Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu laporan tahunan menegaskan kumpulan pengganas seperti ISIS dan Al-Qaeda menggunakan konflik sebegini untuk menyebar propaganda dan mendorong keganasan.
Walaupun tiada maklumat khusus mengenai serangan terancang ke atas Singapura, negara ini tetap menjadi sasaran utama kerana hubungannya dengan negara Barat, Israel, dan identiti budaya muhibbah, menurut media tempatan.
Dalam tempoh setahun, ISD menangani lapan warga Singapura yang menyebelahi fahaman radikal—enam lelaki dan dua perempuan berusia 15 hingga 56 tahun. Separuh daripada mereka dipengaruhi oleh konflik Gaza, manakala selebihnya terpengaruh dengan ideologi ekstremis pro-ISIS atau fahaman ekstrem kanan.
Dua remaja berusia 17 dan 18 tahun dikatakan mendapat ilham dari serangan masjid di Christchurch pada 2019, dengan seorang merancang serangan terhadap masjid di Singapura. Kedua-dua remaja tersebut menggelar diri mereka sebagai “Supremasis Asia Timur” yang mempercayai dalam ketuanan etnik China, Korea dan Jepun. Mereka ditahan pada Disember 2024 dan Mac 2025.
Laporan itu juga membangkitkan kepelbagaian ideologi ekstremis dan peranan teknologi dalam mempercepat radikalisasi yang dilakukan secara sendiri atau “self-radicalisation”.
Kecerdasan buatan (AI) dan platform dalam talian seperti Telegram, Whatspp serta laman permainan seperti Roblox dan Discord digunakan untuk menyebar kandungan ekstrem, dengan beberapa kes radikalisasi diri berlaku dalam beberapa minggu sahaja.
Seorang remaja 17 tahun penyokong ISIS menggunakan chatbot AI untuk mengikrar kesetiaan kepada kumpulan itu, manakala seorang lagi mempertimbangkan senjata 3D untuk serangan.
Walaupun cabaran ini membimbangkan, usaha Singapura memerangi keganasan mencatat kejayaan. Sejak 2002, 148 warga Singapura telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 103 dikenakan arahan tahanan manakala 46 dikenakan arahan sekatan.
ISA merupakan undang-undang yang membenarkan pemerintah Singapura untuk menahan individu yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara tanpa prosedur perbicaraan.
Di kalangan warga Singapura yang ditahan, 80% berjaya dipulihkan dan diserap kembali ke dalam masyarakat. ISD menekankan kepentingan kewaspadaan awam, menggesa rakyat melaporkan tanda-tanda radikalisasi—seperti aktiviti dalam talian ekstrem atau ujaran kebencian—melalui inisiatif SGSecure.
ISD menekankan bahawa walaupun Singapura kekal teguh, ancaman yang terus berkembang memerlukan kewaspadaan berterusan. Kumpulan pengganas masih aktif di peringkat global, dengan ISIS mengekalkan sumber kewangan yang besar dan rangkaian serantau yang mengeksploitasi isu tempatan.
Agensi itu menegaskan bahawa memerangi ekstremisme memerlukan pendekatan seluruh masyarakat demi memelihara keselamatan dan keharmonian sosial Singapura.