Presiden Donald Trump menyifatkan serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai “kejayaan ketenteraan yang menakjubkan”, namun pakar keselamatan berkata infrastruktur tenaga atom Tehran masih kukuh.
Pesawat pengebom B52 AS menggugurkan bom pemusnah kubu. Selepas itu, peluru berpandu Tomahawk turut dilancarkan ke atas tiga tapak nuklear Iran yang meningkatkan lagi ketegangan dalam konflik Israel-Iran, yang berpotensi mengheret Timur Tengah ke ambang peperangan yang lebih meluas.
Serangan yang diarahkan oleh Presiden Trump ke atas Iran juga bertentangan dengan janjinya untuk mengeluarkan AS daripada konflik di Timur Tengah, dan bercanggah secara langsung dengan tempoh dua minggu yang diberikannya kepada Tehran untuk mengkaji semula program nuklearnya.
Selepas serangan tersebut, Trump kembali menggunakan naratif yang digemarinya, dengan mendakwa keupayaan nuklear Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya”.
Tiga tapak nuklear yang disasarkan AS termasuk Natanz, kemudahan pengayaan uranium terbesar Iran dan pusat Isfahan, sebuah makmal dan institut penyelidikan yang mengandungi sejumlah kecil bahan nuklear, menurut Mohammed Eslami, seorang profesor hubungan antarabangsa di Universiti Minho.
Daripada semua fasiliti nuklear Iran yang diserang AS, lokasi paling penting ialah loji Fordow, sebuah kemudahan nuklear bawah tanah yang tertanam 80 hingga 90 meter di bawah tanah dalam kawasan pergunungan berhampiran Qom, sebuah kota suci dan pusat institusi keagamaan Iran.
Kompleks Fordow telah disasarkan dengan bom GBU 57, yang hanya dimiliki oleh AS.
Apa yang musnah?
Walaupun Trump membuat dakwaan sedemikian, ramai penganalisis meragui sama ada AS benar-benar berjaya menembusi teras nuklear Iran.
“Kuasa penembusan maksimum GBU 57 hanyalah 60 meter, jadi boleh dikatakan bahawa susunan centrifuge Fordow tidak mengalami kerosakan,” kata Eslami kepada TRT World, merujuk kepada mesin yang digunakan untuk pengayaan uranium ke tahap yang berbeza.
“Apa yang berlaku setakat ini hanyalah serangan ke atas terowong masuk. Jadi, semua serangan ke atas kemudahan nuklear itu tidak memusnahkan keupayaan nuklear Iran atau potensinya untuk membangunkan bom,” kata profesor yang pakar dalam penyebaran senjata konvensional dan tidak konvensional di Timur Tengah.
Sejurus selepas serangan AS, Iran menyatakan mereka telah berjaya mengosongkan ketiga-tiga tapak nuklear itu sebelum bom menghentam lokasi-lokasi tersebut..
Seorang wartawan yang berpangkalan di Tehran, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan, memberitahu TRT World bahawa mereka mempunyai “rakaman yang menunjukkan Iran mengeluarkan bahan nuklear dari Fordow dua hari lalu”.
Namun, beliau mengakui bahawa Natanz dan fasiliti eksperimen Khondab yang terletak di Arak kini tidak lagi berfungsi, manakala loji nuklear Bushehr masih beroperasi. Secara keseluruhan, katanya, tidak salah untuk menyatakan bahawa Iran kehilangan sebahagian besar keupayaan nuklearnya.
Seorang bekas diplomat kanan Iran yang pernah terlibat dalam rundingan nuklear dengan negara-negara Barat melihat isu ini dari sudut berbeza.
“Teknologi dan pengetahuan tentang pengayaan tidak boleh dimusnahkan melalui pengeboman,” kata diplomat bersara itu kepada TRT World, juga dengan syarat tidak dinamakan.
Penganalisis Barat turut mengingatkan bahawa pengetahuan yang dimiliki Iran tentang kuasa nuklear bukanlah sesuatu yang boleh dimusnahkan.
