Sejauh mana krisis Iran-Israel boleh menggugat Timur Tengah?
KRISIS ISRAEL-IRAN
7 min membaca
Sejauh mana krisis Iran-Israel boleh menggugat Timur Tengah?Ketika Israel terus mengganas, penganalisis memberi amaran tentang potensi malapetaka di rantau itu jika rundingan diplomasi terus gagal, terutamanya disebabkan Israel memiliki senjata nuklear.
Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berada di ambang peperangan besar. / Reuters
20 Jun 2025

Penganalisis terkemuka, termasuk bekas pemimpin Israel, telah lama memberi amaran kepada perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, Benjamin Netanyahu, tentang risiko melancarkan perang dari Gaza ke Lubnan tanpa matlamat akhir yang jelas.

Dengan tentangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap perang berterusan oleh Israel di Gaza, negara itu kini mengalih tumpuannya kepada Iran, iaitu “musuh terakhir yang masih berdiri,” seorang pakar memberitahu The Wall Street Journal.

Namun, ramai pakar mentafsirkan serangan Israel yang sedang berlaku ini sebagai satu usaha yang kejayaannya lebih bergantung kepada penglibatan langsung oleh Amerika Syarikat berbanding sebarang perancangan jangka panjang yang padu daripada kerajaan Netanyahu.

“Satu bandul sedang berayun dari satu sisi ke sisi yang lain,” kata Kadir Temiz, Presiden ORSAM dan pensyarah di Universiti Medeniyet Istanbul.

Temiz merujuk kepada perubahan antara keterlibatan diplomatik mengenai program nuklear Iran dan agenda penukaran rejim yang didorong oleh Netanyahu serta sekutunya di Israel, AS dan Barat secara umum.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan tentang ketiadaan pelan muktamad, daripada pembongkaran keupayaan nuklear dan peluru berpandu Iran sehinggalah kepada perubahan rejim secara mutlak di Tehran.

Kedua-dua matlamat ini kelihatan terlalu jauh dan sukar dicapai tanpa sokongan jelas dari AS. Beberapa suara berpengaruh dalam kalangan konservatif Amerika, seperti Steve Bannon dan Tucker Carlson, menentang keras perang terbaharu yang diketuai AS di TImur Tengah.

“Terdapat kebimbangan bahawa rejim Iran ketika ini tidak mempunyai pengganti yang jelas,” kata Temiz kepada TRT World, sambil menambah bahawa “penukaran rejim boleh menjerumus negara berpenduduk 92 juta orang yang kaya dengan minyak dan gas itu ke dalam kancah kekacauan dan pelbagai ketidaktentuan.”

Menurut Ghoncheh Tazmini, seorang penganalisis politik Iran-Kanada, “Menjatuhkan kerajaan untuk MKO atau boneka Pahlavi – bukan semua rakyat Iran mahukan perkara itu.”

Tazmini merujuk kepada MKO atau Organisasi Mujahideen-e-Khalq dan Reza Pahlavi, seorang kerabat diraja dalam buangan dan penyokong tegar Israel, kedua-duanya menyeru perubahan rejim di Iran. Pahlavi menggesa rakyat Iran bangkit menentang kerajaan semasa. MKO pula hilang kredibiliti selepas bersekutu dengan Saddam Hussein semasa perang Iran-Iraq yang kejam pada 1980-an.

Adakah diplomasi akan menang?

Satu penyelesaian diplomatik mungkin merupakan jalan paling rasional ke hadapan, kata Temiz, memandangkan risiko ketidakstabilan yang akan timbul disebabkan perubahan rejim.

“Tidak ramai pemain politik yang sanggup melabur dalam agenda Israel ini,” tambahnya. “Saya percaya akan ada usaha diplomasi, dengan monarki Arab serantau memainkan peranan,” kata Tazmini kepada TRT World.

Laporan terkini menunjukkan beberapa pemimpin Arab sedang menyampaikan mesej oleh Iran kepada rakan rundingan di Amerika bahawa Tehran bersedia untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan AS.

Lebih 20 negara Arab dan Islam – termasuk Arab Saudi, UAE, Mesir dan Turkiye, kesemuanya mempunyai hubungan strategik dengan AS dan kerjasama dengan negara Barat – mengutuk serangan Israel ke atas Iran dalam satu kenyataan bersama.

