Seramai 16 tentera Israel telah membunuh diri sejak awal 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kes bunuh diri dalam kalangan tenteranya kepada 54 sejak genosid di Gaza bermula pada Oktober 2023, menurut penyiar awam Israel, KAN.
Laporan itu menyatakan angka terkini merangkumi lapan tentera aktif, tujuh tentera simpanan dan seorang tentera kerjaya. Pada 2024, 21 tentera membunuh diri, manakala pada 2023, jumlahnya ialah 17.
KAN turut memaklumkan terdapat peningkatan ketara dalam kadar bunuh diri dalam kalangan tentera simpanan, yang telah dikerahkan secara besar-besaran ke Gaza bagi operasi darat Israel.
Selain itu, hampir 3,770 tentera telah disahkan menghidap gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), menurut laporan tersebut.
Daripada 19,000 tentera yang cedera sejak pembunuhan beramai-ramai bermula, kira-kira 10,000 mengalami simptom psikologi dan sedang menerima rawatan menerusi jabatan pemulihan Kementerian Pertahanan, tambah KAN.
Tentera Israel turut mengadakan bengkel untuk memupuk daya tahan psikologi dan merujuk veteran tempur kepada pakar psikologi tentera dalam usaha menangani apa yang digelar sebagai “fenomena yang membimbangkan”.
Terdahulu, akhbar harian Yedioth Ahronoth yang memetik kenyataan tentera melaporkan Ariel Meir Taman, seorang tentera simpanan, ditemui mati di rumahnya pada malam Ahad di selatan Israel.
Satu siasatan tentera telah dibuka untuk mengenal pasti punca kematian, kerana anggota tentera itu disyaki membunuh diri, menurut laporan tersebut.
Menurut data ketenteraan, 895 tentera Israel dilaporkan terkorban dan 6,134 cedera sejak pembunuhan beramai-ramai di Gaza bermula. Tentera Israel turut berdepan tuduhan dalam negara bahawa ia menyembunyikan angka korban yang lebih tinggi.
Genosid
Israel telah membunuh hampir 60,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam genosid yang masih berterusan di Gaza.
Kira-kira 11,000 rakyat Palestin dipercayai tertimbus di bawah runtuhan rumah yang dimusnahkan, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Namun, ramai pakar berpendapat angka sebenar kematian jauh lebih tinggi berbanding laporan pihak berkuasa Gaza, dengan anggaran mencecah sekitar 200,000 orang.
Sepanjang tempoh genosid ini, Israel telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza yang dikepung dan mengusir hampir keseluruhan penduduknya.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang kejamnya di wilayah tersebut.