Serangan Israel ke atas Syria telah mencetuskan “keraguan yang semakin meningkat dalam pentadbiran Trump” terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dengan tanggapan bahawa dasar-dasarnya di Timur Tengah terlalu mengganggu kestabilan, lapor laman berita AS, Axios.
Pegawai Rumah Putih memberitahu Axios pada Ahad bahawa pengeboman Israel baru-baru ini ke atas kompleks presiden Syria, ibu pejabat staf am serta kementerian pertahanannya telah membangkitkan kebimbangan mengenai kelakuan Netanyahu yang tidak boleh dijangka.
“Perasaannya ialah setiap hari ada sahaja perkara baharu,” kata seorang pegawai kanan.
Beberapa pegawai Rumah Putih mengkritik sikap Netanyahu yang semakin agresif, dengan seorang daripada mereka berkata beliau “bertindak seperti orang gila. Dia bom segalanya sepanjang masa.”
Seorang lagi pegawai memberi amaran bahawa tindakan Netanyahu boleh menggugat usaha Presiden AS Donald Trump di Syria dan mengikis kepercayaan serta sokongan politik yang diberikan kepadanya.
“Pengeboman di Syria mengejutkan presiden dan Rumah Putih. Presiden tidak suka apabila membuka televisyen dan melihat bom dijatuhkan di sebuah negara yang sedang beliau usahakan untuk berdamai,” kata seorang pegawai AS.
Seorang lagi pegawai kanan turut merujuk serangan Israel ke atas sebuah gereja di Gaza minggu lalu, yang mendorong Trump menghubungi Netanyahu bagi meminta penjelasan.
Para pegawai menekankan bahawa rasa curiga terhadap Netanyahu semakin meningkat dalam kalangan pasukan Trump, dan menyifatkan beliau “kadangkala seperti kanak-kanak yang enggan berkelakuan baik.”
Washington kekal bimbang terhadap Netanyahu dan dasar serantaunya, kata pegawai-pegawai berkenaan.
Trump setakat ini masih belum mengkritik Netanyahu secara terbuka, dan tidak jelas sama ada beliau turut berkongsi rasa tidak puas hati seperti penasihat-penasihatnya.
Tiada kenyataan dikeluarkan setakat ini oleh pemimpin Israel atau AS berhubung laporan tersebut.
Pertempuran di Syria
Pada 13 Julai, pertempuran tercetus antara puak Badwi Arab dan kumpulan bersenjata Druze di Sweida, selatan Syria.
Keganasan itu semakin memuncak, disusuli serangan udara Israel ke atas kedudukan dan infrastruktur ketenteraan Syria di Damsyik. Israel mendakwa serangan itu dilakukan atas alasan untuk melindungi komuniti Druze.
Namun, kebanyakan pemimpin Druze di Syria secara terbuka menolak campur tangan asing dan menegaskan semula komitmen mereka terhadap sebuah negara Syria yang bersatu.
Semua pihak di Syria bersetuju untuk menghentikan keganasan bermula jam 5 petang waktu Damsyik (1400GMT) pada Ahad, menurut Tom Barrack, utusan khas AS bagi Syria.