Namun, ketegangan terus memuncak.

Tindakan mengejut Presiden AS Donald Trump yang meninggalkan mesyuarat G7 di Kanada dalam keadaan tergesa-gesa, menambah lagi spekulasi bahawa Washington mungkin sedang bersiap sedia untuk serangan sendiri.

Walaupun Trump sendiri menggesa gencatan senjata dicapai, ia dilihat seperti tidak ikhlas, apatah lagi memandangkan beliau lebih menyalahkan Tehran, sambil menambah bahawa sesuatu yang “lebih besar” daripada gencatan senjata sedang dirancang,

Sebelum berlepas, Trump menyiarkan kenyataan di Truth Social (dengan penekanan huruf besar untuk AMERICA, FIRST, GREAT dan penafian Iran terhadap kewujudan senjata nuklear): “Semua orang harus segera tinggalkan Tehran!”

Beliau kemudiannya mengisytiharkan sesuatu yang memberi makna baharu kepada slogan khasnya: “America first bermakna banyak perkara hebat, termasuk fakta bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear. Make America great again!!!”

Kenyataan akhir G7, yang hanya diterbitkan selepas Trump mengugut untuk tidak menandatangani, mengulangi hak Israel untuk mempertahankan diri dan menyifatkan Iran sebagai “sumber utama ketidakstabilan dan keganasan serantau,” serta menegaskan bahawa Tehran tidak boleh sesekali memiliki senjata nuklear.

Walaupun Iran telah menggunakan proksinya, Hezbollah dan kumpulan Syiah lain, untuk memperluas pengaruh serantaunya, ramai pengkritik melihat Israel, iaitu kuasa penjajah di Palestin, sebagai pelaku jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

“Rejim yang melakukan pembunuhan beramai-ramai tidak ‘membebaskan’ rakyat Iran,” kata Tazmini kepada TRT World. “Pembunuhan ini mengukuhkan lagi semangat kebangsaan.”

Media Barat turut mengesahkan dakwaan beliau menerusi laporan di lapangan.

Bolehkah fatwa menghentikan usaha nuklear?

“Saya merasakan bahawa saat keputusan kritikal terhadap Iran semakin hampir,” kata Temiz.

Beliau percaya satu program nuklear Iran yang berskala kecil mungkin boleh diterima Israel, AS dan pemimpin serantau.

Temiz menarik perhatian kepada satu aspek menarik yang mungkin ramai terlepas pandang: penerbitan satu fatwa yang jelas oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang menentang senjata nuklear.

Khamenei sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa senjata pemusnah besar-besaran adalah “ancaman serius kepada kemanusiaan,” sambil mengisytiharkan penggunaannya sebagai haram dan menegaskan bahawa melindungi umat manusia daripada ancaman tersebut adalah tanggungjawab sejagat.

Dalam satu wawancara pada 2012, bekas presiden Iran dan perunding nuklear Hassan Rouhani berkata Khamenei “telah mengeluarkan satu fatwa” yang menentang pemilikan bom nuklear.

“Jika Khamenei mengeluarkan satu fatwa yang jelas menentang pengeluaran senjata nuklear, pandangan bahawa rejim Iran semasa boleh dikekalkan mungkin akan diterima secara lebih meluas di rantau dan dunia,” kata Temiz. “Jika ini berlaku, ia mungkin menormalkan rejim Iran apabila konsensus serantau dan global terbentuk untuk mengekalkannya berbanding menggulingkannya.”

Matlamat akhir Iran: Perang yang meletihkan?

Walaupun penganalisis berbeza pendapat dalam meramalkan hasil, ramai bersetuju bahawa strategi Iran akan bergantung kepada sokongan domestik dan keupayaannya untuk menahan tekanan ekonomi serta ketenteraan.

Dalam konteks itu, persoalan utama masih sama: berapa lama Iran boleh bertahan membalas serangan Israel?

“Saya sudah berhenti cuba meramal hasil,” kata Edward Erickson, seorang penganalisis ketenteraan dan akademik Amerika. “Tetapi bagi saya, sebuah negara dengan 92 juta penduduk boleh melancarkan perang yang meletihkan dan berjuang habis-habisan menentang sebuah negara dengan populaso 10 juta (yang sudahpun terlibat sepenuhnya di Gaza, Tebing Barat dan sempadan Lubnan, selain bergantung sepenuhnya kepada ihsan dan sokongan Amerika).”

