ASIA
3 min membaca
Kemboja tolak tuduhan Thailand berkenaan insiden periuk api di sempadan
Kemboja nafi tuduhan Thailand mengenai periuk api, dakwa askar mereka langgar sempadan. Seru penyelesaian undang-undang, tegaskan komitmen pembersihan periuk api dan kedaulatan wilayah.
Kemboja tolak tuduhan Thailand berkenaan insiden periuk api di sempadan
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet / Reuters
21 Julai 2025

Kementerian Pertahanan Kemboja dengan tegas menolak dakwaan Thailand bahawa Kemboja bertanggungjawab atas letupan periuk api yang mencederakan tiga askar Thailand di sempadan minggu lalu. Sebaliknya, Kemboja menegaskan bahawa kejadian itu berlaku kerana pasukan Thailand menyimpang dari laluan pengawasan yang dipersetujui.  

Menurut media tempatan, salam satu kenyataan pada hari Ahad, jurucakap Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Maly Socheata, menolak tuduhan Thailand sebagai tidak berasas. Beliau menekankan bahawa askar Thailand telah melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) tahun 2000 antara kedua-dua negara dengan meninggalkan laluan pengawasan yang ditetapkan. "Mereka membuat laluan baru ke wilayah Kemboja, sebuah kawasan yang diketahui mengandungi sisa-sisa perang yang berbahaya," katanya.  

Lt. Jen. Socheata menegaskan bahawa lokasi letupan pada 16 Julai—di kampung Techo Morokot, wilayah Preah Vihear—jelas berada dalam sempadan Kemboja, seperti yang ditetapkan oleh perjanjian sejarah dan peta sempadan. Beliau menuduh Thailand mengabaikan kedaulatan Kemboja dan memberi amaran terhadap tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan. "Hormat terhadap undang-undang antarabangsa mesti dibuktikan dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata," katanya, sambil mendesak Thailand menyelesaikan pertikaian melalui saluran undang-undang seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).  

Insiden tersebut juga telah membangkitkan persoalan niat Thailand. “Mengapa pasukan Thailand sengaja memasuki zon berbahaya meskipun telah diberi amaran berulang kali.” Berkata beliau. 

“Adakah ini provokasi sengaja untuk mencetuskan ketegangan?" katanya, sambil menyeru agar kedua-dua pihak mematuhi protokol yang ditetapkan.  

Kemboja, antara negara yang paling terjejas oleh periuk api di dunia, telah lama terlibat dalam usaha pembersihan dari periuk api dan merupakan penandatangan Konvensyen Ottawa yang mengharamkan penggunaan periuk api anti-personel. Ly Thuch, Naib Presiden Pertama Otoriti Tindakan Ranjau dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA), menolak dakwaan Thailand bahawa Kemboja menanam periuk api baru. Beliau menuduh pemimpin Thailand menggunakan insiden itu untuk mengalih perhatian daripada masalah politik dalaman.  

Penganalisis bebas Em Sovannara mencadangkan bahawa dakwaan Thailand didorong oleh motif politik. "Jika periuk api itu lama, ia membuktikan kawasan itu adalah wilayah Kemboja," katanya. "Ini adalah cubaan untuk melimpahkan kesalahan."  

Kemboja telah membersihkan kawasan yang luas selama tiga dekad yang lalu, memusnahkan berjuta-juta bahan letupan. Walaupun kemajuan dicapai, kawasan sempadan masih berbahaya kerana bentuk muka bumi yang sukar dan tahap pencemaran yang tinggi. Kerajaan Kemboja mengulangi komitmennya untuk mempertahankan kedaulatan negara dan menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman, termasuk konflik lama berkenaan kompleks kuil Ta Moan dan Ta Krabei.  

"Tidak seinci pun tanah Kemboja akan diserahkan," tegas Lt. Jen. Socheata. Sementara itu, CMAA menegaskan kembali dedikasi Kemboja terhadap usaha pembersihan periuk api global, dengan merujuk kepada penganjuran sidang kemuncak "Dunia Bebas Periuk Api" 2024 sebagai bukti kepimpinannya dalam bidang ini.  

Ketika ketegangan berterusan, Kemboja menyeru dialog dan kerjasama pembersihan dari periuk api dengan Thailand, sambil memberi amaran terhadap sebarang pelanggaran sempadan lagi. Insiden ini mengingatkan kembali bahaya periuk api dari zaman perang yang tidak meletup dan hubungan sempadan yang rapuh antara kedua-dua negara.

Kemboja merupakan antara negara yang paling banyak mempunyai periuk api di dunia. Periuk api dan peluru tidak meletup (UXO) adalah legasi dari perang saudara dan konflik di kawasan seperti Banteay Meanchey, Pailin, Battambang, Preah Vihear, dan Oddar Meanchey. Periuk api dan UXO bertanggungjawab menyebabkan 65,000 kematian, dengan puluhan ribu lagi kehilangan anggota badan atau cedera teruk.


SUMBER:TRT World and Agencies
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us