu. Dan setakat ini, kita belum melihat pelarasan harga itu,” kata Bessent kepada Fox News pada Ahad.
SUMBER: TRT World & Agensi