Pemimpin junta Myanmar menghadiri sidang kemuncak serantau di Bangkok pada hari Jumaat, seminggu selepas gempa bumi besar melanda beberapa bahagian negara yang miskin dan dilanda perang itu, mengorbankan lebih 3,100 nyawa dan mencetuskan rayuan bantuan oleh ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dipinggirkan oleh kebanyakan pemimpin dunia sejak rampasan kuasa 2021, lawatan jarang Min Aung Hlaing ini menggunakan peluang yang dibuka oleh gempa bumi untuk tingkatkan diplomasi dalam acara seperti sidang kemuncak BIMSTEC di ibu negara Thailand.
Min Aung Hlaing mengadakan pertemuan dua hala secara sampingan dengan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri India Narendra Modi.
Dalam usaha pemulihan gempa, ketua junta akan membincangkan "potensi kerjasama ... untuk melaksanakan operasi penyelamatan, bantuan dan pemulihan," menurut akhbar rasmi Global New Light of Myanmar.
Jumlah kematian akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 pada hari Jumaat lalu, antara yang terkuat melanda negara Asia Tenggara itu dalam satu abad, meningkat kepada 3,145, dengan lebih 4,500 cedera dan lebih 200 masih hilang, kata junta yang memerintah.
"Gempa bumi ini telah memburukkan lagi penderitaan, terutamanya dengan musim tengkujuh yang semakin hampir," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres kepada pemberita pada hari Khamis, merujuk kepada konflik dalaman yang tercetus selepas rampasan kuasa.
"Saya merayu agar segala usaha dilakukan untuk mengubah detik tragis ini menjadi peluang bagi rakyat Myanmar."
Ketua bantuan PBB Tom Fletcher dijangka tiba di Myanmar pada hari Jumaat, diikuti lawatan oleh utusan khas PBB untuk negara itu, Julie Bishop.
Lawatan antarabangsa yang jarang berlaku
Min Aung Hlaing, yang mengetuai rombongan pegawai Myanmar, juga bertemu Perdana Menteri Nepal pada hari Khamis, menurut media negara, sebelum sidang kemuncak yang memberi tumpuan kepada hal ehwal teknikal dan ekonomi.
Dalam gambar kerajaan Thailand, beliau duduk di antara Perdana Menteri Bhutan dan Sri Lanka di meja utama semasa majlis makan malam bersama ketua negara-negara BIMSTEC pada Khamis.
Dalam catatan di X selepas pertemuan dengan Min Aung Hlaing, Modi berkata kerjasama dalam perhubungan, pembinaan kapasiti dan pembangunan infrastruktur menjadi fokus perbincangan mereka.
Dengan Perdana Menteri Thailand, pemimpin junta itu membincangkan pencegahan bencana, jenayah rentas sempadan dan pemulangan mangsa pusat penipuan, kata pegawai Thailand.
Sidang kemuncak ini adalah sebahagian daripada BIMSTEC atau Inisiatif Teluk Bengal untuk Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Pelbagai Sektor, yang terdiri daripada Thailand, Myanmar, India, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka dan Bhutan.
Sebelum gempa, berjuta telah menderita dalam perang saudara Myanmar yang semakin meluas, dicetuskan oleh rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan pemenang Hadiah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi.
Keadaan ini telah merosakkan ekonomi yang kebanyakannya bergantung pada pertanian, memaksa lebih 3.5 juta orang meninggalkan rumah mereka dan melumpuhkan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan.
Jiran Myanmar seperti China, India dan negara Asia Tenggara antara yang menghantar bekalan bantuan dan pasukan penyelamat untuk membantu pemulihan di kawasan terjejas gempa yang didiami kira-kira 28 juta orang.
Cuaca panas melampau dan hujan lebat yang diramalkan boleh mencetuskan wabak penyakit dalam kalangan mangsa gempa yang berkhemah di kawasan terbuka, terutamanya dengan risiko kolera meningkat di kawasan seperti Mandalay, Sagaing dan ibu negara Naypyitaw.
"Usaha bantuan masih menghadapi cabaran logistik yang besar ... menghalang tindak balas bantuan," kata Program Makanan Sedunia (WFP) pada hari Khamis. Halangan termasuk serpihan, jalan dan kemudahan yang rosak serta gangguan telekomunikasi.
Minggu ini, junta isytihar gencatan senjata sementara bermula hari Rabu hingga 22 April dalam operasi menentang pihak bersenjata pembangkang, selari dengan langkah oleh gabungan pemberontak utama dan kerajaan bayangan Myanmar yang terdiri daripada sebahagian bekas pentadbiran.