DUNIA
4 min membaca
Rakyat Australia keluar mengundi ketika inflasi melonjak, ketegangan perdagangan kerana Trump
Pilihan raya Australia kali ini dijalankan ketika rakyat berdepan beban ekonomi, kebimbangan iklim dan bayangan Trump, sementara PM Albanese berusaha mendapatkan penggal kedua menentang pencabar konservatif Peter Dutton.
Rakyat Australia keluar mengundi ketika inflasi melonjak, ketegangan perdagangan kerana Trump
Rakyat Australia mula mengundi dalam pilihan raya yang dibayangi isu kos sara hidup dan tumpuan terhadap tarif perdagangan Trump. / Reuters
3 Mei 2025

Rakyat Australia mula membuang undi dalam pilihan raya umum yang sengit bagi menentukan kepimpinan negara yang kini bergelut dengan isu kos sara hidup, kebimbangan terhadap perubahan iklim dan tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Dari bandar gurun berdebu hingga ke bandar pelabuhan, jutaan rakyat Australia keluar mengundi pada Sabtu untuk memilih antara penyandang jawatan dari parti berhaluan kiri, Perdana Menteri Anthony Albanese, dan pencabar konservatif Peter Dutton.

Hampir semua tinjauan pendapat menjelang hari pengundian meramalkan Parti Buruh pimpinan Albanese akan memperoleh mandat untuk penggal kedua.

“Saya tidak akan mengalah sepanjang tiga tahun akan datang sekiranya dipilih semula sebagai perdana menteri Australia,” kata Albanese kepada Channel Seven pada pagi Sabtu.

“Saya berharap kami dapat memperoleh majoriti hari ini supaya kami boleh membina atas asas yang telah kami letakkan. Australia kini telah memasuki fasa baharu.”

Pusat-pusat pengundian pertama dibuka pada jam 8:00 pagi waktu tempatan (2200 GMT) di pantai timur Australia, diikuti oleh bandar-bandar di sebelah barat dan wilayah pulau terpencil di negara itu.

Sebanyak 18.1 juta pengundi telah mendaftar. Lebih satu pertiga daripadanya telah mengundi awal, menurut pihak berkuasa pilihan raya.

Mengundi adalah wajib di Australia dan mereka yang tidak mengundi bpleh dikenakan denda sebanyak A$20 (US$13), menyumbang kepada kadar keluar mengundi melebihi 90 peratus.

Keputusan mungkin diketahui seawal malam Sabtu, kecuali jika keputusan terlalu sengit.

Albanese, 62, berjanji untuk memperluas tenaga boleh diperbaharui, menangani krisis perumahan yang kian meruncing, dan menambah dana untuk sistem kesihatan yang semakin uzur.

‘Kesan’ Trump

Ketua Parti Liberal dan bekas pegawai polis, Dutton, 54, mahu mengurangkan imigrasi, membanteras jenayah dan menamatkan larangan terhadap tenaga nuklear yang telah lama dilaksanakan.

Beberapa tinjauan menunjukkan sokongan terhadap Dutton merosot susulan kenyataannya yang memuji Trump sebagai “pemikir” yang mempunyai “kewibawaan” di pentas dunia.

Ketika sentimen rakyat Australia terhadap Trump semakin negatif, Dutton dan Albanese mengambil pendekatan lebih tegas.

“Jika saya perlu berhadapan dengan Donald Trump atau mana-mana pemimpin dunia lain demi kepentingan negara, saya akan lakukannya tanpa berfikir panjang,” kata Dutton pada April.

Albanese pula mengkritik tarif Trump sebagai tindakan “menyakiti ekonomi sendiri” dan “bukan sikap seorang sahabat.”

Kebimbangan terhadap ekonomi mendominasi isu pilihan raya kali ini, khususnya bagi isi rumah yang bergelut dengan harga susu, roti, tenaga dan petrol yang melambung.

“Kos sara hidup — memang sangat tinggi sekarang. Cukai pun satu lagi isu besar. Harga petrol, semua barang asas,” kata pengurus sumber manusia Robyn Knox kepada AFP di Brisbane.

Pemilik perniagaan kecil Jared Bell turut meluahkan kebimbangan yang sama.

“Belanja dapur kami sekarang jauh lebih mahal berbanding beberapa tahun lalu,” katanya.

Kempen terganggu

Albanese dan Dutton sama-sama cuba menampilkan imej sebagai pemimpin rakyat, tetapi kedua-duanya gagal menjawab soalan harga telur dalam debat nasional yang disiarkan secara langsung.

Australia, sebagai kuasa besar perlombongan arang batu, kini perlu memilih antara dua pemimpin dengan pandangan yang berbeza mengenai perubahan iklim dan pengurangan pelepasan karbon.

Kerajaan Albanese menyokong usaha global ke arah nyahkarbon, memberi amaran bahawa masa depan negara tidak lagi boleh bergantung kepada eksport bijih besi dan arang batu yang mencemarkan.

Dasar utama Dutton pula adalah cadangan pembinaan tujuh reaktor nuklear industri bernilai A$200 bilion, sebagai alternatif kepada tenaga boleh diperbaharui.

Kempen selama 36 hari ini dilihat agak sederhana, tetapi tidak terlepas daripada insiden luar jangka.

Albanese terjatuh ke belakang dari pentas ketika perhimpunan kempen, manakala Dutton mencederakan seorang jurukamera apabila bola yang disepaknya terkena kepala individu itu secara tidak sengaja.

Masih belum pasti sama ada Albanese atau Dutton akan memperoleh majoriti mutlak, atau terpaksa membentuk kerajaan gabungan dengan sokongan parti-parti kecil.

Kekecewaan pengundi yang semakin meningkat mengukuhkan kedudukan calon bebas yang menuntut ketelusan dan tindakan lebih serius terhadap perubahan iklim.

Tinjauan menunjukkan 10 atau lebih calon bebas berpotensi menjadi penentu kuasa, menjadikan kerajaan minoriti satu kemungkinan.

SUMBER: AFP

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us