KUALA LUMPUR – ASEAN mesti mempertahankan prinsip sentraliti untuk memastikan kemakmuran dan kestabilan rantau ini terus terpelihara, kata Menteri Luar Negeri Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau memberi amaran bahawa jika prinsip asas ini tergugat, pengaruh ASEAN di peringkat global akan merosot.
“Inilah kekuatan kita (ASEAN), dibina atas dasar saling memahami dan perpaduan antara anggota—sesuatu yang tiada tandingannya dalam blok serantau lain,” jelas Mohamad ketika disoal sewaktu sesi sidang Dewan Rakyat pada hari Khamis.
Sentraliti ASEAN merujuk kepada peranan blok ini sebagai peneraju utama kerjasama serantau di Asia-Pasifik, memastikan negara anggota kekal bersatu dalam membuat keputusan dan diplomasi.
Sebagai pengerusi ASEAN tahun 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh sentraliti ini menerusi Wawasan ASEAN 2045, satu strategi jangka panjang untuk memperdalam integrasi serantau. Wawasan ASEAN 2045 diperkenalkan pada sidang ASEAN bulan Mei tahun ini.
“Tema kita untuk 2025—inklusif dan mampan—mencerminkan komitmen ASEAN terhadap perpaduan, memastikan semua anggota bergerak maju sebagai satu keluarga,” tambahnya.
Minat dunia terhadap perkongsian ASEAN (TAC)
Perpaduan ASEAN menarik minat banyak negara untuk menjadi rakan dialog. Kini, terdapat 11 rakan dialog, termasuk kuasa besar seperti AS, China, Jepun, dan EU.
Namun, Mohamad menegaskan bahawa mana-mana negara yang ingin bekerjasama dengan ASEAN mesti terlebih dahulu mematuhi Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC)—asas keamanan serantau.
Ditandatangani pada 1976, TAC adalah perjanjian mengikat yang mewajibkan penandatangan mematuhi prinsip utama, iaitu tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, menyelesaikan pertikaian dan perbezaan secara aman melalui dialog, menolak keganasan dan ancaman terhadap kedaulatan, dan bekerjasama untuk kemakmuran bersama.
Pada asalnya TAC dirangka untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai zon neutral dan bebas konflik, TAC kini diiktiraf di peringkat global dengan 57 negara—termasuk Uruguay dan Algeria—telah menandatanganinya. TAC telah dipinda sebanyak tiga kali – pada tahun 1987, 1998, dan 2010 – bagi membenarkan penyertaan bukan sahaja oleh negara-negara luar Asia Tenggara, malah juga organisasi serantau yang keahliannya terdiri daripada negara-negara berdaulat
“Itali, Sweden, dan Lithuania juga bakal menyertai tidak lama lagi, membuktikan relevansi TAC yang masih kukuh,” kata Mohamad.
Dengan mempertahankan TAC dan sentraliti ASEAN, blok ini terus memperkukuh peranannya sebagai pengimbang dalam landskap geopolitik yang semakin kompleks.