“Mengebom Fordow — dan apa jua yang mungkin menyusul selepas itu — mungkin tidak akan melambatkan usaha pengayaan oleh Iran dengan signifikan,” kata James M. Acton, pengarah program dasar nuklear di Carnegie Endowment for International Peace.
Walaupun Israel secara konsisten menyasarkan saintis nuklear Iran, “ratusan atau lebih, mungkin ribuan saintis dan juruteknik” telah bekerja dalam program pengayaan uranium di negara itu, menurut Acton.
Doreen Horschig dari Center for Strategic and International Studies turut merasakan bahawa walaupun serangan ketenteraan AS berjaya memusnahkan fasiliti penting Iran, “asas pengetahuan berkaitan pengayaan uranium, teknologi reaktor, dan kitaran bahan api yang diperlukan untuk mengekalkan pembelahan nuklear akan tetap kekal”.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Yousry Abushady, bekas ketua pemeriksa di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna menyifatkan serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai “gimik media”.
Ketika Iran berikrar mengambil tindakan undang-undang terhadap AS, penganalisis antarabangsa menegaskan bahawa piagam PBB melarang sebarang serangan ketenteraan terhadap program nuklear yang bersifat aman.
IAEA secara terbuka menyatakan bahawa tiada bukti yang menunjukkan program nuklear Iran bertujuan untuk membina bom atom.
Bekas diplomat Iran itu, yang terlibat dalam proses penerimaan resolusi IAEA pada 1990, berkata serangan AS melanggar “piagam PBB, statut IAEA dan undang-undang antarabangsa”.
Majlis Keselamatan PBB mesti “bertindak segera dan negara anggota mesti membantu negara yang diserang”, iaitu Iran, tambahnya.
Bekas diplomat Iran itu bukanlah satu-satunya orang yang berpendapat sedemikian.
Mohamed ElBaradei, bekas ketua pengarah IAEA, turut menekankan bahawa serangan ke atas Iran dilakukan oleh dua negara bersenjata nuklear, iaitu AS dan Israel. Israel tidak mengiktiraf status nuklearnya dan belum menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Bagaimana Iran akan bertindak balas?
Tidak lama selepas serangan AS, Tehran berikrar untuk membalas dengan kekuatan penuh dan berjanji untuk “menulis pengakhiran kisah ini”.
Esmaili, ahli akademik, merasakan bahawa Iran akan bertindak balas “100 peratus” terhadap serangan AS di pelbagai medan.
Pada tahap ketenteraan, Tehran akan “menyerang” pangkalan dan angkatan laut AS di rantau ini, manakala secara geopolitik ia akan menyekat Selat Hormuz yang strategik untuk menghentikan aliran minyak, katanya. Tehran juga mungkin akan menarik diri daripada NPT dan mula membangunkan bom nuklear, tambah Esmaili.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindak balas ketenteraan Iran “akan berlaku tidak lama lagi”.
Tetapi sejauh mana? “Kita tidak tahu,” katanya, sambil menekankan bahawa “jumlah serangan balas itu lebih penting daripada tindakan membalas itu sendiri.”
Walaupun sesetengah penganalisis mengatakan Iran tidak mampu menahan tekanan sebesar ini daripada AS dan Israel, Esmaili berkata “Ini bukan soal apa yang Iran boleh buat, tapi apa yang Iran akan buat.”
Beliau menegaskan “Orang Iran tidak akan menyerah, itu sudah pasti. Sekurang-kurangnya buat masa ini!”
Beliau turut mengingatkan bahawa Khamenei tidak akan tunduk, dan walaupun beliau terbunuh, pemimpin seterusnya berpotensi menjadi lebih keras daripadanya.
“Khamenei jauh lebih liberal, sederhana dan terbuka berbanding mullah revolusioner lain. Inilah yang menjadikan kisah ini sangat kompleks.”
SUMBER: TRT World