Hujan monsun yang berterusan kini melanda seluruh Asia Timur, sekali gus memaksa pemindahan ribuan penduduk selain meragut beberapa nyawa di Korea Selatan, China dan Taiwan.
Di wilayah selatan Korea Selatan, lebih 2,500 penduduk dipindahkan akibat banjir kilat dan tanah runtuh.
Sebanyak 2,523 orang telah dipindahkan di enam bandar dan wilayah utama di selatan — Busan, Gwangju, Chungcheong Selatan, Jeolla Selatan, Gyeongsan Utara dan Gyeongsang Selatan — berikutan hujan lebat, menurut Agensi Berita Yonhap yang memetik Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat.
Daerah Muan di barat daya negara itu paling teruk terjejas, dengan 289.6 milimeter (11.4 inci) hujan dari tengah malam Ahad hingga pagi Isnin.
Seorang lelaki berusia 60-an ditemui maut di sebuah anak sungai di Muan, namun pihak berkuasa masih menyiasat sama ada kematian itu berkaitan dengan hujan tersebut.
Jabatan Meteorologi Korea meramalkan hujan lebat di seluruh negara, khususnya di Gyeongsang Selatan dan kawasan berdekatan.
Bagaimanapun, hujan tersebut turut membantu meredakan gelombang haba yang sedang melanda, dengan beberapa amaran cuaca panas telah ditarik balik. Suhu dijangka mencecah antara 29°C hingga 34°C.
Banjir dahsyat dijangka melanda Beijing
Sementara itu, Beijing memberi amaran kepada penduduk di kawasan pergunungan pinggir bandar supaya bersiap sedia menghadapi satu lagi hujan lebat, seminggu selepas banjir besar yang meragut puluhan nyawa—kejadian paling buruk di ibu negara China sejak 2012.
Sehingga 200mm (7.9 inci) hujan dijangka turun di beberapa kawasan di Beijing dalam tempoh enam jam bermula tengah hari, menurut ramalan cuaca.
Amaran ini dikeluarkan ketika pihak berkuasa sedang memperkukuh sistem kawalan banjir yang semakin usang, menambah baik ramalan cuaca serta memperkemas rancangan pemindahan kecemasan. Terdapat laporan bahawa mayat ditemui dihanyutkan arus deras di seluruh negara, termasuk sekurang-kurangnya tiga di sebuah kem kesihatan yang dilanda banjir di wilayah Hebei.
Pada akhir bulan lalu, sekurang-kurangnya 44 orang terkorban di Beijing selepas beberapa hari hujan lebat. Kebanyakan mangsa ialah penghuni rumah penjagaan orang tua di daerah Miyun, pinggir timur laut bandar raya itu, yang terperangkap secara mengejut akibat limpahan air. Tragedi itu memaksa pihak berkuasa mengakui kelemahan dalam pelan kecemasan cuaca ekstrem mereka.
Hujan lebat di Taiwan
Di Taiwan, ribut menyebabkan lebih dua meter hujan di beberapa kawasan sepanjang minggu lalu, mengorbankan empat nyawa serta menyebabkan banjir dan tanah runtuh di kawasan tengah dan selatan negara itu, menurut pihak berkuasa.
“Cuaca buruk minggu ini mengorbankan empat orang, tiga lagi masih hilang, dan 77 cedera,” kata seorang pegawai bencana.
“Kami jarang berdepan bencana sebesar ini,” kata Perdana Menteri Cho Jung-tai semasa melawat kawasan banjir di Bandar Tainan pada Isnin. “Sejak Taufan Danas, kami mengalami hampir sebulan hujan lebat yang berterusan.”
Hujan lebat mula melanda pulau itu sejak 28 Julai, memaksa hampir 6,000 orang berpindah, merosakkan jalan raya dan menyebabkan beberapa pejabat ditutup.
Cuaca luar biasa ini disebabkan oleh sistem tekanan rendah dan angin barat daya yang kuat, menurut ramalan Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA), Li Ming-siang.
CWA berkata purata hujan sepanjang bulan lalu adalah yang tertinggi bagi Julai sejak 1939.
Ramalan cuaca menjangkakan hujan akan berkurangan dalam beberapa hari akan datang.