Erickson memberi amaran supaya tidak memandang rendah tahap ketahanan Iran, sambil menambah bahawa populasi besar negara itu boleh mengekalkan perang yang meletihkan Israel dan berpotensi melemahkan sistemnya, apatah lagi jika terdapat sokongan dari Rusia dan China.

Beliau menambah: “Tekanan berterusan ke atas sistem dan rakyat Israel boleh menyebabkan keletihan.”

Beliau percaya, sekiranya Iran memilih untuk meneruskan konflik berpanjangan, Rusia dan China berkemungkinan besar akan meningkatkan sokongan mereka kepada Tehran. Moscow telah pun menawar diri menjadi orang tengah, dan Beijing pulak mengutuk tindakan Israel.

“Media semakin banyak bercakap tentang kejatuhan rejim. Saya harap itu akan berlaku, tetapi Iran telah mengejutkan dunia dari 1980 hingga 1988 dengan melancarkan perang panjang yang meletihkan Iraq. Mereka mungkin boleh bertahan lebih daripada yang dijangka oleh pakar dan pengulas,” tambahnya.

Tazmini turut bersetuju, sambil merujuk kepada ketahanan Iran semasa Perang Iran-Iraq.

Namun, Tehran kini kehilangan pengaruh besar di Syria dan Lubnan, di mana pengaruhnya semakin merosot, dan sekatan negara-negara Barat terus menjejaskan ekonomi Iran dengan teruk.

Walaupun menghadapi halangan-halangan ini, serangan Iran jauh ke dalam wilayah Israel menunjukkan bahawa Tehran mampu “menyebabkan kerosakan besar dan mendedahkan kelemahan Israel,” menurut Tazmini.

Iran baru-baru ini menyerang kilang penapisan minyak dan aset tenaga Israel. Temiz berkata ini membuktikan Iran mempunyai kapasiti untuk bertindak balas.

“Tetapi masalahnya ialah tiada siapa mampu menanggung kos yang akan timbul sekiranya Iran menggunakan seluruh kapasitinya untuk menentang Israel, sebuah negara Yahudi. Disebabkan itu, satu usaha diplomasi besar sedang dijalankan tanpa henti,” katanya.

Perang nuklear?

Menurut Erickson, “tanpa pencerobohan darat seperti pendudukan AS di Iraq, tiada siapa boleh menghentikan Iran daripada benar-benar membina bom.” Walaupun rakyat Iran terkejut dengan serangan Israel pada Khamis lalu ketika rundingan nuklear dengan AS sedang berlangsung, mereka sebenarnya telah lama merancang untuk menggunakan aset mereka, katanya.

Jika Iran bergerak ke arah pemilikan senjata, adakah ia berisiko mengalami senario seperti Jepun dalam Perang Dunia Kedua?

“Itu satu senario. Tetapi sangat sukar untuk berlaku,” kata Tazmini. “Namun, banyak senario buruk telah berlaku di bawah kepimpinan Netanyahu,” katanya, lebih-lebih lagi sekarang dengan sokongan kukuh Trump dalam konfrontasi terhadap Iran.

“Apa duluan (precedent) yang mereka akan cipta sekiranya senario ini berlaku?” soalnya. “Maka, Rusia pula akan mengambil giliran,” katanya, sambil menambah politik global boleh tergelincir ke dalam “hukum rimba.”

Dan Steinbock, seorang pakar ekonomi antarabangsa dan penulis The Fall of Israel, memetik satu permainan perang AS pada 2023 yang melibatkan pegawai kanan, ahli politik dwipartisan dan pakar. Simulasi itu berakhir dengan Israel melancarkan 50 serangan nuklear ke atas 25 sasaran ketenteraan utama Iran sebagai tindak balas terhadap peningkatan tentangan Tehran.

“Nampaknya, pentadbiran Trump dan kabinet Netanyahu sedang bekerjasama dalam satu operasi besar untuk mengubah rejim yang telah dirancang lebih awal, bertujuan menghapuskan sepenuhnya keupayaan politik, ekonomi dan ketenteraan Iran – tanpa menghiraukan kesan buruk serantau dan dunia,” katanya.

SUMBER: TRT World

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us