PERANG GAZA
2 min membaca
‘Cukuplah’: UNICEF keluarkan amaran tegas tentang kebuluran di Gaza akibat sekatan Israel
UNICEF menegaskan PBB mesti dibenarkan menyalur bantuan dalam semua bentuk secara besar-besaran kepada keluarga yang terdesak di Gaza.
‘Cukuplah’: UNICEF keluarkan amaran tegas tentang kebuluran di Gaza akibat sekatan Israel
Sepanjang genosid ini, Israel telah menghancurkan sebahagian besar Gaza dan menghalau hampir keseluruhan penduduknya. / AP
22 Julai 2025

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengeluarkan amaran tegas berhubung krisis kebuluran yang semakin meruncing di Gaza, menyifatkannya sebagai “bencana buatan manusia” apabila sekatan bantuan oleh Israel mengakibatkan kanak-kanak maut kerana kekurangan zat makanan.

“Kebuluran kini berleluasa di Gaza dan nyawa sedang terkorban,” kata agensi itu di platform X pada Isnin, sambil memberi gambaran suram tentang kehidupan harian di bawah kepungan Israel.

UNICEF memaklumkan “kekurangan zat makanan yang membawa maut dalam kalangan kanak-kanak kini berada pada tahap bencana,” sambil menambah bahawa “makanan semakin hampir tiada, dan air bersih berada di bawah paras kecemasan.”

“Bantuan sangat terhad dan usaha untuk mengakses kini menjadi sangat bahaya,” tambah agensi PBB itu.

Sambil menekankan betapa mendesaknya situasi sekarang, UNICEF berkata: “Cukuplah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti dibenarkan menyalur bantuan dalam semua bentuk secara besar-besaran kepada keluarga, di mana sahaja mereka berada.”

“Kebuluran adalah realiti yang amat mengerikan bagi kanak-kanak dan keluarga di Gaza,” tegas UNICEF, sambil menyeru agar bantuan segera dibenarkan masuk ke wilayah tersebut.

Kebuluran dalam genosid

Amaran UNICEF dikeluarkan ketika serangan Israel terus menggila di seluruh Gaza yang dikepung, tanpa tanda-tanda ia akan berhenti, walaupun kebuluran yang semakin parah terus meragut lebih banyak nyawa.

Sekurang-kurangnya 18 orang telah meninggal dunia akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam yang lalu sahaja, memperlihatkan lagi bencana kemanusiaan yang semakin dahsyat apabila pengeboman berterusan dan kekurangan bahan asas terus berlaku, sekali gus menolak penduduk awam ke ambang kehancuran.

Israel telah membunuh lebih 59,000 rakyat Palestin — majoritinya wanita dan kanak-kanak — dalam pembantaian di wilayah yang dikepung itu.

Kira-kira 11,000 rakyat Palestin lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan rumah yang dimusnahkan, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Namun begitu, para pakar berpendapat angka korban sebenar jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan oleh pihak berkuasa Gaza, dengan anggaran mencecah sekitar 200,000 orang.

Sepanjang tempoh genosid ini, Israel telah menghancurkan sebahagian besar Gaza dan menghalau hampir keseluruhan penduduknya.

Israel juga telah menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan, dan hanya membenarkan kemasukan sebuah kumpulan bantuan yang disokong AS — yang ditubuhkan untuk memintas kerja-kerja bantuan PBB — tetapi dikecam sebagai “perangkap maut.”

SUMBER:TRT World & Agencies
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us