Serangan ganas Israel di utara Tebing Barat telah memusnahkan kem pelarian Palestin apabila serangan itu memasuki hari ke-100 pada Rabu.
Serangan tentera yang dinamakan “Operasi Tembok Besi” itu bermula di kem pelarian Jenin pada 21 Januari sebelum Tel Aviv meluaskan serangan ke kem Tulkarem dan Nur Shams serta kawasan lain di utara Tebing Barat yang diduduki.
Menurut angka pihak kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 52 rakyat Palestin terbunuh sejak serangan Israel bermula pada 21 Januari.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan lebih 40,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan ratusan bangunan musnah dalam serangan tersebut.
Tentera Israel turut menahan 860 rakyat Palestin, termasuk 600 di Jenin dan 260 di Tulkarem, di mana sebahagian daripada mereka dibebaskan kemudian.
Menurut pakar, secara asasnya operasi ketenteraan ini telah mengubah rupa bentuk geografi kem pelarian Palestin menerusi pemusnahan rumah secara sistematik dan pembinaan jalan baharu.
‘Runtuhan rumah yang musnah’
Di kem Jenin, semua rumah dan bangunan sama ada musnah sepenuhnya atau rosak teruk, menurut anggaran rasmi. Beberapa kumpulan hak asasi manusia, termasuk Euro-Med Human Rights Monitor, menuduh Israel menggunakan taktik genosid yang sama seperti di Gaza — menghancurkan rumah, mengusir penduduk, dan membuka jalan di atas runtuhan rumah-rumah yang musnah.
Di Tulkarem, angka rasmi menunjukkan tentera Israel telah memusnahkan hampir 400 rumah di kem pelarian Tulkarem dan Nur Shams, serta merosakkan lebih 2,500 rumah lain.
Bulan lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyerbu salah sebuah rumah rakyat Palestin di kem pelarian Tulkarem dengan diiringi Menteri Pertahanannya Israel Katz.
Dalam serangan di utara Tebing Barat, tentera Israel turut menceroboh kem pelarian Al-Fara di Tubas selama 10 hari pada Februari lalu.
Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, hampir 960 rakyat Palestin maut dan lebih 7,000 lagi cedera dalam serangan tentera Israel dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, menurut angka rasmi pihak berkuasa Palestin.
Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan bahawa penjajahan Israel selama beberapa dekad di tanah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang, dan menuntut pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.